Jodoh Yang Dinantikan

Assalamualaikum, namaku Fahana berusia lewat 20’an. Kepada yang pernah membaca penulisan Naa sebelum ini iaitu “Jodoh Yang Menipu” (https://iiumc.com/jodoh-yang-menipu/) dan “Jodoh Yang Ternoktah” (https://iiumc.com/jodoh-yang-ternoktah/).

Hari ini Naa ingin berkongsi tentang pencarian dan petua yang Naa gunakan setelah menemui seseorang yang keinginannya sama seperti Naa.

Perkongsian Naa ini, sekadar berkongsi dan tidak mempunyai niat menunjuk dan sebagainya.

Adat kehidupan ni, seseorang yang menanam, maka dia jugalah yang akan menuainya. Dia yang berusaha, maka dia jugalah yang akan peroleh hasil tanamannya.

Jadi pepatah ini juga satu simbol merujuk kepada sesiapa yang ada matlamat dan berusaha, maka dia akan peroleh apa yang dia hajat.

Rezeki itu perlu dicari, ia tidak akan datang bergolek sendiri. Begitu jugalah dengan perkahwinan.

Perkahwinan, ia bukanlah nasib semata-mata. Ia perlu dicari, dijemput dan diusahakan mendapatkannya. Kerana perkahwinan itu adalah rezeki. Oleh itu jangan kita berputus asa ditengah jalan walaupun sudah bertahun-tahun mencuba.

1 # Memperbetulkan kembali niat kita

Dalam apa-apa pun perkara, semuanya kembali kepada niat kita. Berbalik kepada konteks , Jika niat kita ikhlas, maka kita pun akan mendapatkan sesuai dengan apa yang kita niatkan.

Jika kita berniat mendapatkan jodoh kerana lillahi ta’ala, semata hanya kerana Allah, maka InsyaaAllah, Allah juga akan mentakdirkan kita untuk bertemu dengan seseorang yang juga memiliki niat yang sama.

2 # Muhasabah diri dan reflek kembali untuk melihat sebarang kekurangan pada diri

Jika anda ingin membeli sebuah beg, pasti anda akan memilih beg paling cantik, diantara semua beg yang terdapat di pasaraya bukan?

Tidak mengapa, tiada salahnya. Kerana itu sudah lumrah manusia ingin mendapat sesuatu yang paling cantik semampu dirinya. Begitu jugalah berkenaan dengan soal jodoh.

Kalau sampai sekarang anda belum bertemu calon pasangan, maka ada baiknya anda melihat kembali diri sendiri, mengesan apa yang kurang pada diri anda.

Kekurangan luaran sebenarnya bukanlah masalah besar, asal kita berusaha untuk tampil kemas dan berpenampilan lebih menarik.

Penampilan ini merupakan faktor yang agak penting dalam mencari jodoh.

Mulailah untuk memperbaiki penampilan anda dengan berpakaian kemas, merapikan rambut, memakai wangian, deodoran, bersukan, diet, dan lain-lain perkara lagi. Tampilkan diri anda dalam keadaan sebaik yang mungkin.

3 # Tingkatkan percaya diri dan buangkan rasa malu tidak bertempat

Bagaimana anda ingin dipercaya orang lain kalau anda tidak percaya pada diri anda sendiri?

Jangan pernah menyerah dalam mendapatkan jodoh, jika anda merasa putus asa atau menghadapi kegagalan, maka anda harus segera bangkit lagi. Selalu yakin bahawa anda akan bertemu jodoh idaman.

Yakinkanlah dia bahawa anda adalah orang terbaik untuk mendampinginya.

Buangkan rasa malu yang tidak bertempat. Malu itu perlu, tetapi jika malu tidak bertempat ia akan menyusahkan diri sendiri.

Bukankah apa yang kita lakukan itu adalah sesuatu yang benar dan baik menurut agama? Jadi mengapa mesti malu? Buatlah suatu komitmen yang harus anda penuhi.

Kejayaan anda ditentukan oleh niat dan semangat anda sendiri. Allah maha pengatur, pasti akan mempertemukan kita dengan orang yang memberikan kebahagiaan seperti yang kita angankan. Bahkan mungkin lebih dari yang kita harapkan.

4 # Memperluaskan Jaringan Pergaulan

Antara sebab lambat bertemu jodoh adalah kerana kurangnya pergaulan dengan masyarakat. Luangkan masa untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan.

Disamping itu jangan segan untuk bergaul dengan mereka yang sudah berusia, kerana mungkin ada pengalaman yang boleh mereka kongsikan, atau jodoh anda ada dikalangan sanak saudara mereka.

Jangan malu-malu untuk meminta bantuan kepada mereka dan jangan malu-malu juga untuk mengulangi permintaan kita secara rutin agar orang tersebut ingat bahawa kita meminta bantuan kepadanya.

Dunia hari ini menyaksikan perkembangan teknologi informasi sudah semakin maju, manfaatkanlah jejaring sosial untuk membantu anda mendapatkan jodoh. Carilah kenalan, teman dan sahabat sebanyak-banyaknya.

5 # Memperbaiki Diri Sendiri Dahulu

Ini adalah asas kepada langkah mendapatkan jodoh yang baik. Jika anda menginginkan jodoh yang soleh atau solehah, maka renungkan dulu adakah diri anda sendiri layak untuk mendapatkan jodoh yang soleh dan solehah?

Jika anda menginginkan pasangan anda baik dalam agamanya, maka pastikan anda pun baik agamanya.

6# Lapangkan Hati dan fikiran seluas-luasnya.

bila lagi giliran awak?”

“awak dah berpunya ke?”

“bila lagi nak makan nasi minyak”.

Inilah persoalan tentang perkahwinan yang selalu orang lontarkan pada Naa dahulu. Pelbagai jenis bentuknya. Perasaan cemburu dengan melihat kebahagian orang lain dalam perkahwinan pastinya bukan sesuatu yang asing.

Nak-nak lagi apabila suka untuk dihebahkan perihal indahnya bercinta selepas perkahwinan. Ini adalah point yang paling penting dan diperlukan. Lapangkan dada kita, dan buka minda kita seluas-luasnya.

Mungkin sukar pada awalnya, sebab kita lebih cenderung untuk berfikiran negatif. Syaitan juga giat meniupkan ‘fikiran jahat’ semasa kita kita sedang kecewa kerana hati kita dalam keadaan yang tidak stabil.

Namun, insyaaAllah kita sebagai orang Islam yang beriman pasti dapat melakukannya. Sebab itulah kita digalakkan untuk bersangka baik dalam setiap perkara, termasuklah apabila kita diuji dengan soal jodoh yang belum kunjung tiba.

Bisikkan kepada diri sendiri dengan kata-kata yang meyakini Allah. Contohnya:

“Mungkin Allah sedang melatih aku supaya benar-benar bersedia menhadapi cabaran apabila tiba hari bahagia itu. Allah tahu aku belum bersedia. . ”

“Belum tentu aku akan memperoleh kebahagiaan apabila berkahwin pada usia awal. Apa yang kita pandang baik pada mata kasar, belum tentu akan memberikan kebaikan pada kemudian hari.. Allah tahu apa yang kita tidak tahu.”

“Aku bersendirian dan masih belum berpunya, bukan bermakna Allah tak sayang aku. Sebab Allah sayang akulah, dia beri aku masa untuk bersendirian. Allah itu menguji kita dengan pelbagai bentuk ujian. Mungkin aku diuji dengan bersendirian buat sementara waktu..”

Dan pelbagai lagi ayat yang menyakini Allah sedang merancang perkara yang baik.

Ini bukanlah ayat penyedap hati, tapi kita sedang mengingatkan diri kita agar tidak terpedaya dengan bisikan syaitan. Secara tidak sedar, kita akan mendidik hati untuk tidak bersedih dan menjadi lebih kuat lagi.

Latih minda untuk lebih fokuskan kepada kepada kebaikan dan kelebihan diri kita. Pemikiran negatif hanya akan melemahkan kita dan memerangkap kita dalam kesedihan.

7 # Mengamalkan Doa agar dipercepatkan Jodoh

Diantara kesemua petua diatas, inilah senjata yang paling ‘ampuh’ bagi seorang mukmin.

Tiada yang dapat mengalahkan kuasa doa yang dipohon tanpa putus asa kepada Allah SWT. Doa yang baik untuk mendapatkan jodoh adalah doa yang terdapat dalam surat Al Furqan ayat 74 :

Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa”

Banyak pelajaran yang dapat kita ambil dari ujian yang kita lalui. Dengan tertundanya kebahagiaan itu, siapa tahu Allah sedang mengajar kita tentang makna menghargai.

Ya, ketika jodoh telah datang, pastinya kita akan menjadi seorang yang lebih manis dalam bersyukur serta menjadi lebih istimewa.

Dengan tertundanya pertemuan itu, mungkin Allah ingin memberikan yang lebih baik kepada kita. dan atau dengan tertundanya jodoh itu, Allah ingin menjadikan kita lebih matang dan lebih bersedia dalam membina keluarga.

Ingatlah, Allah itu sebaik-baik pengatur. Jangan berputus asa selagi nyawa dikandung badan.

Naa doakan agar semua pembaca yang masih lagi mencari-cari jodoh, dipermudahkan urusan, diberikan kesabaran dan dijauhkan dari kekecewaan dunia.

– Fahana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *