Helaian Terakhir Di Luh Mahfuz

Ini sambungan kisah ku sebelum ini:

https://iiumc.com/impianku-musnah-kerana-dia/

https://iiumc.com/kenapa-aku-jauhkan-diri-dari-masjid/

https://iiumc.com/antara-kebebasan-dan-kasih-sayang/

Titisan air mata ku gilap dari pipi ku. Perlahan-lahan ku tutup mata cuba untuk melupakan segalanya.

Deruan angin kipas tak terasa, hanya suara-suara di dalam minda bergema memberontak seadanya. Ingin keluar ke alam nyata, tapi terperangkap dalam dunia di sebalik mata.

Ibu datang. Aku di pimpin ke ruang tamu. Sekujur tubuh dilitupi kain kafan yang masih putih, baru dan kemas diikat. Wajahnya kelihatan tenang, pergi dalam keadaan tidur.

Suara tangisan memenuhi ruang. Raut wajah mereka muram, seolah-olah hari itu paling malang buat mereka. Kehilangan insan yang lemah lembut, pendakwah yang bersemangat, membawa umat ke jalan yang benar.

Kehilangan ayah suatu tamparan besar di kalangan keluarga terdekat dan masyarakat. Hilangnya umpama hilang mutiara di sebalik lautan yang luas. Sukarnya mencari pengganti.

Namun aku pula sebaliknya. Aku paling tenang. Tiada raut wajah sedih, muram, derita. Hatiku lapang. Dia pergi dengan tenang. Dia pergi membawa semua kisah silam.

Dia dikuburkan bersama memori-memori lama yang telah terbina di dalam kehidupanku. Memberi aku satu harapan. Biarlah dia pergi dengan tenang.

Di saat terpejam matanya buat selamanya, aku bertekad untuk menutup segala cerita. Memaafkan apa yang berlaku. Untuk aku bergerak kembali ‘move on’ ke dunia nyata.

Yang pasti setiap saat kehidupanku menanti saat ini. Saat yang mana setiap nafasku tidak lagi memikirkan tentang kematian dia. Saat di mana aku tidak lagi bertuhankan dia. Saat di mana aku boleh memaafkannya dan berbakti dengan cara berdoa.

Maafkan aku ayah. Di saat aku dewasa aku jarang berjumpa dengannya. Aku merantau ke negeri orang membawa diri. Walaupun aku pulang ke rumah, seboleh mungkin aku akan lari ke bilik mengunci diri apabila dia ada.

Aku hanya keluar tika dia pergi bekerja. Waktu itu lah aku luangkan untuk berbual dengan ibu, tentang topik masa depan, kerjaya, jodohku.

Aku pernah menulis luahan panjang lebar tentang ayah . Dan aku siarkan tanpa nama (anonymous). Aku simpan satu salinan dalam emelku.

Tanpa aku ketahui ibuku punya akses ke emelku dalam komputer yang pernah aku guna di rumah. Dibacanya kepada ayah. Di saat aku tahu mereka membacanya, perasaanku bercampur baur.

Bersalah kerana membuka aibnya. Dan bercampur dengan suatu kepuasan akhirnya mereka sedar aku tidak lagi sanggup dilayan sedemikian rupa.

Aku pernah membuat laporan polis terhadap ayah. Ketika itu aku duduk berasingan dengannya. Laporan itu dibuat hanya untuk perlindungan. Lalu salinan itu diletakkan dalam kereta. Aku terlupa untuk menyimpannya ke tempat yang selamat.

Akhirnya dia terbaca. Dia kecewa. Dia sedih. Kerana anaknya membuat laporan polis tentang dirinya. Ibuku mengadu kepadaku supaya minta maaf kepadanya.

Tetapi aku bertegas dengan mengatakan sekiranya permohonan maaf dibuat, dia akan jadi lebih berani untuk tidak mengaku kesilapannya.

Semua ini berlaku hanya kerana beberapa peristiwa yang aku alami ketika dewasa.

Sejujurnya aku tidak kisah aku dipukul, dirotan, bahkan dihentak kepala ketika aku masih kanak-kanak, belasan tahun. Aku faham apa yang mereka lakukan untuk mendidik aku.

Aku mungkin agak degil, dalam erti kata suka melawan cakap ketika aku remaja. Tapi aku masih harapan keluarga. Aku cemerlang agama dan dunia. Aku berjaya dalam peperiksaan. Semua itu menjadikan aku anak harapan.

Jadi tidak hairan kalau bapa ku memukul aku di kala aku remaja. Kerana aku masih tidak mengikuti sepenuhnya rentak dia, harapannya.

Aku satu-satunya anak lelaki dalam lima adik beradikku. Aku relakan diri aku dipukul.

Aku kesat segala air mata, aku lupakan segala apa yang dilakukan kerana fikirku, mereka telah memberikan aku kehidupan selesa di dunia. Aku hanya perlu lebih bersemangat dalam agama.

Menjadi pendakwah seperti bapa.

Tapi peristiwa yang mengundang penderitaan ku di saat aku sudah pun menjejakkan kaki ke menara gading, aku masih dipukul, aku masih ditepuk tampar.

Kalau dulu mereka beri alasan menggunakan kata-kata ulama “layanlah anak seperti hamba sehingga dia menjejak 14 tahun, layanilah dia seperti kawan.

Hanya Tuhan tahu betapa aku menanti saat umurku 14 tahun untuk dilayan seperti kawan oleh ibu bapa sendiri. Namun tidak berlaku. Hingga aku menjejak 20 tahun, layanannya tetap seperti hamba.

Di saat itu lah aku membawa diri. Aku sedar derita ini akan berpanjangan. Hingga dirinya atau diriku ke liang lahad. Di saat itu aku menggunakan mata pena untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hatiku.

Ku tulis luahan aku tanpa nama. Hingga dibaca ribuan orang. Bukan untuk mendapat perhatian. Hanya kerana aku berasa lega dan puas bila aku dapat ceritakan dengan kata-kata. Selama ini aku hanya bukukan di dalam minda.

Kemudian aku berjumpa doktor pakar. Diagnosisku ‘bipolar disorder’. Penyakit mental mood yang tidak terkawal. Ada masa hiperaktif ada masa aku akan menjadi murung.

Selama hampir tiga tahun aku dirawat, boleh dikatakan nota-nota rawatan pakar sakit jiwa ku ini semuanya berakar kepada layanan ayahku.

Setiap kali pertemuan setiap bulan, pasti dia yang disebut, sampaikan mereka cuba untuk berhubung dengan ayahku tapi aku halang kerana aku tahu dia tidak sesekali akan menerima kesilapannya.

Suatu hari aku dapat surat rujukan dari doktor pakar untuk dirujuk ke pakar lain berkenaan sakit jiwaku. Surat itu aku simpan dalam kereta sebelum dibawa ke hospital.

Namun tiba-tiba aku dapati surat itu hilang. Rupanya ia disorok oleh ayahku setelah dia buka sampul yang terlekat dan membaca isinya.

Pakar ada menulis berkenaan masalah keretakan hubungan aku dengan ibu bapa. Aku hanya mengetahui surat itu disorok beberapa bulan selepas surat itu hilang.

Dia menyebabkan aku takut menjejaki rumah Tuhan. Kerana dia sebagai pendakwah rumah keduanya ialah masjid. Setiap kali aku ke rumah Tuhan, aku merasakan seolah-olah aku menyembah ayah (moga Tuhan lindungkan dari perkara itu) bukan menyembah Tuhan.

Ibadat yang dibuat di dalamnya tidak dirasakan seperti pengabdian kepada Tuhan, kerana setiap kali aku sampai di mana-manapun rumah Tuhan, pasti terbayang dirinya yang sedang menyeksaku. Aku tidak lagi berupaya berhadapan dengan ahli jemaah masjid.

Walau di manapun aku membawa diri, di luar negeri tempat tinggalku, beribu batu jauhnya, kesannya aku melihat mereka sama seperti ayahku.

Bahkan aku tidak berupaya melafazkan Alfatihah langsung apatah lagi lafaz-lafaz lain ketika solat di masjid.

Aku hanya mengikuti perbuatan imam. Aku tidak dapat mengira berapa kali solatku tidak sah kerana tidak berupaya melafazkan bacaan dalam solat di dalam masjid.

Ibadatku tidak jadi semakin khusyuk di situ. Sampai aku bertekad untuk menjaga keimananku.

Aku lebih tenang beribadat di rumah, bersama dengan ibuku, wanita yang tidak pernah putus asa membuktikanku bahawa Tuhan tidak kejam, dan sentiasa memohon maaf bagi pihak ayah ku.

Aku hanya sampai ke masjid sekali seminggu, ketika solat Jumaat.

Aku tidak sesekali menyalahkan Tuhan. Walaupun manusia menyalahkanku menjauhkan diri dari rumahNya, biarlah hanya Dia yang mengetahui betapa aku berusaha mendekatkan diri denganNya dan memperbaiki hubungan denganNya. Tapi ini lah kesan dari peristiwa yang aku alami.

Setelah puluhan kali pertemuan pakar, luahan aku yang ditemukan di dalam emel, laporan polis dalam kereta yang ditemukannya, aku lihat sikap agresifnya terhadapku semakin kurang. Dia lebih banyak berdiam diri. Sikapnya tidak terburu-buru lagi untuk berkeras terhadapku.

Namun dengan syarat aku tidak perlu selalu berada di hadapan matanya. Kalau aku di hadapannya pasti sampai satu masa dia akan mula mengugut aku untuk mengikutinya beribadat di masjid.

Telefon bimbitku berdering kuat. Bingit memecahkan kesunyian. Azan subuh berkumandang. Bingkas aku bangun, mengalirkan air wuduk diwajahku. Membasahi tangan, kepala dan kaki. Lalu aku bersujud kepadanya.

Di saat aku memalingkan muka ke kanan, mengakhiri solatku, aku sedar bahwa dirinya masih hidup. Aku hanya bermimpi indah semalam. Mimpi yang memadam memori aku sebentar.

Sebelum aku teruskan hidup membawa luka lama, berharap helaian takdir yang tertulis di luh mahfuz di atas nama ayah sudah sampai ke helaian terakhir.

Agar dia bahagia di alam sana, dan aku dapat memadam segala dendam padanya, berbakti dengan cara berdoa.

– Mukhriz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *