Mudahnya Haram, Sulitnya Halal II

Untuk part I, (https://iiumc.com/mudahnya-haram-sulitnya-halal/).

Kepada para pembaca yang menangis dengar luahan aku, yang panjatkan doa-doa yang tulus dan murni, yang beri sokongan moral dan motivasi,

yang berkongsi pengalaman kerja di mana kalian menghadapi isu rezeki ‘tak halal/ tak berkat’ seperti aku, yang sudi menawarkan pertolongan kepada aku dalam bentuk rumah sewa dan jawatan kosong.

Aku tak tahu macam mana nak gambarkan perasaan aku ketika membaca komen-komen kalian. Terharunya aku sampai mengalir air mata.

Terima kasih sangat-sangat. Semoga Allah membalas segala kebaikan kalian.

Kepada hamba-hamba Allah yang sangat baik hati, yang minta aku pm kalian supaya kalian boleh bantu aku. Aku sangat hargai pertolongan yang kalian tawarkan.

Tapi maaf sangat-sangat, aku belum ada kekuatan untuk mengaku aku yang hantar confession tu.

Yang pertama, aku malu sebab aku pernah terlibat dengan aktiviti haram (penipuan). Keimanan aku tak sekuat mana waktu tu. Bila dapat rezeki haram terus aku tinggalkan?

Tidak. Aku still makan walaupun tahu berdosa aku buat macam tu.

Ia mengambil masa berbulan-bulan untuk Allah hantarkan orang tengah untuk jentik hati aku, untuk nasihatkan aku, supaya berhenti makan rezeki haram dan cari rezeki yang halal.

Yang kedua, aku malu sebab ternyata ada orang yang hidup lebih susah daripada aku.

Ada keluarga yang tidur dalam kereta, ada gelandangan yang tidur di kaki jalan, di jambatan. Walaupun aku tidur di stor kosong, aku tetap bersyukur. Its better to have something than nothing.

Yang ketiga, aku malu kalau aku dapat kerja atas dasar simpati dan bukan atas kelayakan aku. Contoh, calon A ada ACCA dan aku takda.

Kalau ikutkan, A lebih layak dapat jawatan tu berbanding aku. Tapi majikan pilih aku sebab tahu aku yang hantar confession tu. Majikan pilih aku sebab kesian dengan kesusahan hidup aku.

Sedangkan setiap orang pun pasti ada kesusahan masing-masing yang mereka tak ceritakan.

Apa-apa pun, terima kasih sangat-sangat sebab sudi tawarkan pertolongan. Mulianya hati kalian. Insya-Allah aku pun akan usaha lagi untuk apply mana-mana jawatan kosong yang aku jumpa.

Kalau ada yang tanya, kenapa aku hantar confession tu kalau aku malu nak terima pertolongan orang?

Sebab aku sendiri pun tak jangka ada orang nak tolong aku.

Objektif penulisanku, selain nak minta sokongan moral dan doa yang tulus, aku pun nak tahu jugak ada tak orang yang pernah menghadapi isu ‘rezeki tak halal/ tak berkat’ seperti aku. Ternyata ramai jugak. Cuma kurang didedahkan sebelum ni.

Kepada insan yang mentertawakan realiti hidup aku, insan-insan yang memberi alasan ‘creative accounting’ ni helah yang dibenarkan. Islam mewajibkan kita mengeluarkan zakat dan bukan membayar cukai. Cukai ni haram la apa la.

Aku tak tahu dalil apa yang korang pakai. Kalau memang ada dalil dalam al-Qur’an, hadith, qiyas, ijtihad para ulama atau fatwa para mufti, yang jelas mengatakan cukai tu haram, sila bagi rujukan dalam komen. Aku pun nak tahu jugak.

Berdasarkan kefahaman aku, dalam al-Qur’an, kita diperintahkan untuk taat pada Allah SWT, Rasulullah SAW dan ulil amri (mereka yang diberi kuasa untuk mengurus kepentingan umat Islam).

Itu pun selagi mana ulil amri tidak memerintahkan kita buat perkara yang bertentangan dengan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Dengan cukai itu, ulil amri gunakan untuk pembangunan negara, untuk menggajikan penjawat awam. Kita tidur lena atas asbab para tentera yang menjaga keselamatan negara, atas asbab para polis yang membanteras jenayah.

Kita dapat pendidikan percuma sampai sekolah menengah atas asbab para guru yang mendidik. Kita dapat rawatan kesihatan yang murah atas asbab para petugas kesihatan yang bertugas tak kira masa.

Kesucian agama kita terjaga atas asbab pegawai agama yang melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Mereka semua tu bersengkang mata, tak tidur malam, berkhidmat demi agama dan negara. Tak malukah kalian yang mengelak untuk bayar cukai, tapi masih mengharapkan mereka untuk berkhidmat pada kalian secara percuma.

Tak dinafikan ada juga ulil amri yang menyalahgunakan hasil pungutan cukai dengan buat aktiviti haram seperti penyelewengan wang, pencucian wang haram, rasuah, kemewahan peribadi, konsert dan lain-lain.

Orang yang menggunakan ‘pisau’ untuk membunuh orang lain, tidak menjadikan ‘pisau’ itu haram digunakan untuk menyembelih haiwan.

Kita benci pada perbuatan dan bukan pada peralatan. Sama juga seperti cukai. Kalau taknak bayar cukai, silakan cari negara lain yang lebih kaya dan lebih maju sehingga takda keperluan untuk ulil amri mengenakan cukai.

Sebenarnya banyak lagi benda aku nak cerita

1. Kenapa aku ambil masa yang lama untuk berhenti dari makan rezeki haram?

2. Siapa orang tengah yang Allah kirim dalam hidup aku yang menjadi driving force untuk aku berhenti buat kerja haram?

3. Kenapa aku tak jadi whistleblower dan laporkan salah laku majikan dan client kepada pihak berkuasa seperti LHDN?

Insya-Allah jika ada kelapangan masa, aku akan cuba ceritakan. Terima kasih kerana sudi membaca confession aku yang kedua.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *