Pengalamanku

Assalamualaikum semua. Terima kasih admin jika coretan ini disiarkan.

Sedikit latar belakang aku, berumur awal 30-an, anak ke 3 dari 5 orang adik beradik, berpendidikan dan belum berkahwin.

Kisah yang aku coretkan bukan untuk membuka pekung di dada apatah lagi merasa berbangga dengan apa yang telah berlaku tetapi jadikanlah iktibar dan pengajaran buat pembaca semua terutamanya buat para gadis/ perempuan/ wanita di luar sana.

Aku dibesarkan dengan cukup ilmu dunia dan agama. Tapi entah aku tersilap langkah sehingga aku masuk ke dunia yang mengubah diri aku 360 darjah.

Daripada seorang yang takut akan azab Allah sehingga aku berani melanggar segala larangannya. Janganlah kamu menghampiri zina,

Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat. Disebabkan perbuatan aku menyebabkan aku melahirkan seorang bayi yang tidak sah taraf.

Ya. Aku selamat melahirkan seorang bayi lelaki di hospital kerajaan dan ketika ini bayiku sudah bersama keluarga angkatnya. Alhamdulillah Allah mudahkan segala urusan ku dari aku bersalin sehinggalah checkup selepas bersalin.

Dari mula lagi aku selalu berdoa semoga Allah menjaga aib aku dan aib keluarga.

Dipertemukan dengan staff kesihatan yang baik-baik. Tidak pernah lagi semasa checkup aku berjumpa dengan orang-orang yang mengenaliku kecuali staff klinik kesihatan yang memang sedia kenal aku.

Allah masih sayang padaku dan masih memberi peluang untuk aku bertaubat.

Semasa mengandung aku langsung tidak membuat pemeriksaan kesihatan. Aku juga melakukan macam-macam cara untuk gugurkan kandungan ketika itu. Allahuakbar.

Ampunkan aku Ya Allah. Tetapi kandungan aku langsung tidak terjejas. Dan semasa melahirkan aku juga merasai kesakitan untuk bersalin dan turut dijahit.

Alhamdulillah bayiku selamat dilahirkan dengan keadaan yang sempurna dan sangatlah comel.

Aku terpaksa serahkan bayiku kepada keluarga angkat kerana keluarga aku tidak menginginkan bayi itu. Ayah bayiku tidak lari ya. Dia ingin bertanggungjawab tapi keluarga aku tidak sudi.

Sehingga sekarang keluarga aku membantah sekerasnya untuk menerima pilihan aku itu.

Jangan salahkan orang tua aku. Mungkin orang tua aku lebih mengetahui nya kenapa mereka tidak inginkan pilihan aku itu. Aku yang bersalah dalam hal ini.

Pesanan ku buat semua pembaca pandanglah wajah kedua orang tua mu dan perhatikan satu-satu keluarga mu.

Ingatlah setiap yang kamu lakukan bukan hanya kamu yang menerima kesannya tetapi keluarga kamu juga turut menerima palitnya terutama kedua orang tua mu. Kasihanilah mereka. Jagalah maruah kamu dan maruah keluarga kamu.

Kesannya pasti dirasai seumur hidup kamu.

Buat mereka yang sudah terlanjur dan sedang mengandung kan anak tidak sah taraf. Jangan gugurkan kandungan itu. Bukan niat aku nak menyokong anak tidak sah taraf tapi anak itu tidak bersalah.

Yang bersalah adalah orang tuanya. Jangan menambah dosa dengan menggugurkan atau membuang bayi itu. Ingatlah masih ramai pasangan diluar sana yang menginginkan anak.

Untuk bayiku, ibu selalu doakan kamu agar kamu membesar menjadi seorang anak yang baik dan menyenangkan hati orang tua yang menjaga kamu.

Ibu sayang kamu nak. Tapi apa yang ibu lakukan ini untuk masa depan kamu. Ibu hanya nak yang terbaik buat kamu.

Buat kalian semua.

Aku mohon doa kalian agar aku terus istiqomah dan tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Aku betul2 insaf dan bertaubat atas apa yang telah aku lakukan.

Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa yang telah aku lakukan dan semoga Allah mengampuni dosa kedua orang tua ku.

– Insan Berdosa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *