Hai kepada semua pembaca terutamanya pembaca tegar IIUM Confession. Harap semua sihat walafiat ye.
Nama saya Bintang. Hari ini saya sekadar ingin membuat sedikit perkongsian mengenai pengalaman saya sebagai pekerja MyStep sebelum ini.
Mungkin ada antara kalangan pembaca yang tak pernah tahu atau tak pernah dengar langsung tentang MyStep.
Sekadar untuk makluman pembaca, MyStep adalah salah satu inisiatif pihak kerajaan untuk menawarkan pekerjaan secara kontrak kepada rakyat Malaysia yang sukar mendapatkan pekerjaan atau rakyat yang kehilangan pekerjaan disebabkan musim Covid-19.
Ada juga yang kata, MyStep ni menggantikan istilah Pekerja Sambilan Harian (PSH).
Tempoh kontrak selalunya dalam lingkungan 1 bulan ke 12 bulan. Pendek kata kontrak pekerjaan yang ditawarkan tidak melebihi 1 tahun. Selalunya, agensi² kerajaan dan sesetengah sektor swasta ada menawarkan pekerjaan MyStep.
Untuk makluman juga, tiada jaminan pekerja MyStep akan diserap masuk sebagai pekerja tetap setelah tamat tempoh kontrak.
Mesti ada yang tertanya tentang gaji. Memandangkan saya merupakan graduan Sarjana Muda, jadi saya hanya kongsikan gaji untuk graduan Sarjana Muda iaitu sebanyak RM2000 sahaja.
Berbalik kepada tujuan asal, sebelum ini, saya merupakan seorang bekas Guru MyStep yang berkhidmat di sebuah sekolah selama hampir setahun.
Saya sejujurnya tiada latar belakang pendidikan tetapi ada sedikit pengalaman mengajar secara sukarelawan ketika zaman universiti.
Sebelum saya diterima sebagai guru MyStep, saya telah melalui satu temuduga di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Sebelum dipanggil untuk temuduga bersama PPD, kita akan diberikan beberapa pilihan subjek yang kita nak ajar. Jadi, bagi yang berjaya dipanggil untuk temuduga akan dibahagikan mengikut subjek tertentu.
Setelah lulus temuduga, saya diminta untuk melaporkan diri di sebuah sekolah. Saya juga diminta oleh pihak sekolah untuk membawa dokumen untuk tujuan mematikan stem di LHDN sebelum melaporkan diri.
Sejujurnya, saya berasa sangat teruja waktu tu kerana fikir harapan ada peluang untuk diserap masuk.
Namun, kejadian adalah sebaliknya kerana pihak kerajaan pada tahun lepas telah menawarkan pekerjaan guru secara one-off dan keutamaan akan diberikan kepada yang ada latar belakang pendidikan.
Memandangkan banyak negeri telah memilih cara pendekatan PDPR pada tahun lepas, saya hanya sempat mengajar bersemuka selama sehari sahaja dan murid yang hadir hanyalah dua orang murid sahaja. Antara subjek yang saya ajar ialah subjek Matematik.
Sejujurnya, mengajar subjek Matematik secara atas talian bukanlah mudah kerana bukan semua murid dan guru mampu mendapatkan liputan internet yang luas terutamanya yang mengajar dan tinggal di kawasan luar bandar.
Ada juga guru yang hanya memberikan link Youtube sahaja sebagai panduan. Tetapi bagi saya, tidak kesemua murid dapat memahami apa yang diajar kalau guru itu sendiri tidak tunjuk.
Pada mulanya, saya akui saya agak kelam kabut sedikit untuk menyesuaikan diri. Profesi perguruan ini banyak membuka mata saya.
Ketika saya ditempatkan di sekolah itu, tiada penerangan tentang apa yang perlu dibuat sebagai guru dibuat dan ice breaking bersama guru lain pun tidak sempat dibuat. Semuanya kena belajar sendiri.
Diri sendiri kena cari guru dan mesej kepada guru² yang mengajar subjek itu sebelum ini serta bertanya apa yang perlu buat. Nasib baik ada ramai guru yang tidak kisah untuk membimbing saya.
Sepanjang berkhidmat, ada juga pihak yang mengambil kesempatan dengan memberikan mata pelajarannya kepada saya.
Setahu saya, hanya saya seorang sahaja yang mengajar dari Isnin hingga ke Jumaat. Guru² lain hanya mengajar pada hari² tertentu mengikut subjek yang mereka ajar. Bagi saya, itulah antara pengalaman yang mencabar.
Profesi perguruan zaman sekarang ni banyak membuat kerja admin. Dulu, saya ingat selepas guru habis mengajar, mereka boleh balik ke rumah dan semak kerja anak murid di rumah.
Bila saya dah jadi guru barulah saya tahu betapa banyaknya kerja admin yang guru² perlu buat selain daripada mengajar, menyediakan lesson plan dan menyemak kerja murid.
Antara cabaran bagi saya ialah musim PDPR kerana ramai ibu bapa menghantar kerja sekolah murid selepas pukul 10 malam.
Ye, kita faham, ada ibu bapa yang baru balik kerja. Memandangkan saya mengajar dari Isnin hingga ke Jumaat, nak atau tidak, saya perlu juga siapkan semakan pada malam yang sama kerana tak mahu bebanan kerja bertambah pada keesokannya.
Kelas dan subjek yang diajar pula bukannya hanya satu kelas sahaja pada setiap Isnin hingga ke Jumaat. Kesemua anak murid yang saya ajar ialah seramai 210 orang murid. Untuk pengetahuan kepada yang belum tahu, tiada istilah OT ye dalam profesi perguruan.
Zaman PDPR juga sangat mencabar kerana ramai murid tidak hadir selama berhari² dan juga berminggu² termasuk musim ujian. Ada ibu bapa yang mengaku anaknya tak nak hadir sewaktu PDPR kerana sibuk main game.
Jadi, sebagai seorang guru, saya perlu mencari dan menghantar latihan murid kepada semua ibu bapa. Ramai yang tidak memberi maklum balas tetapi update Whatsapp status boleh pula.
Zaman dulu, kita yang mencari cikgu kita kalau kita tidak dapat hadir tapi sekarang lain pula ceritanya.
Syukur setelah lama kelamaan, saya boleh menyesuaikan diri dan masih bernafas sehingga ke hari ini.
Sebelum ini, saya ingat menggalas tanggungjawab sebagai seorang guru ni mudah. Bila dah menghadapi ksemua ini sendiri, barulah saya sedar betapa banyaknya pengorbanan seorang guru.
Bagi yang sedang memohon untuk menjadi guru MyStep, semoga tabah ya terutamanya yang bukan berlatarbelakangkan kos pendidikan.
Sebenarnya, saya ada ditawarkan untuk menjadi guru MyStep sekali lagi tetapi kerana pembayaran gaji MyStep yang agak lewat membuatkan saya menolak.
Selamat maju jaya kepada yang berjaya menjadi guru MyStep pada tahun ini.
– Bintang (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit