Assalamualaikum wbt, moga semua yang membaca coretan ini dipermudahkan urusan oleh Allah terutama kepada bakal-bakal pengantin, coretan ni untuk anda termasuklah diri saya sendiri.
Saya terpanggil untuk menulis apabila membaca luahan saudari Zati, Dilema seorang pengantin, (https://iiumc.com/dilema-bakal-pengantin/).
Untuk berkahwin (nikah) mudah saja, hanya perlu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, saksi dan akad. Nampak sangat mudah tapi yang sukarnya mungkin perjalanan menuju nikah, urusan untuk mengadakan walimah dan yang pasti perjalanan hidup selepas nikah.
Ada orang senang bertemu jodoh, tapi ada orang sukar, kenal entah berapa ramai orang tapi semua tidak serasi atau tak jadi, bila rakan-rakan yang lain sudah anak 2 atau 3 orang kita baru nak membina masjid.
Tak apa, bersyukurlah kita dipertemukan dengan jodoh kita. Ramai lagi di luar sana masih dalam perjalanan atau masjid yang senang dibina sedang goyah.
Perjalanan menuju nikah ni selain melihat kita serasi atau tidak, kita tengok penerimaan kedua-dua belah keluarga. Di sini antara ujian besar. Keluarga tak sekufu. Pasangan bukan menantu idaman. Pujuklah ayah dan ibu atau wali untuk terima.
Elakkan ambil jalan mudah kahwin lari contohnya. Cuba dan cuba pujuk mereka. Jika keluarga membantah kena tengok atas dasar apa, jika disebabkan alasan yang remeh dan tidak sepatutnya, pergilah ke pejabat agama mohon nasihat dan sebagainya.
Seboleh-bolehnya jangan kahwin lari. Selagi tidak didaftarkan, mengikut undang-undang Malaysia anda dan pasangan bukanlah suami isteri. Nak mengandung payah, nak bertemu pun curi-curi, kalau terjadi perceraian atau kem4tian pasangan sebelum pendaftaran, lagi haru biru kisahnya.
Kemudian apabila keluarga dah bertemu dan bersetuju untuk teruskan langkah seterusnya. Di sini selalu timbul konflik.
Hantaran berapa? Lain pengantin nak lain yang ibu ayah nak. Berapa dulang hantaran? Belum dikira dua keluarga yang bertegas dengan apa yang mereka nak. Kata kunci di sini ‘bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan terputus, tepung jangan berselerak’.
Saya dulu keras orangnya. Saya pernah menangis sebab ibu ayah saya tak bersetuju saya nak buat beach wedding (untuk akad nikah). Tapi sebabkan COVID memang tak dapatlah kan.
Saya sekarang makin berlembut, kalau apa yang saya nak ibu ayah tak setuju kita bincang elok-elok, pujuk cari jalan tengah. Kita nak bahagia, kita nak restu ibu bapa dan keluarga kedua-dua pihak dan kita nak redha Allah. Saya banyak raikan pendapat ibu dan ayah juga.
Berkaitan hantaran, hantaran saya RM 0. Saya bukan orang Kelantan tapi bakal suami saya orang Kelantan. Yang diberi hanya mas kahwin. Saya rasa ini yang terbaik. Jadi duit tu semua duit saya.
Saya sangat bersetuju yang pihak lelaki tak patut dibebankan dengan urusan walimah belah perempuan. Kau nak buat grand kau tanggunglah sendiri. Apa terjadi kalau mak ayah kita bukan orang senang?
Buatlah sekadarnya cuma kena tahan telinga pak cik mak cik bawang. Atau kalau kita mampu, kitalah yang tanggung. Kembali kepada isu hantaran/ mas kahwin, ibu bapa saya tak letak berapa, jadi tunang saya tanya saya macam mana, berapa? Saya sendiri tak letak.
Kita sayang dia, kita tak nak susahkan dia. Mas kahwin saya RM 10,000. (Selingan: Style orang Kelantan ni, duit mas kahwin tu akan digunakan untuk membeli barang kemas lepas nikah sebagai simpanan dan pelaburan katanya.
Tapi saya tak suka sangat barang kemas.) Jujurnya saya tak berani beritahu orang lain pasal berapa mas kahwin sebab mulut orang ni bahaya.
Ramai orang akan kata jumlah ni terlalu murah untuk saya, yang bekerja professional, education background pun tinggi, pandai masak (hahaha masuk bakul angkat sendiri.)
Ramai yang akan kata murah termasuk ibu saya yang nampak kecewa dengan jumlah tu. Tak pa, duit tu insyaAllah saya akan gunakan sebagai modal untuk stock trading dan insyaAllah kita akan gandakan dia.
Kepada Zati (penulis confession Dilema Seorang Pengantin) bersabarlah. Ramai yang kecam awak tak tahu keadaan awak.
Orang yang kecam pun janganlah disamakan awak dengan dia. Nak nasihat, nasihat elok-elok. She feels she’s alone in preparing her big day. Kita tak tahu simpanan dia berapa, keadaan kewangan dia macam mana.
Kepada Zati, berdoalah moga hati ibu awak dilembutkan dan untuk awak, elaklah berkecil hati dan bergaduh dengan ibu. Kalau awak rasa memang ibu berkeras juga, lepas kahwin take your own time to heal dan untuk bina hidup.
Jangan lemah semangat. Kita ni bakal pengantin memang ada rasa nak jadi raja sehari. Nak dimekap, nak didandan cantik, pelamin berhias. Ya itu fitrah manusia. Tapi kita kena fikir hari esok. Saya pilih untuk tak guna make up artist. Hati menjerit nak. Saya tak guna sebab isu solat.
Akad nikah saya insyaAllah tengahari sebelum Zohor. Jadi saya rasa membazir spend ratus-ratus untuk 2-3 jam sebab lepas tu nak solat Zohor. Lain orang lain pendapat, buatlah keputusan tapi jangan tinggal solat ye.
Just a little bit about my nikah journey. Saya akan bernikah dalam sebulan dari sekarang. Borang nikah tak hantar lagi sebab negeri saya punya borang masyaAllah complicated betul, urusan borang 3 minggu dah isi belum siap sepenuhnya. Tapi insyaAllah lusa hantar.
Belah saya akad nikah sahaja, ada mini pelamin, jemput saudara mara terdekat sahaja. Tiada goodies/ kad undangan/ professional photographer. Simple. Baju nikah saya tak da lagi sebab saya belum dapat buat keputusan.
Mujur persalinan sambut menantu belah lelaki dah hantar tukang jahit. Dulang hantaran ada tapi baru esok nak bincang. Walimah/kenduri ditangguhkan sebab ibu kata had 250 orang jemputan sangat sedikit. Kita raikan pendapat dia.
Ada rezeki insyAllah akhir tahun saya akan buat walimah jika keadaan mengizinkan. Kos walimah jika jadi sayalah yang akan keluarkan belanja, rasanya banyak jugak tu lebih kepada untuk makanan untuk tetamu (sebab nak jemput ramai orang). Tak apalah asal semua orang gembira.
Tapi kalau jadi walimah, nak lah jugak saya merasa make up artis, professional photographer dan sebagainya. Hehe .Doakan kami sekeluarga semoga majlis berjalan lancar. Dan semoga majlis sahabat-sahabat di luar sana pun berjalan lancar. Aamiin..
JANGAN LUPA UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI YE.
DAN ABAIKAN MULUT MAK CIK BAWANG.
SALAM SAYANG IKHLAS DARI SAYA,
– MENGHITUNG HARI (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit