Permata Yang Berharga

Jika Allah hendak memberikan kebahagiaan, tak ada satu tangan pun dapat menghalang. Pejamkan mata dan yakinlah, DIA Maha Mengetahui segala isi hati.

Perjalanan kita pada hari ini adalah dari perancangan DIA, disusuli doa dan usaha kita mengubahnya. Sesungguhnya perancangan DIA paling hebat. Buka mata dan lihatlah ke langit, perhatikan awan yang kian melabuhkan tirainya. Bulatkan tekad, senyum, dan katakanlah :

“Aku percayakanMU”

Assalamualaikum buat sahabatku sekalian.

Kebelakangan ini, kerap kali saya baca luahan mengenai anak sulung perempuan yang kurang bernasib baik dek sikap pilih kasih dalam keluarga.

Ada yang mengatakan kurangnya kasih sayang kepada anak sulung perempuan kerana rasa cemburu sang ibu apabila kasih suaminya beralih kepada anak. Sahabat, anak itu datangnya dari rahim ibu yang berkorban segala kudrat. Mengapa mahu membenci zuriat sendiri?

Anak sulung pastinya mendapat tempat paling istimewa. Kadang, hadirnya tanpa dipinta. Kadang juga, kehadirannya dinantikan keluarga.

Sepertimana kisah kakak sulung saya, hadirnya tanpa dipinta saat ibu bapa masih bergelut dengan kewangan dan keadaan kerja yang belum stabil. Namun, kehadirannya bagaikan menyinari keluarga lain yang menantikannya.

Untuk memudahkan penceritaan, saya akan mulakan dari awal kisah. Saya bahagikan kisah ini kepada beberapa subtopik.

1) Kehadiran kakak.

Saya mempunyai seorang kakak, diikuti tiga lelaki (termasuk saya) dan dua orang adik perempuan yang masih kecil. Ibu bapa kahwin awal dan dikurniakan zuriat awal. Berbanding dengan pakcik dan makcik kami, sudah lama berkahwin dan berusaha menginginkan anak.

Namun apakan daya, makcik keguguran dek kemalangan yang menimpanya kerana kejutan elektrik. Puas ikhtiar cara kampung namun tiara rezeki.

Mungkin inilah maksudnya ‘dalam rezeki kita, turut ada rezeki orang lain’. Mereka berkongsi rezeki dengan anak yatim. Kadang, makcik mengambil upah menjadi pengasuh budak pada waktu siang.

Bukan kerana keperluan duit, tapi kerana sunyi tiada permata hati. Kadang juga, makcik mengasuh anak-anak saudara yang lain saat adik-adik ipar berjuang melahirkan anak. Dalam bahasa mudah, tengok-tengokkan anak saudara. Tibalah giliran ibu saya melahirkan anak lelaki di hospital.

Maka ditinggalkan kakak sulung berumur yang lincah dibawah jagaan pakcik dan makcik. Sudahlah dari kecil dimanjakan, apatah lagi apabila dijaga siang dan malam. Hati perempuan mana tak sakit bilamana sudah lama berkahwin namun belum jua dikurniakan rezeki.

Tambah pula, kata-kata negatif dari orang sekeliling. Sudah lama berkahwin tapi belum punyai anak, sedangkan orang lain berderet ramainya anak. Tak kurang juga, kawan-kawan pakcik yang selalu mengesyorkan pakcik cari lain. Makcik pun redha, mungkin sampai situ sahaja titik noktah bahagia.

Dek sayangkan makcik, pakcik mengambil keputusan untuk menjaga kakak sulung kami bagaikan anak sendiri. Dijaga dan dibelai bagaikan permata. Dari segi aurat, tiada masalah kerana pakcik saya merupakan abang kepada bapa (mahram dari sudut kerabat).

Pakcik terlalu manjakan kakak namun tidak pula timbul rasa cemburu dalam diri makcik. Walhal, kakak bukanlah datang dari rahimnya. Pakcik pergi kerja, makcik lah yang melayan keletah kakak tanpa rasa jemu.

Pendek kata, mereka tidak tidur malam kalau kakak sulung demam. Mereka bergilir-gilir menjaganya dan hanya akan tenang hati apabila kakak kembali sihat.

Ibu bapa saya pula makin bertambah rezeki selepas kelahiran anak ke-3. Alhamdulillah bapa mendapat pekerjaan yang stabil berkat doa dan usahanya sendiri. Yang lebih istimewanya, kami tidak pernah dipaksa berjauhan dengan kakak walaupun kakak sudah dibawah tanggungan pakcik.

Saat kami bergaduh, pakcik selalu memujuk kakak sulung supaya berkongsi rezeki seperti makanan, mainan, dan lain-lain. Pokok pangkal, tidak elok bergaduh sesama adik-beradik. Biasalah, membesar dengan tiga orang adik lelaki pastinya banyak ragam.

Bukan mudah menjaga seorang anak gadis yang suka masuk hutan menjerat ikan dan burung, halau biawak di tebing sungai, melompat sana dan sini hinggakan pernah patah tangan kanan, lumba basikal sampaikan kakak kemalangan dengan motor.

Paling teruk, kaki berdarah sangkut rantai basikal. Seiring dengan masa, parut di kakinya hilang.

Hipotesis : semakin tapak kaki membesar dari tahun ke tahun, parut semakin ‘stretchable’ lalu menjadikan kulit kembali normal dan rata (bukan merepek, tapi begitulah ceritanya). Kami anak-anak lelaki inilah yang diamanahkan menjaga kakak sepanjang disekolah.

Kakak satu-satunya anak perempuan tunggal makcik dan pakcik serta ibu dan ayah kami. Jauh juga jarak umur kami berempat dengan dua orang adik perempuan bongsu. Saat kami habis sekolah, adik-adik bongsu perempuan masih sekolah rendah.

Oleh kerana kakak dilimpahi kasih sayang melimpah ruah segenap dimensi dari keluarga kandung dan keluarga angkat ditambah pula zaman kanak-kanak yang indah, ada kanak-kanak seusianya mula cemburu dan mengutuk kakak anak pungut tong sampah dan anak har*m.

Biasalah, penjaga nama lain tapi berbinti nama bapa kami. Itu sahajalah dugaannya.

2) Pendidikan.

Kakak juga dianugerahi kecemerlangan dari segi akademik tapi ‘hampeh’ bab kokurikulum. Dari sekolah rendah hinggakan menengah, kakak memang tidak sukakan olahraga melainkan dipaksa dan diugut oleh cikgu kokurikulum.

Kakak betul-betul menyerlah sewaktu sekolah rendah, menambahkan lagi rasa bangga dalam diri pakcik dan makcik.

Lantas, pakcik membakar semangat kami adik-beradik lelaki untuk mencontohi kakak. Baginya, kami juga anak-anak lelaki yang akan mengangkat jenazahnya kelak maka sudah tentu dia mahu melihat kejayaan kami. (dibaca : Al-Fatihah untuk arwah).

Seperti biasa, kakak berjaya mendapat keputusan cemerlang UPSR dan melangkah ke alam menengah rendah. Hari-hari cemerlang kakak mulai malap kerana kakak susah nak hadam Matematik.

Kakak banyak menghabiskan waktu bersendirian di atas lantai bilik sambil bergelimpangan dengan buku-bukunya. Puas dipanggil menghadap meja makan bagi mengisi perut kosong namun tidak dipedulikan.

Badan kakak makin merosot. Dalam pada masa yang sama, kakak yang dulunya bagaikan lelaki kini menjadi seorang yang lemah-lembut kerana perubahan tingkahlaku.

Tutur kata dan pakaian juga terjaga, mencerminkan diri sebagai seorang anak gadis. Kakak tidak mempunyai ramai kawan dek perilaku kakak sendiri.

Puas kawan-kawan mengajak melepak pusat beli-belah setiap kali hari minggu, namun ditolak lembut kerana kakak lebih gemar menghabiskan masa dirumah.

Kakak juga tidak pernah mengikuti rombongan sekolah bersama kawan-kawan yang lain. Bukan kerana ketiadaan wang, tapi kerana sikap kakak yang lebih selesa berada di rumah.

Oh, satu lagi fakta tentang kakak adalah pengiraan dan waktu. Kakak bukan sahaja anti kokurikulum dan tidak berapa mahir melihat jam dinding, malah kakak juga lemah subjek pengiraan seperti matematik dan akaun. Sekelip mata, otaknya lumpuh tak mampu mencerna maklumat.

Oleh itu, kakak berjaya memperolehi A untuk semua subjek, tapi C untuk Matematik serta Akaun dan G untuk Addmath. Bukan kakak sahaja, saya pun begitu hehe. Tapi result saya lagi gempak, kesemuanya A, sekadar E untuk Addmath. Sila teka otak kami jenis apa di ruangan komen.

Berbalik kepada kisah tadi, namanya diumumkan guru untuk naik ke pentas. Bibir mengoyak senyum sekadar wayang didepan lensa namun hatinya terkilan tak nampak arah tujuan.

Matanya telah dikaburi dengan C dan G. Lalu pakcik kami yang berada ditempat kerja menghubunginya, menitipkan kata-kata semangat bahawa kakak lah anak paling terhebat yang akan menjadi contoh teladan kepada adik-adik yang lain.

Kata pakcik, bersyukur kepada Tuhan adalah lebih baik dari segala-galanya. Alhamdulillah, kakak telah pun menamatkan pengajian ijazah sarjana muda di salah sebuah IPTA terkemuka pada tahun lalu.

3) Cinta.

Kata kakak, memang bahagia menjadi pilihan hati orang ramai. Tapi yang tak bahagia bilamana harus memilih satu antara beribu pilihan.

Nak kata kakak cantik, jauh sekali. Nak kata lawa, lagilah tidak. Tak gelap, dan tak juga putih. Sekadar manis dipandang kerana wajahnya selalu berseri-seri dek kulit warna isi durian dan licin tanpa jerawat.

Kakak sangat bangga dengan warna asli kulitnya walaupun tidak putih jelita seperti pelakon tanah air. Kakak sangat anti produk merkuri dan selalu menasihati kami supaya sentiasa semak sebelum membeli segala produk di laman web NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara).

Kata kakak, biar tak putih yang penting sihat. Biasalah, lelaki pun kena jaga muka. Baiklah, kita sambung subtopik tadi. Agak pelik bilamana rupa kakak biasa-biasa sahaja tapi mampu menambat hati sang jejaka. Betullah kata orang, cinta itu buta. Warna kulit kuning isi durian pun dikatanya comel.

Pernah ada seorang lelaki Melayu mengejar cinta kakak namun ditolaknya kerana kakak menghormati kata-kata pakcik yang tidak mahu kakak bermain cinta disekolah. Sejak dari hari itu, ada sahaja perkelahian dalam diam antara mereka kerana rasa tidak puas hati si lelaki.

Siapa yang tak kecewa bilamana gadis yang sentiasa dinantikan tiap kali datang sekolah, rehat dan waktu balik saban hari menolak perasaannya. Inilah fungsi kami adik-beradik lelaki, dipergunakan kakak untuk tujuan penyamaran.

Kami dipaksanya menyamar sebagai teman lelaki supaya memudahkan kerja kakak menolak cinta lelaki lain.

Alasan dia? Pakcik tak bagi conteng arang kat muka (couple). Dalam pada masa yang sama, seorang lelaki berbangsa Cina sukakannya. Buat kesekian kalinya, kakak menolak dengan alasan berbeda agama dan bangsa. Lantas lelaki ini datang berjumpa pakcik kami bagi meminta izin untuk berkawan.

Pakcik memberikan persetujuan bersyarat iaitu boleh berhubung hanya selepas tamat SPM. Lelaki Cina ini sentiasa menantikan kakak dan tak jemu bertanyakan khabar kakak melalui kami menggunakan medium Messenger Facebook. Lelaki ini juga pandai mengambil hati makcik dan pakcik kami.

Katanya, ikhlas sukakan kakak. Tapi itulah kakak, tetap berdiam diri dan tak pernah menyangka akan terlibat dalam kisah cinta sebegini. Sejak dari tamat SPM hingga umur kakak kini hampir mencecah 25 tahun, lelaki ini berusaha mendalami ilmu agama dan setia menanti kakak.

Ya, lelaki itu masih menanti kakak walaupun sudah masuk tahun baru 2021, kerana cintanya tak pernah luput dek waktu malah makin membuatnya bersedia ingin memperisterikan kakak. Bukan saya mahu ketengahkan kisah cinta kakak. Saya sekadar mahu ringkaskan soal jodoh dimata makcik.

Menurut makcik, dia tidak kisah siapa pun jodoh kakak baik cina, india, pakistan, atau bangla. Katanya, tugas dia hanyalah menjaga kakak dan dia serahkan soal jodoh kepada Tuhan. Yang penting, bakal suami sayangkan kakak sebagaimana dia dan arwah pakcik sayangkan kakak.

4) Fikiran & tingkahlaku.

Kakak pelik orangnya, mudah serabut apabila mendengar lagu. Seringkali dia persoalkan bagaimana orang lain boleh belajar sambil dengar lagu sedangkan dia tidak mampu berbuat demikian.

Pernah suatu ketika, ada seorang Tuan yang bijaksana memerhatikan tingkah laku kakak. Aneh, bukan? Rupanya Tuan yang bijaksana itu bukan calang-calang orang tetapi berilmuan dalam psikologi.

Pada awalnya, beliau sekadar orang asing yang lalu-lalang dan hanya bersantai sahaja. Namun beliau secara tidak sengaja memerhatikan tutur kata kakak. Kakak bukanlah seorang yang pekak, tapi kakak akan ulang soalan yang diajukan orang lain kepadanya berulang kali. Sebagai contoh,

Pelayan : Harga pakej 3 orang makan, RM100. Add-on dari RM15 hingga RM25.

Kakak : 3 orang, 100. Nak tambah lauk lain, RM15 ke RM25. Betul?

Pelayan : Ya, betul.

Kakak : Ok, faham. Boleh!

Kata beliau, tingkahlaku kakak menarik perhatiannya. Untuk menguji kakak, beliau bertanya soalan mudah :

“Bagaimana caranya baking cake”

Soalan mudah, tapi bagaimana kakak menjawab soalan itulah yang menentukan kemahiran dalam berfikir. Ulasan beliau,

” Manusia ada dua kategori iaitu audio dan visual. Kakak awak jenis visual. Saya perhatikan matanya sewaktu dia terangkan cara baking cake. Tapi matanya melihat ke atas seolah-olah matanya sedang melihat ‘dialog box’ dan tangannya tidak statik, selalu bergerak.

Maksud di sini, otaknya memberi gambaran sebelum melontarkan kata-kata. Orang jenis ini dikategorikan berhati-hati dalam melontarkan kata-kata. Walaupun bukan anak kandung, makcik dan pakcik sangat peka dengan kelakuan kakak.

Mungkin kerana cara pemikiran ‘visual’, kakak bukan kategori banyak cakap semenjak dari kecil lagi. Melainkan ada sesuatu yang ‘trigger’ kakak untuk petah bercakap tanpa henti (macam bergaduh ). Maka, makcik faham benar kelakuan kakak walaupun tak ditonjolkan.

Secara keseluruhannya, pakcik dan makcik sentiasa menyokong kakak dari kecil hingga sekarang tanpa sebarang paksaan walaupun mereka yang membesarkan kakak.

Tiada istilah menurut segala keputusan mereka sebagai tanda membalas budi kerana mereka ikhlas membesarkan kakak tanpa mengharapkan balasan. Kakak bebas melakukan keputusan sendiri baik dari segi pendidikan, mahupun jiwa raga dan jodoh.

Hingga kini, kami bertiga tetap menemani kakak kemana pun kakak mahu pergi. Bukan kerana kami tidak percayakan kakak, tetapi kakak sendiri yang minta kami berbuat demikian kerana rasa lebih selamat. Semoga kakak kahwin cepat dan suaminya dapat menemaninya pula.

Apapun, kami doakan jodoh kakak datang dari kalangan yang baik-baik dan menyayangi kakak seadanya. Tak lupa juga, didoakan lelaki Cina itu dipermudahkan segala urusan dunia dan dilapangkan dada mempelajari ilmu agama Islam.

Terima kasih sahabat sekalian.

– Yang diamanahkan melindungi kakak & adik perempuan. (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *