Suami T20 Yang Idamkan Rumah Bersih

Assalammualaikum pada pembaca semua. Sebenarnya selama ni saya pun cuma jadi pembaca je. Ye lah orang laki kan, segan nak komen atau kongsi masalah.

Selalu juga baca semua cerita kat page ni terutama bila babitkan cabaran-cabaran dalam rumahtangga. Kalau kisah-kisah cinta saya jarang lah akan baca habis. Saya ni lelaki biasa je, berumur lingkungan akhir 30an dan dah pun berkahwin hampir 9 tahun.

Anak sulung pun dah sekolah rendah.. Isteri saya dulu pernah bekerja tapi dia kemudian ambil keputusan untuk jadi surirumah sepenuh masa selepas lahirnya anak kedua kami lebih kurang 6 tahun lepas.

(Memang saya berterima kasih sangat-sangat pada dia yang jaga anak-anak kami).

Kehidupan kami bolehlah dikategorikan mewah walaupun hanya saya seorang yang bekerja. Disebabkan rezeki anak-anak, bahagia si isteri dan doa ibu bapa saya, Alhamdulillah memang saya boleh dikatakan berjaya dalam kerjaya saya.

Bekerja sebagai pengurus kanan di sebuah syarikat antarabangsa, jadi macam tajuk kat atas tu, umur 30an tapi gaji memang sangat memuaskan. Malah bonus dan kenaikan pun sentiasa dapat. Limpah rahmat rezeki Allah. Saya memang bersyukur.

Cumanya, saya dah lama rasa tertekan, memendam rasa dan dah jadi panas baran terhadap satu masalah antara saya dengan isteri yang dah berlaku sejak kami mula berumahtangga lagi.

Tertekan dengan sikap isteri saya yang mana dia ni agak pengotor dan pemalas (Dia seorang yang lemah lembut, perwatakan menarik dan pandai jaga hati keluarga).

Saya memang dah tahu sejak sebelum kahwin lagi sebenarnya. Sebab bila pertama kali bertandang ke rumah keluarga mertua saya, dapur berselerak, pinggan tak berbasuh dan tandas sangat kotor.

Kedua-dua mertua bekerja sebagai kakitangan kerajaan tetapi rumah memang sangat kotor. Isteri kalau dalam facebook memang cantik dan bergaya. Semua orang suka. Tapi pada saya hipokrit. Kehidupan social media yang luaran je nampak best.

Sebelum kahwin lagi isteri selalu cakap dia rasa segan dan malu bila tengok rumah mak saya. Rumah biasa tapi bersih.

Tapi dah nama pun cinta, saya dulu fikir mungkin dengan nasihat, tunjuk ajar dan bagi contoh bagaimana saya dibesarkan dan dididik oleh keluarga saya, saya jangka dia akan berubah.

Sembang je konon malu, tapi takde tindakan pun. Dah 9 tahun, dah berbuih mulut nasihat, bergaduh sebab kebersihan ni dah jadi acara mingguan, tapi perangai tetap sama tak berubah. Sampai saya malas dah nak nasihat, saya hanya menjerit dan marah.

Perangai malas tu saya tak kisah. Saya faham sebab mungkin penat layan anak. Tapi biarlah ada sikap pembersih. Panggil orang cuci rumah ke, atau gajikan pembantu rumah pun dia pulak suruh saya yang cari dan pastikan yang tua bangka.

Saya boleh sediakan duit. Dia cuma perlu call atau urus carikan. Google ke, atau guna lah khidmat siapa pun. Tapi itupun dia tak buat. End up saya juga yang panggil pencuci datang rumah.

Senang cerita, dia cuma biar je rumah jadi sarang sampah dan kotor. Solat pun jadi tak tentu hala. Sebagai suami saya malu dan rasa bersalah sebab gagal didik isteri.

Nak mengadu kat keluarga rasa malu. Tak tahu nak minta nasihat siapa. Mak ayah saya sebenarnya saya dapat rasa dia mesti tahu serba sikit perangai isteri saya, tapi mak saya ni mertua yang lemah lembut dan hanya berkias je dengan saya sekali sekala. Malu sangat.

Duduk rumah mewah, kawasan perumahan mewah. Tapi nak jemput orang masuk rumah pun malu. Dapur berkerak. Bilik air kalau tak saya yang basuh memang berkeladak dan kotor sangat-sangat. Harijadi anak saya mesti buat kat restoren atau club house.

Tak pernah panggil orang datang bertandang ke rumah kami. Padahal saudara mara selalu je perli. Teringin nak ke rumah kami.

Kawasan gated dalam KL memang nampak cantik dan mewah. Staff selalu tanya bila Raya boss tak buat open house ke. Teringin sangat malah saya ni suka rumah cantik dan bersih.

Duit ada tapi perangai kalah kan gelandangan. Kehidupan kami orang luar tengok nampak cantik tapi kat dalam.. hmm… Saya risau anak-anak pun membesar akan jadi pengotor. Tanda-tanda dah ada.

Ni lah kehidupan balik tabir yang orang tak nampak. Stress dan memalukan. Tak tahu nak buat macam mana dah. Macam-macam cara saya dah buat.

– Suami Stress Tapi Sayangkan Anak-Anak (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *