Bismillah.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
3 Jun 2016, dengan kekuatan yang ALLAH berikan, aku ingin coretkan bingkisan hati yang telah lama aku pendam. Aku dilahirkan dalam keluarga sederhana namun aku bersyukur kerana masih dikurniakan kedua ibu bapa yang terbaik. Kisahnya, ayahku mengalami sakit epilepsi (sawan) selepas terlibat dalam insiden waktu dia masih muda. Waktu ayah terlibat kemalangan, ayah koma dalam tempoh yang agak lama. Bila tersedar, penyakit sawan bermula. Kalau dulu waktu kami adik beradik masih kecil, ayah selalu keluar masuk hospital sebab jatuh bila sawan. Pernah sampai muka bengkak teruk. Dan ibuku orang yang sabar dan tabah ulang alik pergi hospital. Kami tak ada kereta, selalu akan naik bas atas teksi. Aku kagum dengan kecekalan ibu. Bila ibu tunggu ayah dihospital, kami akan tinggal dengan arwah nenek. Disebabkan sakit itu, ayah sering marah-marah kalau ada yang tak kena. Ibuku selalu jadi mangsa maki hamun, tengking. Namun ibu diam dan sabar. Paling aku trauma kalau ayah jerkah, kadang dihempas pintu sekuat hati, dia buka radio kuat-kuat sampai jiran sebelah dengar. Jiran pun dah sedia maklum sikap ayahku. kadang aku rasa sangat malu dengan kawan-kawan dan jiran. Ada satu kejadian yang aku ingat sampai sekarang. Lepas ayah balik kerja, terus mengamuk dan dia kejar kami anak beranak dengan parang. Tapi ayah okey semula lepas itu. Puas kami bawa berubat sebab mungkin ada gangguan. Dan ada lagi kejadian perit yang tak mampu aku luahkan. Kawan-kawan aku kebanyakan tak tahu kisah ini. Cuma jiran tetangga sahaja yang tahu. Dulu aku pernah rasa benci dengan ayah, tapi ada masa aku kasihan bila ayah sakit. Bila sawan, aku akan picit kaki dan tangan ayah. Bila ayah marahkan ibu dan taknak bercakap dengan ibu, aku akan mengambil alih tugas ibu. Aku akan hidangkan makanan untuk ayah, bancuh air. Aku tak pernah jemu buat semua itu sebab dah terbiasa. Sekarang aku makin dewasa, dan sudah kerja. Jadi perasaan benci itu hilang. Aku cuba nasihatkan ayah bila dia mula fikir yang bukan2 untuk tenangkan hati dia. Alhamdulillah ayah boleh terima nasihat aku tapi sekejap sahaja. Bila datang panas baran dia, dia akan maki hamun, marah ibu. Perkara ini berulang-ulang hingga sekarang. Aku selalu menangis dalam hati. Bila tak dapat tahan hati, aku menangis dalam doa. Kadang belum sempat nak solat, air mata aku dah tumpah. Betapa hati aku rapuh. Sekarang ini, bila cuti, hati aku seolah-olah tak gembira nak balik kampung, sedangkan aku sangat rindu ibu dan ayah. Subhanallah, kadang aku rasa tak tertanggung lagi. Tapi aku cuba belajar untuk jadi tabah dan sabar macam ibu. Sampai satu masa, aku trauma dan takut untuk berkahwin. Aku takut kalau dapat suami yang panas baran, tengking aku. Aku takut. Hakikatnya, disaat ini aku perlukan seorang suami untuk bersama aku, pimpin tangan aku dan tenangkan perasaan aku. Dari dulu aku banyak berdikari, aku tak bergantung sepenuhnya dengan ayah untuk tolong aku seperti urusan ambil lesen, pergi bank. Sebab aku faham ayah tak sihat, tak macam ayah orang lain. Dan aku tak pernah persoalkan semua itu. Dalam kekalutan ini, aku masih bersyukur kerana kasih sayang dari ibu dan ayah tak pernah kurang. Hakikatnya, ayah seorang yang penyayang, cumanya bila fikiran kusut, dia akan cepat marah. Alhamdulillah, kami adik beradik juga tak pernah beri masalah sebab kesian dengan ibu. Sebab yang kena marah ibu, bukan kami. Sekarang, untuk tenangkan hati dan jiwa aku, aku bersedekah semampu yang boleh. Maaf bukan aku nak riak, maaf kalau saudara/saudari pembaca salah faham. Sebab aku fikir salah satu jalan untuk tenangkan hati selain berdoa, bertahajjud, iaitu dengan bersedekah. Dan juga beri makan kucing. Alhamdulillah, aku rasa sangat tenang. Lama-lama aku belajar untuk absorb semua tekanan ini, walaupun kadang aku tak dapat tahan air mata, tapi aku masih berdoa Allah terus beri aku kekuatan. Selalu aku pandang wajah ibuku, wajah yang suram dan ada kesedihan dalam matanya. Setiap kali teringat wajah ibu, mesti aku menangis. Dan setiap kali pandang wajah tua ayah, hati aku hiba. Kerana kudratnya, aku berjaya hari ini. Tak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai ayah. Sungguh, walaupun ayahku sakit, tapi aku tak pernah abaikan tanggungjawab sebagai anak. Aku masih sayang dan tak pernah berubah walau sikit pun. Aku tak segan dan malu untuk pimpin tangan ayah bila berjalan sebab ayah makin tua dan tak larat. Aku tak jemu untuk bawa ayah dan ibu kemana sahaja mereka nak pergi. Aku tak jemu untuk sediakan makanan dan minuman untuk ayah biarpun pedih hati bila tengok ayah marah ibu. Kawan-kawan aku tak tahu setiap kesedihan yang aku alami. Bila dengan kawan-kawan, aku mampu gelak ketawa untuk sembunyikan apa yang aku rasa. Bulan Ramadhan yang hampir tiba ini, aku mohon doa sahabat-sahabat yang dirahmati Allah. Aku tak minta simpati, tapi aku mohon doa dari kalian semua. Pertama, doakanlah ayahku sembuh, sihat seperti yang lain. Rahmatilah dan peliharalah keluarga kami. Kedua, aku mohon doa sahabat2, temukanlah aku dengan jodohku. Mudah-mudahan dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, aku bertemu dengan lelaki yang dapat menerima setiap sisi kelemahan aku. Akhir sekali, pesanan aku, walau siapapun ibu bapa kita, ingatlah bawaha mereka adalah insan yang sangat mulia yang wajib kita sayangi. Jangan sesekali lupa tanggungjawab kita sebagai anak. Keberkatan ada disitu. Dan yang sudah punyai anak, didiklah dengan sempurna dengan penuh kasih sayang, tanggunggjawab. Didiklah anak untuk punyai empati dalam diri dan jangan lupa didikan agama yang sempurna. In sha Allah, moga kalian semua juga dalam rahmat Allah.
Wallahualam
-Hot Chocolate-
– Hot Chocolate
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit