Poligami Yang Tiada Indahnya II

Untuk part I, (https://iiumc.com/poligami-yang-tiada-indahnya/).

Assalamualaikum semua. Berdasarkan komen kepada confession saya yang lepas, disini ingin saya jelaskan beberapa perkara.

Yang pertama, niat saya hanyalah ingin berkongsi penyelesaian jika ada sesiapa yang bermasalah seperti saya, untuk bertenang dan hanya memohon bantuan dari Yang Esa.

Sesungguhnya hati setiap dari kita amatlah payah untuk kita kawal. Walaupun dibalas dengan kecurangan suami, kuasa Allah, saya mampu untuk mengawal hati saya.

Berkenaan anak, seperti yang saya jelaskan, saya meminta suami supaya memilih anak dari saya.

Berkali kali saya merayu supaya fikirkan masa depan anak, tetapi suami saya hanya berdiam diri. Dia hanya mampu berkata, hal anak dia akan bertanggungjawab.

Tanpa saya duga, wanita itu memilih untuk melakukan sesuatu yang tidak saya duga yang terlalu peribadi untuk saya ceritakan di sini.

Saya redha. Jika dalam dosanya ada dosa saya, semoga Allah mengampunkan saya dan dia.

Saya bukan lubuk emas bagi sesiapa. Saya hanya seorang wanita yang hidup sederhana dan mampu menanggung diri andai tiada suami di sisi.

Suami hanya tersilap langkah. Jika suami ingin berubah, siapalah saya untuk menghakimi dia. Tiada sebab berkaitan material kerana suami sendiri berkelebihan dari segi kerjaya berbanding saya.

Saya tidak tahu apa yang ada dalam hati suami, dan saya juga tidak mahu terlalu fokus pada benda yang dah berlalu.

Sebagai wanita, saya yakin walaupun sedikit, ada kebaikan dalam diri saya yang suami saya dan wanita itu nampak. Saya bukan manusia hebat. Saya hanya ingin mencari keredhaan Allah.

Sedikit sebanyak, saya yakin jika suami saya dengan wanita itu, mungkin tiada peluang untuk suami saya menjadi lebih baik sedangkan usia semakin meningkat.

Sejahat mana suami saya, tetaplah saya mahu suami saya menjadi seorang umat yang soleh dimata Allah.

Alhamdulillah. Bukan sedikit perubahan suami selepas peristiwa ini. Saya bersyukur.

Apa yang berlaku antara suami dan wanita itu, itu dosa antara mereka dan Allah swt. Saya hanya mampu berdoa semoga suami kekal di jalan benar dan tidak mengikut hawa nafsunya lagi.

Saya sayangkan suami saya kerana Allah dan mahu bersama sama keJannah. Apalah kuasa saya untuk menghukum suami sedangkan saya juga manusia biasa yang banyak dosa.

Bukan saya ingin menidakkan perbuatan suami saya.

Ya dia bersalah dan berdosa. Tetapi saya merasa lebih bertanggungjawab untuk kekal di sisi suami dan perkahwinan kami. Sebab itu saya memilih untuk memaafkan dia.

Maaf andai cerita saya mengundang banyak persoalan. Jika terlalu banyak detail yang diceritakan, saya bimbang niat saya telah bertukar dari tujuan asal confession saya ini.

Sehingga hari ini, saya menaruh kepercayaan kepada suami yang antara mereka berdua sudah tiada hubungan.

Mungkin suami ada rasa kesal atas apa yang terjadi pada kami dan bakal anaknya, tapi apa yang terjadi, sudah terjadi.

Keputusan yang wanita itu buat, semuanya bukan di tangan saya. Walaupun kesal, apa daya saya untuk mengubah keadaan ini.

Semoga dengan sambungan cerita ini, kita semua berlapang dada menerima bermacam ragam kehidupan manusia.

Setiap dari kita tidak berada dalam kasut yang sama. Satu doa saya, supaya tiada siapa lagi antara kita semua yang menerima kesakitan yang sama.

Terima kasih kepada komen komen murni yang mendoakan saya. Semoga kita sama sama menuju ke syurga. Gunalah akal fikiran untuk menyelesaikan masalah, bukan mengikut nafsu.

Terima kasih.

– Isteri Suami Saya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *