Alkisah sekolah lama

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya ingin berkongsi secebis pengalaman hidup yang tidak seberapa.

Semuanya bermula apabila saya dimasukkan dalam group whatsapp sekolah lama yang bercampur antara lelaki dan perempuan setelah sekian lama tidak berhubung dengan lelaki. Permulaan saya dalam group itu telah menimbulkan kemarahan dalam diri apabila dikenen-kenenkan dengan kawan-kawan lama. Ini mungkin stereotaip diri saya sendiri yang sememangnya tidak suka kepada lelaki ajnabi kerana menganggap mereka sebagai golongan yang tidak menghormati wanita dan hanya menganggap wanita sebagai permainan mereka yang boleh ditolak tepi disepak seperti bola…

Akhirnya saya meninggalkan nombor telefon ayah saya untuk mereka hubungi jika benar-benar serius dengan saya. Sudah menjadi prinsip diri ini iaitu mengutamakan ibu ayah dalam apa jua urusan yang penting.

Nak dijadikan cerita, ayah beritahu ada seorang kawan yang menghubunginya. Jadi, ayah mula tujukan soalan tentang kawan tersebut. Tapi, aku benar-benar tidak mengenalinya sehinggalah ibuku yang mengingatkanku. Itupun ingatanku tidak kepada tuan diri. Hanya ibunya dan adiknya yang segar dalam ingatanku. Bukanlah suatu yang pelik, kerana aku memang tak suka lelaki sejak umurku meningkat akil baligh.

Pada raya aidilfitri, buat pertama kalinya dia dan seorang teman rapatnya datang ke rumah untuk menziarahi ibu ayahku. Tetamu yang tak diundang, itulah yang terlintas dalam hatiku saat itu. Cuba bayangkan, datang pada waktu pagi tanpa ada apa-apa perkhabaran kepada ayahku, aku apatah lagi kerana tidak mengenalinya.

Permainannya mulai membuatku bertambah geram apabila sahabatnya sendiri yang mula melaga-lagakan kami dalam group sekolah sedangkan bagiku, aku tiada apa-apa perasaan kepadanya. Hanya Allah yang tahu betapa berapinya hatiku dengan sahabatnya itu. Akupun meninggalkan group whatsapp tersebut. Jadi, diapun mulalah 'pm' aku bertanyakan sebab. Pada awalnya, aku tidak ingin melayaninya. Tapi disebabkan kesungguhannya dengan berulang kali menghantar mesej dan missed call, akupun menjawab pertanyaannya secara acuh tak acuh. Kemudian sekali lagi aku dimasukkan semula ke dalam group itu.

Mulanya keadaan kembali tenang sehinggalah sahabatnya memulai semula perangai lelaki yang paling aku benci iaitulah memuat naik gambar-gambar kontroversi antara aku dan dia. Sedangkan kami tak pernah bertemu apatah lagi berjumpa. Hanya kerana dia tahu lokasi rumahku dan sering ke kawasan perumahanku bertemu kawan lamanya, itulah menjadi modal bahan sahabatnya.

Sampai satu tahap, aku tidak mampu lagi berdiam diri. Aku mulai mesej si lelaki tersebut untuk meminta keluarganya datang bertemu keluargaku jika dia benar-benar serius denganku. Dia mulai rasa serba salah. Diapun menceritakan segalanya kepada kedua ibubapanya dan meminta mereka untuk berbincang dengan keluargaku. Tanpa disangka oleh aku dan dia, ibubapanya datang bukan sekadar untuk berbincang tetapi datang bersama sebentuk cincin. Perkara di luar perancangannya berlaku. Aku juga terkejut. Bukan ini yang kupinta. Aku hanya ingin kedua-dua keluarga berbincang dan berkenalan.

Malam itu, kedua-duanya, aku dan dia buntu. Sejujurnya, aku belum bersedia untuk bernikah atau memulakan apa-apa perhubungan kerana aku masih belajar. Apatah lagi dengannya kerana dia baru ingin menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda. Keadaan yang sangat-sangat tidak sesuai untuk bernikah. Lagipun aku sendiri lebih suka calon suami yang lebih tua dariku, bukan calon yang sebaya denganku.

Bermula malam itu, hatiku mulai tidak tenang. Aku berusaha untuk menenangkan diriku dengan mengadu kepada Yang Maha Mengetahui hingga hampir beberapa bulan. Pipiku hampir setiap malam dibasahi air mata mengadu kepada-Nya perasaanku. Namun dalam masa yang sama, aku berusaha mengenali keluarga si dia. Menghormati hajat ibunya yang telah lama mengenaliku. Aku berusaha untuk tidak menyakiti hati mereka. Aku lakukan sendirian tanpa pengetahuan kedua ibubapaku.

Akhirnya Allah menjawab segala persoalanku untuk aku mengenali dirinya yang sebenar. Suatu hari, dia beria-ia bercakap soal perkahwinan dan bertanya soal saiz cincin apa bagai. Aku tertanya-tanya dalam diri, apa yang sedang berlaku kerana semuanya berlaku secara tiba-tiba. Aku hanya menjawab persoalannya kerana malas nak melayan. Aku tawakkal kepada Allah Ta'ala soal jodoh wlaupun jauh dalam hatiku merasa ada yang tak kena. Selepas beberapa hari, dia berterus-terang kepadaku perkara sebenar. Aku hanyalah mangsa untuk dia menyejukkan hati ibunya tentang beberapa peristiwa. Sebenarnya dia sudah memiliki kekasih hati dan ingin menikahinya tetapi tidak mendapat restu ibubapanya. Jadi, kerana ibubapanya meminatiku, dia memanfaatkan situasi ini untuk tetap memiliki kekasih hatinya dengan cara poligami. Itulah perancangannya.

Aku yang memang tidak memiliki apa-apa rasa terhadapnya menerima semua itu dengan setenangnya. Lega. Itulah yang aku rasakan. Alhamdulillah Allah pelihara diriku daripada permainan seorang lelaki yang hanya pentingkan diri sendiri. Cuma, hatiku bersedih apabila mengenangkan nasib ibunya. Apakah perasaan seorang ibu apabila anaknya melakukan perkara begini? Jadi, aku berusaha untuk mendamaikan antara kekasihnya dan ibunya. Aku berusaha menjadi orang tengah antara mereka. Aku mulai dengan bersembang dengan kekasihnya yang sudah tawar hati dengannya sejak tahu yang ibubapanya hantar cincin kepadaku. Aku berusaha untuk memujuknya tetapi malah aku dimaki-maki dan ibunya dihina-hina. Ingin saja aku memarahinya tetapi bagiku itu hanya memburukkan keadaan kerana dia masih terlalu muda untuk mengawal emosi. Pantas jika mudah mengikut nafsu kerana darah masih muda.

Dalam hatiku, inikah isteri yang kau inginkan wahai pemuda? Yang tidak menghormati ibumu sebelum mengahwinimu, bagaimana pula setelah kamu berdua berkahwin? Aku kasihan terhadap ibumu. Jika aku dimaki, tidak mengapa, aku terima kerana mungkin aku ni dianggap sebagai perampas, walaupun aku tidak punya apa-apa perasaan pun terhadapnya dan kami tak pernah berjumpa berduaan atau kata lain yang mudah, 'couple'. Takkan sesekali aku lakukan itu. Aku berpegang pada prinsipku, "Bercinta selepas menikah". Dan perkara pertama yang paling aku titikberatkan adalah kebajikan ibu suamiku jika dia masih mempunyai ibu. Kerana itulah yang ibubapaku didik sejak aku akil baligh. Aku takkan ber'couple' kerana aku sayang ibubapaku. Aku tidak mahu mereka diseksa keranaku.

Apabila bertemu ibunya pula, aku bertanyakan sebab ketidakterimaan calon yang dia inginkan. Jawapan ibunya, "naluri seorang ibu kuat mengatakan dia bukanlah calon yang baik. Makcik tak dapat nyatakan sebab tertentu. Tapi itulah, hati makcik dapat rasa ada sesuatu yang tak kena dengan calonnya". Dalam hatiku, benar naluri makcik. Naluri ibu adalah ni'mat Allah yang sangat istimewa. Allah hanya kurniakan kepada yang bergelar ibu. Sebab tulah, jangan disangkal kata seorang ibu.

Sekian sahaja perkongsian yang sudi aku kongsikan. Seburuk manapun dia, dia memiliki satu ciri yang sukar didapati pada lelaki lain, iaitulah berterus-terang dan mengutamakan ibunya. Atas dasar itulah, dia tetap menjadi kawan kepadaku.

Penutup : Aku bersyukur kepada Allah Ta'ala atas pengalaman yang cukup bermakna ini. Banyak perkara yang aku pelajari sepanjang pengalaman yang Allah izinkan ini. Moga Allah Ta'ala kurniakan kepadaku jodoh yang terbaik buat diriku. Wallahu a'lam.

– zaf

Hantar confession anda di sini -> iiumc.com/submit

4 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *