Kisah belasan tahun yang lalu, saya adalah seorang pelajar sebuah IPTA. Walaupun memperolehi keputusan yang cemerlang dalam SPM (aliran sastera), tetapi saya ditawarkan untuk mengikut program Diploma Sains. Mengenangkan kegembiraan ayah dan ibu sewaktu menerima berita itu, saya gagahkan juga hati untuk pergi menuntut ilmu walaupun saya tahu pasti sukar untuk belajar sesuatu tanpa ada asas yang kukuh. Benarlah, di sana saya belajar advanced level dalam Fizik, Biologi dan Kimia yang mana saya rasakan sangat sukar. Pengajian hanya saya mampu teruskan sehingga ke semester 3 sehingga ditakdirkan saya menerima status Gagal Berhenti kerana gagal 3 kali dalam satu kursus yang saya rasakan sangat sukar walaupun sudah berusaha sedaya upaya.
Ketika itu, dunia dirasakan sangat gelap, saya rasa sangat malu pada diri sendiri, pada kawan-kawan dan orang kampung. Ketika menuntut di IPTA itu juga, saya telah menerima bantuan wang pengajian PTPTN sebanyak 3 kali bayaran.
Tanpa berputus asa, saya memohon UPU sekali lagi dan seterusnya berbekalkan keputusan SPM saya diterima masuk ke sebuah universiti di Selangor. Alhamdulillah, kursus kali ini tidaklah susah iaitu dalam bidang sains sosial dan Alhamdulillah saya berjaya memegang pointer yang tinggi setiap semester. Ketika mula belajar di universiti saya juga memohon pinjaman PTPTN tetapi tidak berjaya kerana saya didapati mempunyai pinjaman yang tertunggak pada pengajian sebelum ini iaitu saya telah mendapat pinjaman tetapi tidak menamatkan pengajian.
Allah, fikiran mula kusut, di mana hendak mencari wang untuk membiayai pengajian sedangkan mak dan ayah saya bukanlah orang yang berduit. Ayah hanya bekerja pemandu manakala emak tidak bekerja dengan 7 orang anak yang perlu disara.
Apa yang saya mampu lakukan? Saya hanya mampu bertawakal agar Allah meringankan beban kewangan saya. Maha Suci Allah, saya ditawarkan biasiswa JPA pada semester ketiga pengajian kerana rekod akademik yang cemerlang. Alhamdulillah…
Setelah tamat peringkat diploma, saya ditawarkan untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda di sebuah universiti di utara tanah air. Saya teramat gembira kerana mendapat kursus yang sangat diminati. Namun, masalah kewangan masih tetap membelenggu kerana pada hari pendaftaran saya perlu membayar pendahuluan sebanyak seribu lebih berserta duit asrama.
Apa yang menyentuh hati saya ialah ibu dan ayah saya bersungguh-sungguh mencarikan wang untuk saya pergi belajar. Ibu saya memohon untuk mengeluarkan wang KWSPnya yang tidak seberapa. Dan mereka berdua turut pergi ke pejabat zakat untuk meminta bantuan. Alhamdulillah, Allah SWT memudahkan segalanya, dan saya hanya membawa surat pengesahan yang pihak Zakat akan membayar yuran pengajian saya untuk semester pertama. Alhamdulillah.
Ketika semester kedua dan ketiga saya tidak mampu untuk menjelaskan yuran pengajian sehingga keputusan peperiksaan saya ditahan. Ketika itu saya sangat sedih, hanya bertawakal agar keputusan peperiksaan saya baik-baik saya. Dalam bergelut dengan masalah kewangan saya cuba untuk menyesuaikan diri agar hidup dengan berjimat cermat.
Dalam keadaan ketidaktentuan dan berfikir bagaimana nasib saya di universiti itu yang mungkin dibuang sekiranya tidak dapat membayar yuran pengajian, pada satu hari saya ternampak iklan biasiswa pensyarah muda. Dengan penuh tawakal saya memohon dan Alhamdulillah melepasi panggilan temuduga.
Alhamdullilah, percaturan Allah sungguh indah, setelah memohon kepada Allah setiap hari dengan penuh tangisan dan mengharap pertolongan kepadaNya saya berjaya dalam temuduga tersebut dan pengajian saya dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan sehinggalah saya bergraduat.
Kini saya telah menjawat jawatan pensyarah di salah sebuah IPTA. Dan saya masih ingin mendaki tangga-tangga kesusahan menuntut ilmu agar dapat merasa manisnya sebuah kejayaan. Impian saya sebahagiannya telah tercapai, ingin membantu menyara hidup ibu dan bapa saya dan membantu mereka untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Tidak lupa bantuan zakat yang disalurkan setiap bulan bagi membantu orang lain yang memerlukan seperti saya satu ketika dahulu..dan yang lebih manis lagi kini saya bebas dari dibelenggu hutang PTPTN..
– Bakawali
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit