Dugaan Bertunang

Assalamualaikum. Saya Fatiha (bukan nama sebenar), umur 28 tahun. Sudah bertunang dengan pilihan hati pada bulan September 2020. Perancangannya, bulan Mac 2021 bakal mendirikan rumah tangga.

Saya dan tunang, Adam (bukan nama sebenar) sudah berkenalan selama dua tahun sebelum bertunang. Kami kenal melalui kawan. Semasa pertemuan pertama kami lagi, Adam sangat berterus-terang. Dia menceritakan tentang dirinya, keluarganya, dan juga tentang ex-nya.

Adam dan ex-nya pernah bercinta selama empat tahun dan mereka juga pernah terlanjur. Disebabkan mereka selalu bergaduh pada detik-detik akhir hubungan mereka, mereka akhirnya putus. Puncanya tiada persefahaman.

Jadi Adam awal-awal lagi tanya saya, sama ada saya mampu terima dirinya dan kisah silamnya. Dia juga bertanya sama ada saya boleh tunggu dirinya stabil dulu memandangkan dia baru bekerja.

Pada ketika itu, saya kata biarlah kami ambil masa untuk berkenalan dulu, kemudian baru saya buat keputusan.

Kami kemudiannya ambil masa untuk mengenali hati budi masing-masing selama empat bulan sebelum saya terima Adam sebagai teman lelaki saya.

Saya terima Adam kerana dia lelaki yang baik, bertanggungjawab, sentiasa update dengan saya tentang aktiviti harian dia, soft spoken, dan rajin bekerja.

Cakap pasal dosa pula, dosa Adam tu adalah kisah silam. Saya pun manusia yang buat dosa. Jadi siapalah saya nak menghukum dia. Saya juga bersedia untuk tunggu dia sehingga dia stabil.

Cuma satu saja yang saya minta pada Adam, saya masih suci dan saya mahu menyerahkan mahkota saya kepadanya hanya selepas berkahwin. Adam setuju, dan sehingga saat ini dia memang tak pernah ambil kesempatan terhadap saya. Dia hormat saya sebagai perempuan.

Lepas dua tahun kenal, Adam semakin stabil dari segi kewangan dan kami pun bertunang. Betullah kata orang, dugaan bertunang ni jangan buat main. Dugaan saya ialah bila ex tunang Adam datang semula dalam kehidupan kami pada bulan Disember 2020.

Ex Adam dm saya di Instagram, menceritakan kepada saya tentang hubungan dia dan Adam. Apa yang mereka pernah lakukan. Apa janji-janji Adam kepada dia. Apa yang menyebabkan mereka putus. Saya tak terkejut pun, kerana Adam sudah menceritakan semua itu kepada saya.

Saya cakap dengan ex Adam, saya tak kisah dengan semua itu kerana itu masa silam Adam. Bila saya cakap macam itu, ex Adam hantar satu video kepada saya. Terketar-ketar saya bila melihat video itu. Video itu dirakam oleh ex Adam sewaktu mereka berada dalam sebuah bilik.

Dalam video itu, Adam sedang tidur. Mereka saling berpelukan tanpa memakai baju. Walaupun saya sudah tahu, hati saya masih hancur.

Saya terus tanya pada Adam tentang video itu. Adam sangat marah bila tahu ex dia hubungi saya dan menafikan yang dia tahu tentang kewujudan video itu. Part ini memang saya percaya, kerana memang jelas dalam video itu, Adam sedang nyenyak tidur.

Tapi saya tak nafikan, saya memang rasa tawar hati ketika itu. Adam berusaha untuk memujuk saya. Akhirnya, saya mengalah.

Bila difikirkan balik, bukannya Adam tak pernah berterus-terang dengan saya. Saya pun dah fikir hal itu semasak-masaknya sebelum terima Adam. Jadi, kenapa perlu jadi isu sekarang?

Yang jadi kerunsingan saya sekarang, ex Adam ugut untuk beri video itu kepada keluarga saya sekiranya saya kahwin dengan Adam.

Keluarga saya bukanlah alim sangat, tapi tak adalah sampai open minded nak terima benda-benda macam ni. Kalau mereka tahu saya tahu benda ini, mesti mereka akan marah pada saya kerana mahu jadikan Adam sebagai suami.

Ex Adam juga merayu kepada saya. Dia kata sudah tiada lelaki yang mahukan dia kerana dia sudah hilang dara kepada Adam. Jadi, Adam mesti bertanggungjawab. Di satu sisi, sebagai perempuan, saya faham perasaan ex Adam.

Kalau saya sudah hilang dara kepada seorang lelaki tetapi end up lelaki itu tak mahu mengahwini saya, saya rasa saya boleh jadi gila. Saya stalk laman sosial ex Adam. Dia masih simpan gambar-gambar lamanya dengan Adam. Kiranya, selepas Adam, dia tak ada dengan sesiapa.

Tetapi dalam masa yang sama, saya rasa tak adil untuk saya lepaskan Adam gara-gara kisah lampau mereka. Yang penting adalah masa sekarang.

Adam adalah tunang saya dan kami bakal berkahwin tak lama lagi. Kenapa saya harus berkorban hanya kerana ex dia hilang dara kepada Adam dan saya tidak? Lagi satu, kenapa ex Adam datang sekarang? Kenapa tak dari dulu?

Saya juga bertanya pada Adam, adakah dia mahukan semula ex dia. Adam kata tidak. Kerana dulu selepas putus, Adam pernah cuba berbaik semula dengan ex dia tapi ex dia tak mahukan dia semula ketika itu.

Selepas susah payah move on selama setahun, barulah dia mengenali perempuan lain iaitu saya.

Adam kata dia akur kalau saya tak nak terima dia lepas tengok video itu, sebab dia tahu saya perempuan baik dan dia faham kalau saya tak boleh terima apa yang dia pernah buat. Tapi Adam takkan sesekali terima ex dia kembali.

Bila saya tanya ex Adam kenapa dia tak nak terima Adam semula semasa Adam merayu pada dia, ex dia kata dia tawar hati ketika itu, tapi sebenarnya dia masih sayangkan Adam. Buktinya, dia tak ada lelaki lain sampai sekarang.

Saya betul-betul tersepit sekarang. Saya sayangkan Adam, tapi dalam masa sama saya kasihankan ex dia. Tambahan pula kalau saya memilih untuk bersama Adam, saya takut dengan reaksi family saya kalau mereka dapat tahu. Tapi saya juga tak nak kehilangan Adam.

Apa yang perlu saya buat?

– Fatiha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *