Akulah Perempuan, Akulah Lelaki

Nama aku Siti Soleha (bukan nama sebenar). Ini kisah aku dan keluarga yang agak berpecah-belah, atau lebih tepat lagi gara-gara memiliki abang yang berpura-pura tahu tentang tanggungjawabnya. Padahal dia hanyalah tin kosong, biawak hidup, nothing!

Aku tahu dan sedar diri aku sebagai seorang adik, malah aku lebih tahu segala-galanya yang berlaku di rumah berbanding adik beradik yang lain. Aku memiliki dua orang abang kandung dan hubungan aku dengan mereka memang sangat renggang.

Tak boleh bertegur sapa mesti ada je benda yang akan buat kami bergaduh daripada sekecil-kecil hal sehingga yang besar dan cara kami bergaduh bukan gaduh manja-manja tetapi sehingga naik kaki tangan dan segalanya.

Benda apa saja yang aku tak pernah kena? Ditumbuk, ditampar, disepak, dibaling dengan alat ukur yang besi (lupa nama), dicerca, dimaki dan macam-macam bila kami tak sefahaman dengannya. Bukan aku sahaja, tetapi kakak dan ibuku juga pernah menerima padah yang sama.

Kadang-kadang aku menangis memikirkan kondisi keluarga aku yang tidak seperti orang lain. Kalau kawan-kawan aku selalu show off ada abang yang penyayang, suka gaduh-gaduh manja, tetapi tidak bagi aku.

Aku takkan pernah cerita pada orang luar yang aku ada abang dan aku tak pernah bangga memiliki abang kandung.

Aku trauma, aku jadi prejudis dengan lelaki dan aku tak percaya pada lelaki. Bagi aku, perkataan lelaki itu sahaja buat aku mual dan menyakitkan hati. (Tapi ni bukan bermaksud aku l3sbian!)

Bayangkan, aku hidup dalam ketakutan di rumah. Tahu je dia balik, terus berdesup aku masuk bilik. Selagi boleh elak, aku akan elak. Ya.

Aku tahu, tak baik bermasam muka dengan adik beradik, tetapi aku rasa aku lebih rela hidup begini daripada berbaik dengan abang aku.

Sehari dua bolehlah tahan, masuk hari seterusnya, datang baran dia barulah kau tahu azabnya macam mana! Mak aku sendiri harap, covid 19 ini cepat menghilang agar aku boleh berpindah keluar dari rumah daripada terus tinggal di situ.

Selagi aku di rumah, mak akan risau memikirkan diri aku. Aku ada abang yang bukan bertindak sebagai pelindung tetapi pengancam hidup aku.

Itu satu hal, satu hal lagi, semua keperluan dalam rumah ni pun, abang aku tak keluarkan sesen untuk buat belanja. Kalau beras habis, habislah. Kalau bil api, air tak bayar, bergelaplah semua, apa dia peduli? Dia tak peduli apapun.

Semua urusan dalam rumah ni, orang perempuan yang tanggung termasuklah makan minum, mencuci pakaian. Satu kerja rumah sikit pun tak pernah nak tolong.

Tolong buang sampah pun tak nak, tolong mesin rumput pun tak nak, tolong support perbelanjaan rumah pun tak nak, hulur duit pun tak pernah!

Apa yang dia tahu, makan tidur, keluar rumah konon pergi kerja. Bila masak tak makan, bila tak masak merungut tiada makanan.

Beli susu tin, tak sempat aku nak guna bancuh air, tahu-tahu sahaja, tin susu dalam tong sampah. Isinya habis licin dibedal sampai aku terpaksa sorok barang-barang yang kami beli.

Nampak macam aku ini berkira bukan sampai milo, susu semua nak disorok. Kalau tak buat macam tu alamatnya tinggal sampah sahajalah.

Lainlah kalau dihulurkan duit untuk beli barang keperluan. Ini tak ada pun! Siapa sahaja yang tak kesal? Cukup seminggu, penuh dalam singki bekas-bekas cawan yang dah berkulat. basuh pun tidak!

Kadang-kadang aku hairanlah juga. Dia kerja mestilah bergaji, tetapi kenapa macam sengkek sahaja setiap masa? Duit pun selalu minta mak. Tak habis-habis suruh bank in.

Dulu waktu aku cuba buat baik sekejap dengan abang aku, aku pula yang di pawnya. Malam-malam, dua tiga pagi minta bank in. Stres aku.

Minta seringgit dua tak apa lagi, ini minta sampai berpuluh-puluh ringgit. Aku ni dahlah masih belajar. Duit yang aku ada itu pun duit bantuan yang aku dapat bila bapa kami meninggal.

Hairan aku, aku yang kena bagi nafkah pada abang aku ke, atau abang aku yang patut bagi nafkah pada aku, si adik?

Kemudian, aku ada seorang nenek tua yang uzur dan terlantar tak mampu bergerak kemana-mana. Kami yang perempuan inilah yang perlu bertungkus-lumus menjaganya.

Aku yang masih belajar online di rumah perlu jaga makan, ubatnya, kakak aku yang kerja pulang malam, harus siap sedia beri mandi, tukar lampin dan segala macam.

Mak aku pun turut sibuk dengan kerjanya dan perlu menjaga nenek kami itu bersama-sama. Kudrat wanita, apalah sangat. Kadang-kadang perlu mengangkat tubuh yang berat itu dengan tulang empat kerat kami. Lenguh pinggang, sakit badan tiada siapa mengerti.

Pernah sekali, mak hubungi abang aku untuk berbincang pasal nenek, sebab ada suatu hari abang aku pernah cakap dengan berlagak sombongnya yang dia nak jaga nenek kami memandangkan, aku, mak dan kakak aku langsung tak boleh harap. Katanya otak kami di lutut.

Belajar tinggi-tinggi tetapi bodoh.

Dia seorang sahaja yang bijak dan alim penuh ilmu di dada. Siap forward ceramah agamalah bagai semata-mata nak sedarkan kami yang kononnya ‘tak bertanggungjawab’ ini. Sekarang, bila nenek kami sakit terlantar, mana dia? Mana janji-janji dia sebagai cucu mithali itu?

Huh! Boleh pula dia cakap, yang dia ada komitmen lain, takkanlah nsk harapkan dia yang dah berumah tangga? Adik beradik lain mana?

Huh? Waktu-waktu macam ini baru dia teringat yang dia ada adik beradik. Selama ini bukan main lagi dimaki hamunnya kami. Hahah! Kelakar sangat!

Dia langsung tak ambil peduli pun pasal kebajikan nenek kami. Bila balik rumah, sembang-sembang sekejap dengan nenek acah-acah prihatin. Kemudian tak sampai sesaat, hilang! Hahaha! Hebat betul permainan dia!

Dia cuma balik rumah hanya untuk jadi CCTV, kononnya nak tengok sama ada kami yang perempuan ini mampu ke jaga nenek kami.

Hahaha! Lawak sangat statement CCTV tu. Ya, silakan ‘CCTV’ kami di rumah, sebab aku tak perlu sesiapa untuk ‘CCTV’ kan segala apa yang dia buat pada kami.

Cukuplah hanya Tuhan yang menjadi saksi dan sekali lagi aku tekan. Aku tak takut dengan apa jua perkataan yang keluar dari mulut dia dan aku lagi suka kalau dia tak muncul di rumah.

Tak berfungsi pun kehadiran dia melainkankan hanya mahu menyakitkan hati, berdengki dan seangkatannya.

Orang luar takkan percaya mereka berperangai sedemikian. Almaklumlah, bila di hadapan orang luar, pijak semut pun tak mati.

Muka hensem, senyum manis, peramah, lemah lembut! Dalam hati, hanya Tuhan sahaja tahu betapa aku mahu termuntah mendengar fakta-fakta penuh hipokrit itu. Sumpah aku geli!

Nasihat aku, tolonglah jangan pandang luaran. Yang elok diluar tak semestinya wangi di dalam. Mereka sangat, sangat sangat, sangat, baik di depan masyarakat dan aku pula terlihat sangat-sangat buruk pada pandangan masyarakat.

Aku perempuan, tidak tahu hormat orang yang lagi tua, kasar, keras dan jarang bermasyarakat.

Tolong beritahu aku, bagaimana harus aku membesar dengan sikap santun dan penuh tertib sebagai selayaknya seorang perempuan seandainya aku dibesarkan dengan melihat kekerasan abang-abang aku?

Di dalam kepala otak aku hanya fikir untuk sentiasa kelihatan kuat, jika tidak kau sebagai perempuan akan ditindas! Perempuan memang lemah, tetapi itu bukan syarat untuk aku tojolkan sikap lemah lebih-lebih lagi pada lelaki.

Penat-jerih kami yang menanggung segalanya tiada sesiapa yang tahu. Lagi penat apabila orang yang sepatutnya menjadi tonggak keluarga, langsung tidak boleh diharapkan.

Yang sepatutnya melindungi akhirnya menjadi parasit. Rumah yang sepatutnya selamat akhirnya menjadi tempat yang paling suram dan menakutkan.

Hidup dalam keadaan begini buatkan aku sedar bahawa aku harus sentiasa kental. Tiada sesiapa akan peduli air mata yang mengalir keluar jatuh ke pipi, tiada sesiapa peduli, betapa hancur dan retaknya hati ini. Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Aku cuma harap bahawa masih ada sinar untuk aku hidup bahagia, berpeluang memiliki keluarga yang sakinah dan aku juga tak nak minta banyak. Aku cuma harap, Tuhan boleh hapuskan air mata ibu aku setiap kali subuh menjelma.

Hidup sebagai seorang ibu tanpa suami itu ibarat lumpuhnya sebelah sayap. Ada anak-anak, sayangnya kami tidak mampu menyejukkan hatinya. Kasihan ibu yang lahirkan kami. Tapi ini yang harus diterima.

Ujian, qada dan qadar Allah. Kami wajib percaya.

Sekian dari aku yang menulis coretan ini,

– Siti soleha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *