Dilema Bakal Pengantin

Assalamualaikum buat semua pembaca di ruangan ini. Aku terpanggil untuk meluahkan isi hati yang terbuku apabila sering terhimpit dengan keputusan ibu dalam soal majlis kahwin ku nanti.

Namaku Zati, berusia 29 tahun, dan bakal bernikah pada September. Aku menghadapi dilema sejak kebelakangan ini mengenai sikap ibu yang seolah-olah terlalu mengatur isu perkahwinanku terutama bab kewangan.

Untuk pengetahuan pembaca, dalam keluargaku, ini merupakan majlis perkahwinan kedua selepas kakak sulung selamat diijabkabulkan pada 2014.

Ketika ini, ayah masih sihat dan akak berkahwin dengan wang hantaran bernilai RM12,000. Ia bukanlah keputusan orang tuaku, namun pihak lelaki yang memutuskan untuk memberikan jumlah berkenaan.

Dengan wang hantaran kakak, majlis terbina agak meriah memandangkan ia adalah perkahwinan pertama dalam keluarga kami. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran yang dibelanjakan tidak merangkumi kos katering.

RM12,000 itu adalah semata-mata digunakan oleh kakak dan ibu untuk persiapan pelamin, goodies, make up dan sebagainya. Katering dengan lauk mewah bernilai RM15,000 dan itu semua ditanggung ayahku. Meriah bukan?

Namun, berbeza pula dengan nasibku. Ayah kini sakit terlantar dan tidak sedar akibat kemalangan pada 2017. Maka, bermula daripada situ, segala perihal kewangan ayah dikawal ibu termasuk simpanan ASNB.

Bukan untuk bangga, namun inginku katakan ayah sememangnya mempunyai wang simpanan agak banyak atas alasan apabila dia pencen kelak.

(Ayah bekerja swasta) itulah wang yang akan digunakan pada hari tua selain untuk kecemasan dan juga perkahwinan anak-anaknya (kerana adik-beradik kami semua perempuan). Itu kata-kata ayah yang masih terngiang di benak fikiranku.

Bagaimanapun, ketika hari bersejarahku bakal tiba, segala yang dirancang sebelum ini terpaksa diubah dek kerana majlis yang perlu mengikut peraturan PKPP.

Dahulu, aku ditunangkan dengan perjanjian wang hantaran bernilai RM10,000 yang mana ia ditetapkan oleh ibu sendiri (berbeza dengan ayahku yang selalu menegaskan wang hantaran anak-anak tidak boleh ditentukan ibu bapa perempuan).

Aku masih OK dengan sikap ibu. Dan setelah diteliti perbelanjaan secara kasar, ibu bersetuju memberikan RM3,000 untukku membayar mak andam, pelamin dan photography.

Baki RM7,000 pula ibu gunakan untuk membeli goodies dan katering. Kata ibu, meskipun tidak cukup, ibu akan tambah sebahagiannya menggunakan duit simpanan ayah.

Bagaimanapun kini, sebaik perbincangan berkaitan belanja majlis dibuat semula, aku sedar wang hantaran RM10,000 akan berbaki kerana majlis dilakukan serba ringkas dan kecil.

Tetapi aku terkejut apabila ibu menetapkan pembahagian wang yang sama seperti mula-mula dirancang.

Aku sedikit sedih apabila wang hantaran itu digunakan semua kerana aku beranggapan ibu tetap akan ‘topup’ duit simpanan ayah ekoran ia adalah amanah ayah sebelum ini.

Jadi aku menyangkakan jika ibu menggunakan paling sedikit RM2,000 simpanan ayah, maka wang hantaran dapatlah aku jimat sedikit untuk guna perbelanjaan rumah tangga kelak.

Sebaik mengetahui hal ini, aku terpaksalah redha dengan keputusan ibu. Bagaimanapun kakak beritahu bahawa jika ada salam kaut yang diperoleh, maka ia menjadi milikku dan suami kerana segala majlis ditanggung kami berdua.

Tetapi ibu bertegas dengan mengatakan dalam Islam duit salam kaut juga adalah milik ibu bapa pengantin. Lantas kakak berkata, dalam Islam majlis kahwin juga sepatutnya ditanggung ibu bapa pengantin, bukanlah pengantin lelaki seperti yang kami lakukan.

Tapi ibu lantang pula berkata duit RM10,000 ini bukanlah digelar duit hantaran lagi kerana ia telah dikira duit ibu bapa pengantin,

Kerana itu apabila ada perkahwinan dijalankan, sekiranya terdapat saudara mara bertanya berapa banyak duit ibu bapa pengantin yang keluar, maka jawapan diberi adalah RM10,000 berikutan nilai RM10,000 ini adalah duit yang diserahkan pengantin lelaki.

Menurut ibuku, ia tidak lagi dianggap duit si lelaki tetapi menjadi duit ibu bapa. Aku terkejut. Lantas aku nyatakan permintaan sekiranya wang belanja RM7,000 dipegang ibu itu berbaki, apakah aku boleh dapatkan baki itu untuk membuat perbelanjaan rumah tangga?

Tetapi ibu menjawab ia adalah duit ibu bapa mana mungkin baki diserahkan. Katanya, dengan RM3,000 yang diberikan kepadaku tadi itulah hak jika aku mahu menggunakan baki untuk keperluan rumahtangga atau berbulan madu atau apa sahaja.

Aku sedih, remuk dan berbelah bahagi. Tak tau nak nyatakan perasaan berumah tangga atau tanggapan aku terhadap ibu. Aku terlalu kecewa dengan pandangan ibu.

Bolehkah kalian faham, aku tidak berpeluang menerima hak seperti yang ayah sempat beri kepada kakak. Namun, wang majlis yang kami susah payah usahakan pula dirancang ibu dan akan digunakan semuanya sambil mengatakan ia hak ibu bapa.

Aku benar-benar buntu dengan sikap ibu. Aku merasakan seperti ibu seolah-olah mahu mengaut semua duit perkahwinan ini. Sedangkan aku dan tunang mengikat perut termasuklah membuat perniagaan sampingan demi persiapan majlis dan mengumpul duit.

Adakah logik jika ibu tidak mengeluarkan sesen pun duit simpanan ayah tetapi berhak ke atas salam kaut yang diberikan tetamu seolah-olah ibu menjadi lebih beruntung kerana mendapat tambahan duit.

Bukanlah aku ini tamak, cuma aku terkilan kerana majlis kahwinku ditanggung sepenuhnya oleh kami, tidak seperti kakakku yang dibantu ayah.

Namun yang lebih aku kesalkan ialah pandangan ibu sebegini dan dia tegas dengan pendiriannya.

Adakah aku yang silap dalam hal ini?

Jika salah faham ini dari ibuku, apakah yang patut aku luah dan katakan kepadanya kerana untuk pengetahuan pembaca, aku sendiri mencatu wang yang ada untuk majlis selain mengorek segala duit simpanan kami yang ada.

– Zati (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

error: Alert: Content is protected !!