Hati, Kenapa Dengan Kau?

Nama panggilan aku Jalil, sudah berkahwin. Kerja di sebuah institusi kerajaan. Aku memang jenis yang hadkan pergaulan dengan perempuan. Bukanlah aku baik sangat.

Dan bukan juga nak beritahu yang aku setia sangat. Sebenarnya aku jenis tak pandai nak bergaul dengan perempuan selain urusan kerja. Kalau dalam urusan kerja, tiada masalah. Aku boleh berurusan dengan baik.

Ringkas cerita, di tempat kerja aku ni memang ramai kakitangan perempuan. Jadi atas urusan kerjalah aku bercampur dengan mereka. Tak lebih dari itu.

Ada seorang kakitangan perempuan, Anna namanya, tanpa aku tahu sebab apa, sering bertanya orang lain pasal kerja buat aku. Adalah seorang dua yang menceritakan kepada aku.

Pada mulanya Anna ni hanya bertanyakan orang lain. Tapi akhirnya dia sendiri bertanyakan aku tentang kerja buat aku.

Itu ditegur, ini ditegur. Pada peringkat awal, aku tak faham kenapa dia mesti menyibuk. Kerja buat aku tak ada kena mengena dengan dia.

Tapi aku cuba fikir positif. Mungkin dengan pengalaman dia, ada kerja aku yang dilihatnya kurang baik dan dia ingin aku buat lebih baik. Itu aku fikir.

Lupa aku nak beritahu. Anna ni isteri orang. Ya memang betul dia selalu tanya pasal kerja aku. Dan selalu beri pendapat. Aku terima dengan baik.

Pada suatu masa, kami beberapa orang ditugaskan dalam satu team untuk siapkan beberapa projek. Bukan urusan utama kerja kita orang.

Tapi projek mencantikkan tempat kerja kami. Anna ni sebagai ketua projek. Jadi selalulah kami beberapa orang bekerjasama.

Bertambahlah masa yang kami luangkan untuk siapkan projek ini. Anna tetap juga berbincang dengan aku tentang kerja buat utama kami.

Dia ni memang jenis peramah. Mudah mesra. Aku jadi senang. Malah aku jadi lebih semangat untuk pergi kerja.

Apabila habis projek sampingan kami, aku jadi seolah rindukan waktu kami bekerjasama. Aku mula rasa lain macam. Kalau dia tegur aku di pejabat aku jadi suka. Haa sudah.

Tapi aku sentiasa sedar aku suami orang dan dia isteri orang. Aku cuba untuk tidak meneruskan rasa hati.

Aku ingin mengelak daripada melayan perasaan ni. Aku tahu ia takkan ke mana.

Tapi hati jadi tak tentu arah. Itulah akibatnya apabila layanan dan kemesraan yang diterima di luar rumah melebihi yang diterima di rumah.

Kalau di rumah hanya sindiran dan kata-kata tajam menikam yang diterima, suara pula kerap meninggi, lebih tumpukan kerja dari keluarga, sedang di luar rumah kita ditegur dengan lebih baik, bibir pula sentiasa senyum, hati mana tidak tergugat.

Sekarang ini aku selalu berdoa agar hilang segala rasa hati pada Anna. Tapi sangat sukar. Setiap hari bertemu. Bercakap. Adakalanya bawa sampai ke whatsapp. Aku cuba mengelak untuk memulakan perbualan di whatsapp.

Nasihat aku kepada para isteri di luar sana. Kalau sayangkan suami kamu, janganlah terlalu mesra dengan orang lain. Kepada para suami pula, jangan jadi macam aku. Mudah jatuh cinta. Ha ha..

Tolong! Macam mana aku nak buat. Aku jadi rindu. Rasa sentiasa nak tengok dia. Aku cuba untuk hilangkan dia dari hati aku.

Kadang-kadang aku cuba bayangkan dia sedang melayani suami di rumah agar aku boleh lupakan dia. Tapi hanya sekejap.

Di waktu lain aku ingat dia semula. Rindu semula. Pada waktu aku ingatkan dia, aku istighfar, mengadu pada Allah agar dibantu untuk hilangkan perasaan aku pada dia.

Tapi setakat ini belum berjaya. Hati masih ingatkan dia. Bila berpeluang berbicara rasa suka sangat. Dia pula suka mengusik aku. Di luar dan di dalam sosmed.

Perasaan dia pada aku? Jangan tanya. Aku tak tahu. Mungkin biasa sekadar kawan sekerja. Tapi dia ni jenis yang mesra. Dia ni kalau terkasar dengan aku, segera dan bersungguh minta maaf. Sesuatu yang jarang aku terima di rumah.

Tolong aku. Bantu aku.

– Jalil (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *