Ibuku ibu tiri

Kisah yang ingin aku aku kongsikan ialah tentang seorang insan teristimewa dalam hidup aku, Ibu. Ibu aku merupakan seorang Ibu tiri yang sanggup menjaga kedua-dua orang anak tirinya dan salah seorang merupakan syndrome down. Kelebihan yang ada pada Ibu aku adalah kasih sayangnya pada anak tiri melebihi anak kandung.

Aku merupakan anak yang sangat disayangi oleh ayah berbanding adik beradikku yang lain. Setiap Kali kerja luar, pasti akan ada hadiah untukku namun semua itu tidak pernah sampai ke tangan aku. Ya, ayah aku sedikit pilih kasih dan hanya membelikan untuk aku sahaja. Setiap hadiah yang dibeli pasti akan diambil oleh Ibu dan diberikan kepada kakakku. Kata Ibu, takut kakak aku terasa hati. Begitulah yang terjadi, demi menjaga hati anak tiri Ibu selalu pinggirkan perasaan aku sebagai anak kandungnya.

Namun bukan itu yang aku ingin kongsikan tapi tentang arwah kakakku yang syndrome down, Kak Nor. Ibu tak pernah mengeluh menjaganya malah segala perhatian seolah-olah hanya untuk arwah Kak nor sahaja. Mungkin sesekali Ibu hilang sabar menjaga arwah Kak nor tapi setiap kali melihat ayah melepaskan geram kepada arwah kak nor pasti ibu akan menangis. Arwah Kak nor merupakan seorang yang sangat aktif dan agak sukar untuk dikawal. Ibu jarang sekali merungut walaupun aku sentiasa naik angin dengannya yang seolah-olah banyak menyusahkan ibu.

Kemuncak yang menjadikan aku kagum dengan Ibu, saat 2 tahun sebelum pemergian arwah Kak nor. Waktu itu tahap kesihatan Kak nor semakin teruk dan perlu mendapatkan rawatan 2 bulan sekali. Walaupun ayah sibuk bekerja, Ibu tidak pernah melepaskan tanggungjawabnya ke atas Kak nor meskipun waktu itu Ibu terpaksa bawa Kak nor ke hospital menaiki Bas. Setiap Kali pulang ke rumah, Ibu pasti riang bercerita tentang Kak nor ketika sepanjang perjalanan. Aku pada waktu itu sejujurnya mengaku bahawa malu untuk berada di tempat awam bersama Kak nor tapi bukan itu yang ibu rasa.

5 tahun lepas, kesihatan Kak nor semakin teruk dan akhirnya Kak nor terlantar sakit. Aku ketika itu sedang sibuk dengan kuliah tidak mampu membantu ibu menjaga Kak nor. Bayangkan ketika terlantar sakit, berat Kak nor dua kali ganda dari Ibu dan Ibu hanya menguruskannya sendirian. Akhirnya, Kak nor terpaksa ditahan di hospital. Beberapa kali dia koma sepanjang 2 bulan di hospital. 2 bulan itu juga Ibu tak pernah tidur di rumah. Tempat tidur Ibu ialah di bawah katil Kak nor. Aku pernah tawarkan diri untuk menjaga Kak nor tapi Ibu tidak harap.

Oh ya, ibu aku merupakan seorang peniaga sarapan pagi. Selama 2 bulan Ibu akan pulang ke rumah pukul 3 pagi untuk sediakan barang jualan dan akan bergegas ke hospital setelah habis hasil jualan pada pukul 12 tengahari. Keadaan di rumah dibantu oleh Mak Cik aku.

Sepanjang menjaganya, tidak Ada seorang doktor mahupun nurse yang tahu bahawa ibu hanyalah Ibu tiri kepada Kak nor sehinggalah keadaan menjadi kecoh apabila ibu kandung Kak nor datang ke hospital dan membuta tuli memarahi Ibu. Ibu tetap tenang waktu itu, sedikitpun tidak melenting walaupun aku tahu Ibu malu diperlakukan begitu. Allah maha Adil, semua orang yang berada di ward ternyata begitu kagum dengan Ibu kerana menjaga anak tiri lebih dari anak sendiri.

Setelah 2 bulan menderita, akhirnya Kak nor kembali ke pangkuan Pencipta. Ibu merupakan orang yang paling terkesan dengan pemergian Kak nor. Sepanjang seminggu Ibu akan terkejut pada pukul 1 pagi dan bergegas ke dapur untuk membancuh susu. Katanya takut Kak nor lapar. Aku menangis. Mungkin ibu lupa bahawa Kak nor telah tiada.

Setelah Kak nor tiada, barulah Ibu mula fokuskan kepada kami adik-beradik dan gelisah hati Ibu ternyata belum berakhir. Ketika Ibu sedang sibuk menjaga arwah Kak nor, salah seorang adikku telah diminta untuk dirujuk kepada pakar kanak tetapi masa Ibu sangat terhad sehingga terlupa tentang adik. Namun semuanya terlambat. Ibu mula perasan bahawa adik mengalami kesukaran untuk membaca, menulis dan adik juga tidak dapat membezakan biru dengan hijau walaupun sudah berusia 13 tahun.

Ibu mula teringat dengan surat yang diterima daripada pihak sekolah ketika adik darjah 4 dahulu. Satu persatu masalah adik telah dinyatakan cuma ibu yang tidak perasan. Sehingga sekarang ibu pasti akan meratap kesedihan melihat prestasi sekolah adik. Beberapa kali juga adik bertanya kepada Ibu kenapa dia tidak pandai seperti orang lain? Harus apa yang perlu Ibu jawab ketika dia perlu memilih antara anak kandung dan anak tiri.

Ibu, maafkan aku andai dulu aku pernah membencimu kerana sikapmu yang sering melebihkan anak-anak tiri berbanding kami adik beradik. Tapi sekarang baru aku faham, sebaik mana pun Ibu tiri masih tetap dipandang jahat di mata masyarakat. Jujur Ibu, tak mungkin aku mampu menjadi sepertimu andai takdirnya nanti aku perlu menjaga anak tiri. Terima Kasih Ibu kerana sudi menjaga dan menyayangi arwah kak nor. Semoga Allah menjaga Ibu…

– anak ibu

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

23 Comments

  1. Banyak benda dalam hidup datang berpasang-pasang tapi kita hanya ada satu mak.Mari hargai Mak kita sementara masih ada dan teruskan doa dan amalan baik utk mereka samada mereka masih hidup atau telah kembali pada Yang Maha Esa.

  2. hmm untungnya ada ibu tiri yang baik… rindu pula pada mak yang dah tiada di dunia nii..sobs2

  3. Sungguh mulia hati ibu confessor. Semoga Allah lapangkan urusan beliau dan keluarga. Dia tolong org, pasti Allah akn tolong dia. Cuma bentuk pertolongan yg mcmana kita tak tahu

  4. Mulianye hati ibu awak,smoge senantiase dibwh lindungan NYA… susah zaman skrg n nk dptkn mak tiri yg sanggup mnerima anak tiri dgn hati ikhlas,yg sanggup bersengkang mata berkorban untuk mnjaga anak tiri… lebih2 lg dihospital…x semua IBU tiri itu jahat,yg jahatnye hati2 yg tidak bersih…hati yg bersih semuanye baik….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *