Belenggu Hutang Di Usia Muda

Sekali-sekala memandu kereta di jambatan, aku terfikir untuk terjun ke laut. Aku sudah tidak kuat untuk meneruskan hidup, tetapi tidak berani juga untuk mati.

Lalu apa yang aku lakukan? Aku telan berpuluh panadol dalam satu masa supaya aku boleh koma.

Dapat tidur panjang tanpa memikirkan masalah dunia, apatah lagi soal di alam barzakh sana. Tapi itu hanya 50-50. Keberangkalian untuk aku masih hidup atau terus mati masih samar-samar.

Alhamdulillah, ketika dimasukkan ke hospital, Allah masih izinkan aku untuk bernafas.

Malah Dia tutup aibku sehingga doktor pakar di hospital tidak tahu yang aku overdose panadol. Mereka hanya diagnosis aku dengan penyakit berkaitan perut.

Usah menghentam pesakit mental dengan tuduhan mereka tiada agama.

Ada di kalangan mereka yang sempurna tutup aurat, ayat al-Qur’an dan zikir tidak lekang dari mulut setiap hari, bersengkang mata tengah malam mendirikan qiamulail, menangis pada Allah dalam sujud mereka.

Sekali-sekala, aku tertanya aku hidup ini untuk apa?

Untuk menyara hidup sendiri, aku perlukan pekerjaan. Untuk dapatkan pekerjaan, aku perlukan pendidikan. Lalu aku berhutang dengan kerajaan supaya aku dapat sambung degree.

Ketika sambung belajar di universiti, aku perlukan duit untuk makan sebab elaun sara hidup tidak cukup, jadi aku mula bekerja sambilan.

Habis kuliah 6 petang, aku bekerja dari 6 petang sampai 3 pagi.

Lalu bila masa aku hendak mengulang kaji pelajaran? Jawapannya jelas bila melihat result aku sendiri. Dapat second class upper dan terlepas daripada mendapat pengecualian bayaran balik.

Selepas sambung belajar dan dapat pekerjaan tetap dengan gaji gred degree, aku mulai jatuh cinta pada dunia akademik dan aku terus lagi sambung belajar ke peringkat yang tertinggi, meskipun aku terpaksa menambah hutang sedia ada.

Ahli keluarga dan rakan-rakan bangga melihat aku berjaya melangkah ke sejauh ini pada usia muda. Namun, mereka tidak melihat betapa aku merana dibelenggu hutang pendidikan.

Jika orang tanya adakah aku menyesal sambung belajar, jawapannya pasti tidak. Jika orang bertanya adakah aku menyesal berhutang, jawapannya pasti iya.

Tatkala rakan sebayaku yang belum ada degree, cemburu melihat aku sambung belajar ke peringkat ini, aku pula cemburu pada mereka kerana mereka tiada sesen pun hutang di usia muda.

Titik terendah dalam hidupku bila orang tuaku mengarah aku untuk buat loan bank bagi pihak mereka. Tatkala aku menolak, mereka mula mengungkit pemberian mereka pada aku sebelum ini.

Aku selalu baca penulisan Dr Azizul Azli berkaitan isu ini. Tidak sangka kena juga pada aku. Tapi bagi aku perkara yang mereka ungkit itu wajar.

Sebab tanggungjawab orang tua kepada anak hanyalah menyediakan tiga nafkah wajib iaitu tempat tinggal, makanan dan pakaian sehingga anak itu mampu menafkahi dirinya sendiri. Selain daripada itu, ia adalah ihsan mereka kepada aku.

Tetapi itu bukan lagi ihsan, sebaliknya ia adalah pinjaman. Dan aku tekad untuk buat loan bank untuk bayar hutang aku pada mereka. Aku takut mereka tak redha dengan pemberian mereka selama ini. Aku cuma nak selamat di akhirat sana.

Di usia muda ini, jumlah hutang bank dan hutang pendidikan aku sudah mencecah RM90K. Dengan wang sebanyak itu aku sepatutnya dah boleh laburkan dalam hartanah.

Aku masih mempunyai harapan terakhir untuk kurangkan hutang daripada RM90K kepada RM60K, iaitu dengan menghabiskan pengajianku dalam tempoh yang ditetapkan supaya aku dapat diskaun bayaran balik.

Namun, itu hanya sekadar harapan. Aku pun tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan.

Dengan komitmen bulanan yang sudah tinggi, aku tambah lagi komitmen baru dengan mengambil pelan takaful. Dengan tujuan untuk cover hutang-hutang sedia ada jika satu hari nanti aku jatuh sakit atau meninggal dunia.

Aku tak nak kematian aku menjadi bala untuk orang lain akibat meninggalkan hutang piutang yang terlalu tinggi.

Tatkala rakan-rakan sebaya yang lain memasang impian untuk mendirikan rumah tangga, ada rumah sendiri sebelum menjejak usia 30-an, aku hanya mampu memasang impian untuk melangsaikan hutang-piutangku sebelum usia 30-an.

Perkahwinan adalah benda yang agak mustahil bagiku. Mana ada orang yang nak kahwin dengan aku kalau mereka tahu hutang aku sebanyak ini.

Dan kalau aku kahwin dan ada anak kelak, siapa yang nak sara anak aku? Duit aku hanya cukup untuk sara diri sendiri dan bayar komitmen hutang.

Satu pendapatan sahaja untuk sara keluarga tak cukup pada zaman sekarang. Aku bukan wanita cantik yang boleh menarik lelaki kaya dan kacak untuk datang menabur duit.

Tolak tepi soal jodoh, kerisauan aku sekarang adalah krisis kewangan yang akan melanda satu dunia pada tahun hadapan.

Ditambah dengan syarikat swasta, tempat aku kerja sekarang sedang mengalami kerugian besar, aku tidak tahu bagaimana aku harus meneruskan hidup.

Aku cuma mohon doa para pembaca sekalian agar aku dikurniakan rezeki (berupa kesihatan mental dan fizikal, kelapangan masa dan wang ringgit) yang mengalir berterusan dan tak pernah putus seperti mengalirnya air zam-zam.

Dan kalau boleh, doakan juga aku bertemu jodoh yang baik agama dan akhlaknya, yang sudi menerima segala kelebihan dan kelemahanku.

Selagi aku hidup, aku masih mampu untuk sara diri sendiri dan langsaikan sendiri hutang aku.

Aku tak harapkan wang ringgit daripada sesiapa, yang aku harapkan adalah seorang suami yang boleh jadi peneman ibadahku, sahabatku dalam urusan agama, dunia dan akhirat dan pelindungku daripada menjadi bahan bakar api neraka.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *