Sebelum Aku Putus Asa Dengan Lelaki

Assalamualaikum. Perkenalan ringkas namaku Ema. Aku dibesarkan dari keluarga yang agak besar iaitu 10 orang adik beradik. 3 lelaki dan 7 perempuan. Jarak umur antara kami tidaklah jauh berbeza.

Disebabkan itu, kami anak-anak perempuan semua mempunyai hubungan yang amat baik, alhamdulillah syukur.

Saling membantu antara satu sama lain semasa senang dan susah. Boleh bergurau senda, lepak kedai sama2, bercuti sama2.

Tak dapat gambarkan perasaan syukur ni mempunyai adik beradik perempuan yang masuk air sama-sama.

Namun di sini, izinkan aku meluahkan apa yang aku rasakan mengenai adik beradik lelaki kami, isi hati yang tersirat lagi tersepit.

Aku hidup di suasana lelaki adalah raja kepada perempuan. Mereka boleh hidup dengan aman, tanpa perlu fikir apa kerana semuanya perempuan sudah sediakan. Selagi mereka tenang dan bahagia, tiada apa yang perlu dirisaukan.

Memasak, mengemas, membersih itu semua kerja perempuan, tidak layak seorang lelaki untuk buat itu semua. Jika tidak dibuat, malah dibebelnya dikatakan pemalas.

Apa yang perlu risau? Semua sudah disediakan. Apa mereka mahu membantu? tidak sama sekali..

Ayah ku begitu, abang2 aku juga begitu. Mungkin kah hati ku keras dengan lelaki disebabkan mereka ni?

Atau hanya kerana aku tidak pernah rasa akan perasaan selamat bila seseorang lelaki itu muncul? Tidak pernah rasa dilindungi atau disayangi.

Yang ada cuma perasaan tidak puas hati, berasa tidak adil, kecewa dengan mereka yang semakin bertambah hari demi hari. Ayahku dengan perangai yang begitu.

Emak melayan ayah seperti raja, tetapi yang dibalas tidak sama seperti layanan emak kepada ayah. Sungguh bersabar dan tabah emak melayan ayah, aku betul2 kagumi.

Abangku ada tetapi seperti tidak wujud peranan mereka di dalam keluarga ini. Seorangnya dengan perangai begitu, pergi membawa diri seorang, jadilah dia seakan orang asing di rumah sendiri.

Seorang lagi sudah berkahwin saban hari sudah semakin jauh, rumah tidak lagi perlu untuk dia pulang kerana sudah ada isterinya menyediakan keperluannya.

Aku masih ingat ketika aku pulang dari kl jam 3 pagi mengharapkan abang aku dapat ambil di stesen bas. Aku tahu aku akan menyusahkan dia, kerana sudah tentu dia sedang berehat tidur tapi apa pilihan aku.

Digagahkan juga untuk aku telefon nya agar dapat ambil aku, namun jawapan yang aku dapat hanya rengusan kasar dan betapa aku ini beban kepada dia.

Melihat kepada tindak balasnya itu, aku segera melupuskan hasratku untuk ganggunya dengan menyatakan aku akan ambil grab saja kerana berasa begitu serba salah mengganggunya.

Dalam masa yang sama, aku takut kalau2 dapat driver lelaki. Tetapi Allah takdirkan aku untuk dapat driver grab perempuan. Alhamdulillah syukur.

Dalam hati aku bertanya, tidak risaukah dia pada aku kalau2 perkara buruk berlaku? Tidak ada langsung tanda kerisauan dia pada aku. Yang penting tidurnya sudah aman.

Ku dengar sifat seseorang lelaki ini akan sentiasa melindungi wanita terlebih dahulu. Apa2 pun, keselamatan wanita akan jadi keutamaan.

Tapi kenapa aku tak pernah rasa akan perkara ini? Kenapa aku tak pernah rasa dilindungi oleh orang lelaki?

Malah aku rasa pelik sekiraya ada lelaki yang disifatkan  dengan sifat “gentleman”..? Aku bertanya wujud ke lelaki sebegini?

Selama ini, aku tidak mahu dan tidak pernah bergantung dengan seorang lelaki pun kerana aku takut hanya kecewa yang akan membuahkan hasil. Aku takut aku sudah tawar hati dengan lelaki.

Buat apa perlu hadir dalam hidup aku, kalau aku perlu bersedia untuk jadi kulinya. Buat apa aku perlu menunaikan semua kehendaknya hanya kerana dia lelaki dan aku perempuan.

Bisik hatiku. Biar saja aku sibuk dengan urusan ku seorang, lebih baik dan lebih menguntungkan. Lebih baik aku kasihi orang yang dapat menghargai aku dengan lebih baik.

Itulah sedikit sebanyak luahan hamba yang telah kecewa. Dengan insan bernama lelaki.

– Ema (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *