Aku seorang isteri dan ibu kepada dua orang anak, bekerja di sektor F&B dan digelar queen control oleh keluarga suami.
Suami bergaji rendah, hanya RM2500 dan akan habis dari hari pertama gaji diterima. Rumah, kereta, segala utiliti dan hutang PTPTN setelah dibayar baki yang ada lebih kurang RM300 sahaja.
Kami memang berjimat, boleh kata sebulan dua kali je makan di luar, hari lain aku masak sendiri. Nasib baik kami suami isteri tak cerewet dalam soal makanan.
Nasi panas, ikan kering dengan telur goreng hari-hari pun boleh jadi makan bertambah. Aku pun ada staff meal dari company, jadi dapatlah merasa makan sedap sikit.
Disebabkan gaji yang suami yang tidak mencukupi, segala perbelanjaan lain ditanggung oleh aku. Duit pengasuh, duit minyak kereta, segala perbelanjaan rumah, susu anak dan semua keperluan lain.
Aku merupakan assistant manager, jadi gaji aku lagi tinggi dan juga OT aku sangat banyak. Sekarang F&B kan tak ada staff sangat, jadi kami pekerja yang ada di kerah untuk kerja lebih masa.
Kadang-kadang aku mengeluh, setiap bulan gaji aku habis begitu saja. Belanja barang rumah, bayar upah pengasuh, van sekolah dan beli keperluan anak dah cukup membuatkan gaji aku tinggal kurang dari separuh.
Dengan separuh gaji tulah aku nak menabung untuk roadtax kereta, yuran sekolah, keperluan anak dan minyak kereta kami ulang alik bekerja. Nasib baik kereta kami kereta marhaen, roadtax tak mahal dan minyak pun jimat.
Tu tak masuk bila anak tiba-tiba sakit, terpaksa tarik juga duit tabung. PTPTN aku pun selalu sangkut bayar, nasib baik boleh keluarkan KWSP haritu, aku bayar terus semua tunggakan yang ada.
Barang kemas tak payah cakap, selalu je keluar masuk dan akhirnya tergadai terus.
Suami kata dia sedih sebab semua benda yang patut dia bayar, semuanya terletak di bahu aku. Aku redha, tapi aku tetap suruh dia berusaha.
Kadang-kadang aku pun down, kerja 12 jam sehari, cuti pun seminggu sekali. Masa untuk anak-anak langsung tak ada. Penat dia siapa yang pernah kerja F&B korang pun tau rasa dia macam mana kan?
Tapi tulah langsung takde sikit pun untuk diri sendiri.
Suami ada minta kenaikan gaji sebab dia kerja pun dah lama, tapi ditolak mentah-mentah oleh syarikat. Nak suruh dia minta kerja lain, susah nak dapat kerja dalam bidang dia. Ada juga apply, tapi belum ada kekosongan.
Kadang-kadang rasa menyesal sambung belajar, sijil yang ada tak guna langsung. Hutang PTPTN setiap bulan menghantui.
Mohon SPA sentiasa jawapannya dukacita, tak pernah dapat sukacita.
Aku ada rasa nak sambung master, tapi nak makan pun cukup-cukup je.
Sekarang memang fokus nak cukupkan segala keperluan untuk anak-anak je.
Oh ya, soal queen control pula itu memang nama panggilan aku. Mak mertua kata aku queen control, ayah mertua kata laki aku takut bini.
Yelah setiap kali nak balik kampung atau mereka nak minta duit untuk sesuatu perkara, mesti suami tanya aku dulu.
Tapi dorang tak pernah tau pun kenapa suami tanya aku.
Suami tanya sebab duit yang nak diberi kepada mereka atau untuk isi minyak dan tol adalah duit aku.
Tak ada aku, siapa nak isi minyak kereta dan tol? Dari mana datangnya duit yang suami transfer pada mereka? Dari langit ketujuh ke?
Dulu aku mesti transfer dulu pada suami, baru suami transfer pada keluarga dia. Tapi sekarang aku direct transfer dan slip tu aku send terus dalam group family. Biar mereka tahu duit tu datang dari mana.
Dulu aku boleh diam, tapi sekarang aku pun hilang sabar. Banyak dah aku korbankan untuk anak lelaki mereka tapi mereka tetap tak nampak.
Pasal anak pun selalu diungkit, puncanya mereka nak cucu yang ramai.
Aku bukan tolak rezeki, tapi aku memang tak mampu. Macam-macam aku fikir kalau nak tambah anak lagi. Upah pengasuh untuk baby pun sekarang sangat mahal.
Tak masuk lagi segala keperluan lain.
Selagi suami tak stabil, selagi tu aku tak ada rasa nak tambah lagi. Aku risau anak aku terabai dari segi keperluan wajib mereka.
Lagi satu, adik ipar aku jual medical card, insuran dan hibah.
Setiap kali balik kampung memang bernanah telinga aku, katanya aku kedekut dan tak fikirkan masa hadapan anak-anak.
Sebulan nak dekat RM300 untuk dua anak, masalahnya baki gaji pun tak sampai RM300. Macam mana aku nak carum?
Menyampah aku kalau fikir jenis suka ugut-ugut dengan ayat kita mak bapak yang tak berguna sebab tak carum medical card untuk anak.
Bab kesempurnaan rumah tangga semua nak tuding jari dekat menantu, tapi bab nafkah cukup ke tak mereka tak pernah tanya anak lelaki mereka.
Sekarang aku malas nak fikir apa-apa dah, cuma berharap dicukupkan segalanya untuk keluarga aku.
Mohon kekuatan dan kata semangat dari pembaca semua.
– Nadia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit