Assalamualaikum wbt. Saya berharap confession saya ini disiarkan supaya ia jadi pengajaran kepada semua orang terutama yang sudah bergelar ibu.
Hai, nama saya Nur, saya anak no 5 daripada 11 orang adik beradik, 6 lelaki, 5 perempuan. Saya orang pantai timur berhampiran pantai dan sudah pun berkahwin setahun yang lalu dan masih belum dikurniakan anak.
Doakan saya. Keluarga besar saya nampak sempurna di mata orang luar sehingga ada yang cemburu kepada keluarga kami. Ibu ayah nampak alim dan rajin ke masjid.
Ibu ayah juga disegani masyarakat kerana kerjaya mereka. Anak-anak semua berjaya dan berkerjaya bagus walaupun keluarga yang besar. Hakikatnya, mereka tak tahu keluarga kami juga mempunyai sisi toksik yang mana hanya kami tahu.
Tak tau nak mula cerita bagaimana. Mungkin saya boleh ceritakan perkahwinan ibu dan ayah saya ni seperti penuh toksik dengan ipar duai yang toksik dan suka campur tangan.
Ayah saya baran dengan ibu dan selalu meninggi suara dengan ibu. Ibu pula seorang yang mudah berprasangka dan berkata-kata negatif dan mengundang pergaduhan dengan ayah.
Walaupun ayah baran dengan ibu tapi dia baik dengan anak-anak, jarang kami dimarahi ayah. Saya faham kenapa ayah selalu hilang sabar dengan ibu.
Walau bagaimana pun, saya memang tidak gembira dengan layanan ayah terhadap ibu sebab ibu sudah banyak berkorban melahirkan zuriat yang ramai untuk ayah.
Sekurang-kurangnya saya ingin ayah menghargai pengorbanan ibu dan cuba ignore sikap negatif ibu selagi mana ibu tidak melakukan perkara di luar batasan.
Kadang-kala ibu selalu berkata, akan ada seorang anak perempuan ayah yang akan dilayan teruk macam ibu oleh suami sebab ianya kifarah terhadap ayah.
Tapi, ibu cakap dia tak nak menda sama berlaku terhadap kami. Tanpa dia sedar, kata-katanya sebagai seorang ibu tu adalah doa.
Kami tau ibu sangat sayangkan kami anak-anaknya tapi disebabkan pengalaman hidupnya yang penuh dengan tohmahan dan layanan buruk, menyebabkan pemikiran dia jadi negatif.
Sehinggakan dia selalu saja tanam dalam fikiran kami tak boleh terlalu berharap pada suami, tak boleh percaya kepada suami, takut jadi apa-apa dan juga perasaan benci terhadap keluarga sebelah ayah.
Satu lagi sikap ibu yang sangat kami tak berkenan ialah ibu sangat suka mengata orang lain, mudah pandang buruk orang lain.
Kami sebolehnya elakkan bercerita buruk atau apa-apa yang negatif dengan ibu kami kerana kami tau pemikiran ibu macammana.
Ibu juga sangat-sangat berpandangan buruk dengan janda. Bagi ibu, hampir semua janda/ ibu tunggal ni tak elok, diceraikan kerana perangai tak elok.
Hatta dengan janda kematian suami pun akan terkena tempias. Dan, dia juga beranggapan janda memang suka mengorat suami orang.
Sehinggakan dia sangat prejudis jika dia nampak mana-mana janda baik dengan ayah. Dan, memang ini akan mengundang pergaduhan dengan ayah. Tanpa ibu sedar ibu mempunyai ramai anak perempuan.
Dan, sebulan yang lepas, kakak kami, Kak Ira (kakak sulung) yang paling baik orangnya diceraikan suaminya.
Sebelum itu, ibu pernah berkata jika Kak Ira terus selekeh macam sekarang ni dan semakin gemuk, tak mustahil suatu hari nanti Abang Z buat hal. Dan, kata-katanya seolah-olah sudah termakbul!
Kak Ira sudah pun mempunyai sepasang anak berusia 6 tahun dan 4 tahun, Afiq dan Aina. Tanpa sebab yang kukuh Kak Ira diceraikan, alasannya sebab Abang Z sudah tidak mempunyai rasa sayang kepada Kak Ira. Allahu…
Ianya memberi tamparan hebat kepada ibu kami. Dan, semestinya kami juga. Kami yang sangat menyayangi kakak sulung kami turut rasa dicarik-carik hati.
Beberapa hari saya menangis mengenangkan ujian berat yang dihadapi oleh Kak Ira. Sedangkan Kak Ira tenang saja. Kami pula yang menangis lebih-lebih.
Nak kata Kak Ira ada perangai, buat hal, dia sangat disayangi oleh keluarga mentuanya kerana sikapnya yang sangat baik dan naif.
Dia juga sangat lemah lembut orangnya. Rupa pun manis walaupun bukannya kategori cantik seperti model. Jangan ditanya apa yang dibuat oleh keluarga mentuanya.
Ibu bapa mentuanya sudah puas menasihati Abg Z tetapi the dia tetap berdegil dengan keputusannya. Kak Ira masih sayangkan rumahtangganya dan berharap suaminya kembali kepada dia demi anak-anak.
Tetapi sebaliknya ibu kami. Ibu kami sebolehnya ingin putuskan hubungan Kak Ira dan cucu-cucunya daripada suami dan keluarganya walaupun iddah belum habis dan masih ada peluang untuk rujuk.
Kami faham ibu marah. Tapi, dalam masa sama, kami juga mahu ibu kami muhasabah diri kenapa semua ni terjadi.
Kami bukan nak salahkan ibu kami. Sebab ini adalah takdir dan ujian untuk Kak Ira. Kak Ira adalah orang yang terpilih kerana kebaikan yang dimilikinya.
Tetapi, mungkin Allah nak jentik ibu kami supaya tersedar dari sikapnya yang semakin tersasar dan suka bercakap perkara tak elok.
Kini, kami pula risau takut satu-satu apa yang dia pernah cakap jadi kenyataan. Dia selalu cakap Kak Ira dan Kak Ina (kakak no 3) akan dibenci suami sebab semakin gemuk dan tak cantik.
Dan, dia selalu cakap suami anak-anaknya akan layan teruk anak-anaknya kerana ayah kami layan teruk ibu.
Sehinggakan saya takut nak kahwin sebelum ni sehingga usia saya hampir penghujung 30 barulah bertemu jodoh.
Kata-kata ibu itu doa. Sedikit sebanyak memang ada tempias kepada kami. Memang suami saya sendiri selalu meninggi suara dengan saya walaupun hanya sedikit kesilapan.
Apabila kami tegur ibu, jangan cakap macam tu sebab kata-kata itu doa, kami dimarah balik kata kami cakap dia berdoa perkara tak elok untuk anak-anak.
Takkanlah ibu nak doa menda tak elok, ibu cuma bagitau kenyataan. Kata ibu la. Tapi, tak bolehkah ibu bercakap perkara yang elok saja? Tak ucap perkara tak elok, tak mengata orang…
Tak bolehkah ibu cakap ibu doakan anak-anak dapat suami yang lembut dan baik dengan isteri.
Jika ibu risau anaknya dibenci suami kerana semakin tak cantik, tak bolehkah ibu cakap ibu doakan suami tetap sayang anak-anaknya walaupun dah semakin gemuk dan tak cantik. Tapi ibu nak anak-anak kuruskan badan untuk kesihatan.
Tak bolehkah ibu cakap macam tu? Ya, kami faham ibu nak anak-anak kurus sebab risau anak-anak kena penyakit dan suami berpaling tadah kerana semakin tak cantik.
Tapi hakikatnya, kecantikan manusia tetap akan luntur apabila semakin tua walaupun tak gemuk.
Ibu, kami sayangkan ibu kami sangat-sangat sebab sudah banyak dia berkorban untuk kami. Kami sayangkan ibu kami Lillahi Taala. Kami inginkan syurga untuk ibu dan ayah kami.
Jadi, kami berharap sangat ibu kami berubah dan bercakap elok-elok sahaja kerana kami perlukan doa ibu. Doa ibu ni bukan saja melalui solat hajat tapi juga melalui kata-kata ibu seharian.
Tapi, susah sangat untuk kami tegur ibu kerana ibu bukan boleh terima teguran. Silap-silap kami jadi anak derhaka di matanya kerana bersikap kurang ajar terhadapnya apabila menegur sikapnya.
Tapi, kalian tolong jangan kutuk ibu kami kerana ibu kami mempunyai sisi positifnya juga.
Dia seorang ibu yang sangat protective terhadap kami sehinggakan dia paranoid jika kami melalui pengalaman hidup yang pahit sepertinya. Dia sudah banyak berkorban untuk kami. Tetapi, dia tak sedar kata-katanya sebagai ibu adalah doa.
Kadang-kadang, kami terfikir adakah ibu ingin lihat anak-anaknya hidup tak bahagia dengan selalu mengungkapkan kata-kata tak elok terhadap kami?
Ibu gembira ke tengok Kak Ira diceraikan macam tu? Ibu gembira ke kata-katanya menjadi kenyataan? Tidak bukan?
Kepada abang iparku, perkahwinan ini adalah amanah dan tanggungjawab. Bukannya sekadar untuk berseronok dan suka-suka.
Begitu tega kamu meninggalkan Kak Ira hanya kerana sudah tidak mempunyai perasaan sayang. Tanpa memikirkan bagaimana anak-anaknya hidup dalam keluarga yang berpecah-belah. Tak kasihan ke dengan Afiq dan Aina yang masih kecil?
Tak bolehkah kamu hargai pengorbanan Kak Ira yang sudah berkorban melahirkan dua zuriat kamu?
Kak Ira juga sanggup melepaskan jawatan dia sebagai eksekutif semata-mata ingin menjaga zuriat kamu dan mengikut kamu berpindah ke kampung halaman. Sedangkan perasaan sayang itu boleh dipupuk lagi kemudian.
Kamu lupa saat kamu inginkan Kak Ira, kamu sanggup merampas Kak Ira dari tunangannya ketika itu.
Dan, sedarkah kamu, kamu mempunyai anak perempuan dan adik perempuan yang sangat kamu sayang. Tidak takutkah kamu jika Allah menguji perkara yang sama terhadap orang yang kamu sayang?
– Nur (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit