Gagalkah Aku?

Hai semua. Nama aku Ika, seorang ibu yang bekerja dan telah berkahwin selama tujuh tahun. Aku seorang penjawat awam manakala suami ku bekerja di sektor swasta.

Luahan aku ini merupakan luahan biasa yang sering pembaca baca di IIUM Confession ini, tetapi aku inginkan pendapat kalian.

Aku terdetik menulis luahan ini kerana aku berasa terlampau penat. Penat dengan keadaan sekeliling. Penat dengan berasa diri tidak dihargai. Penat kerana selalu terfikir aku ini ibu dan isteri yang gagal. Penat kerana selalu merasa rendah diri.

Dalam keluarga suami ku, aku merupakan satu-satunya menantu kerana hanya suami ku yang telah berkahwin. Dan dua anakku merupakan cucu emas untuk mereka. Aku penat untuk memuaskan hati manusia.

Keluarga mertuaku seorang yang baik tetapi kadangkala kata-katanya agak menyakitkan hati kerana mereka suka membandingkan aku dengan anak-anak saudaranya yang lain. Dengan siapa lagi mereka hendak bandingkan kerana anak-anaknya yang lain belum berkahwin?

Setiap perkara yang aku lakukan ada sahaja yang tidak kena di mata mereka yang kadangkala membuatkan aku tertanya-tanya adakah aku ibu yang gagal untuk anak-anakku? Contohnya, anak kedua ku memakai puting tapi bukan setiap masa, hanya ketika hendak tidur.

Dan disebabkan itu setiap kali berjumpa, ibu mertuaku akan berbunyi dan mempersoalkan tidak rasa serba salah ke mulut anak tak cantik bila dah besar disebabkan mummy dia? Bukan sekali dua, tapi dalam sehari aku boleh katakan dua hingga tiga kali dia berkata begitu.

Sama juga dengan makanan yang aku sediakan untuk anak-anakku. Sebagai seorang ibu, aku cuba yang terbaik untuk mereka. Sejak anak ku yang pertama masih bayi, aku hanya memberikan makanan yang aku masak sendiri termasuk nugget dan fries.

Tiada makanan ringan bahkan potato chip pun aku akan buat sendiri. Kadangkala bahan-bahan yang aku gunakan juga berasaskan bahan organik dan yang pastinya tiada gula atau garam.

Cuma untuk anak ku yang pertama, aku sudah mula letakkan sedikit perasa dan mencuba memberikan makanan yang sedikit pedas secara berperingkat.

Untuk sarapan juga, aku akan memberikan anak-anakku oat dan buah atau omelette. Dan ini pun menjadi isu untuk ibu dan bapa mertuaku.

Pada mereka aku ni acah acah seperti artis dan terlalu ‘try hard’. Terikut-ikut pengaruh di Facebook dan TikTok. Katanya anak-anak mereka dahulu makan nasi yang dikisar bersama ikan goreng. Bila umur masuk dua tahun anak-anak mereka makan lauk yang sama sahaja seperti mereka.

Elok sahaja hidup sampai sekarang. Untuk sarapan juga, kenapa menyusahkan diri masak oat atas dapur sedangkan boleh bancuh nestum segera yang mempunyai perisa buah-buahan?

Aku juga membiarkan anak-anak ku menyuap makanan sendiri, bukan kerana aku malas tetapi aku ingin mereka belajar berdikari. Bahkan di Taska juga, cikgu menggalakkan anak-anak seawal dua tahun menyuap makanan sendiri.

Dan itu juga menjadi isu yang besar untuk mereka kerana anakku makan bersepah dan comot padahal selepas mereka makan aku akan lap semula dan mandikan mereka jika terlalu kotor.

Pada mereka aku yang sengaja mencari susah dalam mendidik anak-anak. Dan setiap kali pulang ke kampung, ini yang perlu aku dengar ketika memberi anak-anakku makan.

Pernah sekali aku memberi makanan segera yang hanya perlu dibancuh dengan air panas sahaja untuk anak kecilku kerana aku kesuntukan masa pada hari tersebut. Dua hari berturut-turut aku pulang lewat dari kerja kerana jabatan ku mempunyai operasi besar-besaran.

Kebetulan ibu mertuaku berada di rumah kerana ingin melawat saudara, apa lagi teruk aku dikecam dan dibandingkan. Dia memuji anak saudaranya yang sanggup bangun pagi memasak untuk anak-anaknya. Sedih sungguh aku pada waktu itu.

Isu anak sekolah juga menjadi masalah yang sering diungkit-ungkit sehingga kini. Aku memutuskan untuk menghantar anak ku yang pertama ke Tadika yang mempunyai pembelajaran Bahasa Cina.

Bukan berniat untuk menunjuk, tapi memang itulah perancangan awal ku kerana aku memang inginkan anak-anakku boleh bertutur dalam bahasa ketiga.

Ini kerana aku pernah merasa betapa payahnya mencari kerja sebelum aku berjaya mendapatkan pekerjaan di sektor awam dengan berbekalkan bahasa ibunda dan bahasa pengantar kedua, Bahasa Inggeris.

Aku menghantar anak ku ke Tadika tersebut dengan harapan ianya akan menjadi titik tambah untuk mereka mencari pekerjaan di masa hadapan kelak.

Tetapi tindakan aku dikecam hebat kerana pada mereka aku tidak mementingkan pendidikan agama untuk anak-anakku. Berbeza dengan anak saudara mereka yang menghantar anak-anak mereka ke Tadika islam yang terkenal di Malaysia.

Pada aku, pendidikan agama boleh diajar di rumah. Suamiku juga boleh mengajar anak-anaknya sendiri di rumah. Mungkin mereka lupa, anak mereka merupakan lulusan Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti yang terkemuka.

Dan apabila anak ku yang pertama boleh menghafal surah lazim, doa dan zikir-zikir seawal lima tahun, mereka diam tetapi tetap dengan pendirian aku seorang ibu yang tidak mementingkan agama dalam diri anak-anak.

Tetapi aku bangga, anak ku boleh bertutur dalam tiga bahasa dan pendidikan agama juga tidak terabai.

Walaupun bahasa utamanya dengan kawan-kawan adalah Bahasa Inggeris atau Mandarin, di rumah dia masih bertutur dalam bahasa ibunda dengan fasih. Aku berpegang dengan prinsip anak itu kain putih. Kita lah yang mencorakkannya.

Berkenaan dengan wang ringgit juga kadangkala menjadi isu. Suamiku memberikan wang tetap kepada mereka tiap-tiap bulan, begitu juga dengan aku.

Tidak pernah walau sekali aku terlewat memberi duit belanja bulanan kepada mereka. Apa yang ibu ayah ku dapat, begitu juga dengan keluarga mertua.

Bahkan semenjak mula bercinta aku selalu memberi buah tangan kepada ibu mertuaku. Apa lagi ketika hari lahir atau hari istimewa seperti hari ibu.

Tetapi tidak pernah sekali pun aku terima ucapan terima kasih dari mereka. Hari lahir ku? Semua menyepi. Tetapi aku cekalkan hati dan cuba menerima bahawa mereka memang begitu.

Yang membuatkan aku sedih, ibu mertuaku selalu membandingkan aku dengan anak saudaranya.

Dia selalu memuji bahawa mereka pandai mengambil hati ibu mertua dengan memberikan wang dan barang setiap bulan dan menyuruh aku mencontohi mereka, baru mertua akan sayang.

Aku tertanya, apa lagi yang belum aku berikan? Setiap kali ibu mertuaku menghantar link shopee atau lazada kepadaku, pasti akan aku penuhi.

Tetapi ucapan terima kasih tidak pernah hinggap lagi di telinga aku. Kalau anak saudaranya yang memberi, karipap 3 biji pun di canang di semua media sosial.

Terima kasih berpuluh kali diucapkan. Belum lagi mempertikaikan jawatan yang disandang anak saudaranya yang selalu diagungkan mempunyai jawatan besar.

Aku pelik, aku ini bekerja biasa ke? Mereka lupa ke aku merupakan seorang Ketua Daerah di jabatan ku bekerja? Atau aku perlu bekerja dengan lebih kuat untuk menjadi pengarah negeri?

Begitu juga dengan masakan ku. Selama tujuh tahun berkahwin, ibu mertuaku tidak pernah menjamah walau sedikit pun masakan aku, apa lagi kalau adik-beradik iparku memuji.

Mula lah dia protes dengan menggoreng telur berkuahkan kicap dan mengatakan itulah lauk yang paling sedap sekali.

Tetapi bila berborak dengan ku, dia pasti mengatakan bahawa semua anak saudaranya seorang yang rajin dan boleh memasak berbagai juadah. Malah masakan mereka dipuji-puji dan pakar dalam memasak sesuatu hidangan.

Macam mana dia nak tau sedap atau tidak masakan aku sedangkan jamah pun tidak mahu? Aku selalu terfikir, apa kurang aku? Selama aku berkahwin dengan anaknya, tidak pernah aku mengabaikan makan pakai dia. Semuanya tersedia lengkap.

Perbelanjaanku juga menjadi pertikaian mereka. Mereka mengatakan aku terlalu ‘demand’ kerana selalu membeli barangan branded. Salah ke? Itu duit aku, hasil titik peluh aku.

Baju anak-anakku juga selalu menjadi pertikaian. Beli baju murah dikatakan kedekut. Beli yang mahal dikatakan menunjuk. Aku pun tak tau bila aku menunjuk, jarang sekali aku upload di media sosial.

Cara aku bercakap dengan anak-anak juga menjadi pertikaian. Pada mereka aku terlalu lembut. Kecil-kecik boleh lah mereka dengar kata, bila dah besar nanti anak pijak kepala. Tetapi terpekik terlolong menjerit pada anak bukan cara aku, malah bukan dengan cara itu aku dididik.

Aku selalu sahaja melihat anak saudara mereka terpekik menyuruh anak mandi, tetapi anak-anak masih tidak berganjak. Tetapi anak ku, suami ku jeling sahaja sudah lari ketakutan. Tidak perlu extra effort untuk menjerit.

Yang terakhir berkenaan barang-barang di dalam rumah ku. Rumah ku berkonsepkan minimalis dan berwarna putih. Barangan dapur rumah ku lengkap tetapi tidak banyak. Aku pun tak ingat bila kali terakhir aku beli pinggan dan mangkuk.

Gadget dapur pun adalah sikit tetapi tetap tidak memakan ruang dapur ku. Aku sukakan dapur yang luas dan selesa. Dan itu juga menjadi isu. Kata mereka aku kedekut dengan barangan rumah. Dan sekali lagi, aku jadi mangsa bandingan.

Bukan aku tak pernah pergi ke rumah anak saudaranya, tetapi aku rimas. Rimas dengan dapur yang semak, penuh dengan pinggan dan mangkuk. Sampaikan ada pinggan yang terpaksa di letakkan di meja makan kerana terlalu banyak koleksi.

Nak potong bawang pun terpaksa letakkan papan pemotong di sinki, padahal ruang dapurnya memang besar. Tapi itulah yang menjadi pujian. Bukan dapur yang bersih berkilat, bukan dapur yang tersusun rapi dan luas.

Tetapi dapur yang penuh dengan koleksi gadget dapur dan pinggan mangkuk. Bersepah tidak mengapa, asalkan penuh.

Baru-baru ini adik iparku menunjukkan kepada suamiku group whatsapp yang terdiri dari adik-adik iparku, ibu mertuaku dan anak-anak saudaranya.

Hanya perempuan sahaja yang ada di dalam group itu. Isi kandungan perbualan mereka sangat sarat dan padat dengan isu tentang aku.

Setiap perbuatan aku dijadikan pertikaian. Sampaikan anak aku tidur awal pada waktu malam kerana mengikut jadual juga di kecam di dalam group tersebut. Dikatakan aku menyeksa anak.

Aku bukan menyeksa anak, tetapi memang itulah waktu mereka tidur sejak dari bayi sehingga sekarang.

Bahkan aku juga dididik dengan cara yang begitu, tetapi aku rasakan segalanya berjalan dengan baik.

Yang paling terkejut, ibu mertuaku ada mengatakan di dalam group tersebut, “menantu perfect makngah tu hari ni bagi anak makan nasi goreng je. Mesti tak ada duit nak beli lauk” dan disambut gelak tawa penghuni group tersebut.

Terduduk aku. Sampai begini aku dihakimi? Suka ke kalau aku tak ada duit? Salah ke aku cuba yang terbaik? Kenapa susah sangat mereka nak nampak usaha aku untuk memastikan cucu-cucu mereka terdidik dengan sempurna.

Bukan patutnya mereka berbangga mempunyai cucu yang berdisiplin dan mendengar kata? Cucu yang cerdik yang petah bercakap dan fasih membaca surah? Cucu yang tidak mengamuk bila tidak diberi handphone atau gadget?

Bukan ke mereka patut bangga mempunyai menantu yang mempunyai kerja tetap dan tak pernah missed duit belanja mereka? Menantu yang sanggup bersusah payah bangun sebelum subuh untuk memastikan makan dan pakai anak cucu mereka terjaga?

Menantu yang tidak pernah mengatakan tidak untuk setiap permintaan? Menantu yang sentiasa memastikan rumah anak mereka terjaga bersih dan rapi?

Kadang-kadang aku pun pening. Dah berusia begini masih lagi nak sentap dengan kata-kata orang. Kadang-kadang aku tertanya, aku cemburu ke dengan sepupu suamiku kerana sering dipuji?

Tapi inilah yang aku rasakan. Sesak sekali dada ni bila teringat setiap butir bicara mereka.

Hancur sungguh hati bila teringat isi kandungan group mereka. Suamiku juga tergamam bila membaca isi kandungan group tersebut. Tidak sangka ibunya berperangai sedemikian rupa.

Ikutkan hatinya, ingin sahaja dia mengadu kepada bapa mertuaku tetapi adik iparku menangis merayu supaya merahsiakan perkara tersebut.

Dia terniat memberitahu suamiku juga kerana dia kasihan kepadaku. Padanya aku kakak ipar yang baik tetapi sering disalah anggap oleh ibunya.

Suamiku mula rasa tawar hati. Mula rasa enggan balik ke kampung raya tahun ini. Dan aku? Hanya menurut sahaja.

Kerana kekuatan aku selama tujuh tahun ini adalah kerana adanya suamiku. Kerana adanya dia yang sentiasa di belakangku dan menyokong setiap keputusan yang aku lakukan.

Dan dia yang sentiasa menutup segala kekurangan ku di hadapan keluarganya. Dan dia yang sentiasa menganggap akulah bidadari yang sempurna yang Allah amanahkan untuknya.

– Ika (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *