Subhanallah. Membaca kisah Bunga Indah, buat aku ingin menulis juga. Tulisan aku untuk menyatakan, apa yang bunga indah rasa, itu turut dirasai aku.
Untuk baca confession Bunga Indah,
Untuk part I, (https://iiumc.com/anak-ajaran-sesat/).
Untuk part II, (https://iiumc.com/anak-ajaran-sesat-ii/).
Aku seorang lelaki. Sama sekali tidak mengenali bunga indah. Kami terpisah kerana ikhtilat. Lelaki dan perempuan. Tetapi, percaya lah. Apa yang kami lalui sama. Demi Allah. Wallahi. Wabillahi Watallahi..
Tulisan ini, ingin menyatakan bahawa apa yang bunga indah ceritakan sama sekali bukan rekaan. Aku turut dibesarkan bersama adik beradik lain didalam jemaah ini.
Kami tidak mengikuti pendidikan formal. Sekolah jemaah sepenuhnya. Ketika remaja, umur 13, 14, 15 tahun, kami selain belajar sikit2 tentang taharah, disuruh solat.
Selebihnya aku banyak menghabiskan masa dengan program Operasi Risalah Dakwah (ORD) atau boleh juga disebut Operasi Sains Sosial Dakwah (OSSD). Wallah. Memang bukan reka2. Istilah ni benar2 wujud.
Aku bersama kawan2 lain, jual majalah, jual kismis di setesen minyak. Kami di brain wash bahawa itu adalah satu bentuk pelajaran. Dalam masa yang sama, hasil jualan adalah untuk jemaah guna.
Selain itu, aku pernah ditugaskan di restoran, di bahagian pertanian dsbnya. Belajar ilmu? Memang sangat kurang.
Hingga harini, sebelum aku membaca tulisan bunga indah lagi, aku telah lama kesal, kerana umur muda dan umur remaja aku, aku tak banyak belajar.
Doa lepas solat pun aku hanya hafal satu doa sahaja. Orang mati ke, naik kenderaan ke, doa selamat ke, doa kesyukuran ke, hanya satu doa. Iaitu doa jihad.
Sedangkan Nabi SAW banyak ajarkan doa2 tertentu pada waktu2 tertentu. Mengenai kesusahan ketika membesar, kami selalu ditinggalkan di asrama sahaja. Ibu bapa kami semuanya berkerja untuk jemaah. Kami difahamkan ibu bapa kami sedang berjuang untuk kebangkitan islam.
Pemimpin kami meyakinkan kami bahawa DIA akan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Akan memimpin Malaysia dan Dunia. Kami panggil peristiwa ini sebagai daulah. Daulah yang kami tunggu, dan harini masih ditunggu oleh mereka.
Ibu bapa kami akan dipindahkan dari satu negeri ke negeri yang lain. Macam hebatkan? Kerja pindah negeri. Kadang2 ada yang keluar negara. Tapi ketahui lah bahawa.. tiada gaji. Semuanya duit sendiri. Kena urus sendiri.
Kemuncaknya, jemaah ini merosakkan institusi kekeluargaan. Ibu dan ayahku bercerai. Bercerai kerana salah seorang dari ibu atau ayahku tidak mahu mengikut jemaah. Maka perceraian mesti dilakukan. Arahan pemimpin.
Bagi jemaah ini, sesiapa yang menentang mereka, bermakna telah menjadi musuh kepada kebenaran. Menjadi musuh kepada Allah dan Rasul.
Harini, dua orang daripada adik beradik kami terpisah. Lama tak jumpa. Kerana, jemaah tak benarkan. Mereka anggap seperti ikhrimah dan abu jahal.
Ikhrimah sanggup perang dengan ayahnya abu jahal kerana menentang Rasulullah. Ini lah penangannya taksub dalam jemaah ini.
Tulisan ini akan membuatkan pengikut mereka mengatakan aku dengki. Kerana iri hati dengan kejayaan mereka. Tidak. Aku tidak iri hati. Tapi aku adalah seorang anak yang teraniaya oleh jemaah jahat ini.
Ketahuilah dunia, mereka benar2 masih wujud. Kejahatan ini masih berlaku. Tapi tak nampak kesalahannya. Semua dikaburi.
Harini, aku telah keluar. Tetapi masih memberi kesan pada diriku. Masih terkesan. Sebagaimana bunga indah, kempen BMF macammana sekalipun, barang mereka, servis mereka, aku tak kan beli.
Ingat, setiap duit yang mengalir kepada mereka, mereka akan semakin rasa kuat. Mereka akan semakin rasa hebat.
Semua yang mereka tunjukkan itu, palsu. Pergi check, masjid mana, rumah anak yatim mana yang dapat bantuan mereka secara legal dan besar? Mereka yang banyak minta bantuan orang.
Kalau mereka ada mendampingi masyarakat, hanya sebagai kosmetik. Bantuan yang mereka bawa itu pun mereka buat dari program jualan. orang beli, mereka tolong hantarkan. Tapi kalau untuk mereka beri dari sumber mereka sendiri, sedikit.
KWSP, Socso, SIP cuba check setiap kakitangan mereka. Dibayar atau tidak? Check akaun mana kakitangan mereka dibayar? Kerana itu, mereka sewa bangunan, berniaga, tetapi hidup kerana tanpa gaji samasekali.
Mereka megah. Tunjukkan megah. Tapi hakikatnya pemimpin megah anak buah tidak megah. Doktrin mereka berjaya. Dalam membuatkan anak2 dan staff taat. Kerana mereka jual akhirat. Mereka jual syurga. Mereka jual redha Allah.
Kahwin sesama mereka. Anak2 membesar dalam persekitran mereka. Sampai ada tv sendiri, lagu2 sendiri.. ya, nampak hebat. Tapi ini kaedah untuk anak2 tidak terdedah dengan dunia luar. Ya, luar nampak elok. Pakai kopiah. Tapi didalamnya, busuk.
Tulisan ini memang tidak akan membaiki masalah ini. Anak2 seperti kami, tidak akan dibela. Anak2 yang didalam sana juga belum tiba rasa kesal. Ini akan berterusan. Kerana akan ada yang suruh bertabayyun.
Biarlah Allah yang tunjukkan. Cukuplah, untuk yang ingin pertahankan, Pemimpin jemaah ini pernah dengan bangganya mengatakan dia akan mati di Palestin. Tapi akhirnya mati di Ipoh.
Mereka menunggu pemimpin ini bangun dengan wajah yang baru. Muda. Sihat. Tapi isterinya pula mati. Seorang demi seorang mati. Tapi ajaran ini akan berterusan. Mengapa?
Kerana kerajaan tidak merasai apa yang anak2 didalam ini rasa. Kerana muslimin muslimat yang anggap, ini hanya fitnah.
Kerana orang melayu yang kata, dulu kerajaan haramkan kerana dengki pada ekonomi melayu. Tindakan dulu betul. Tapi…. ya.. ia dihidupkan semula.
– Kawan Bunga Indah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Ke sini dri page PUKAS, smoga dprmudahkan segala urusan dik.
Hny ada stu jawapan, boikot perniagaan mereka!
Dan smntara isu tgh hangat, skiranya ada bukti dll, bkrjasma dgn pihak autoriti, pendedahan demi pendedahn telah dibuat, selamatkan mereka.