Aku seorang surirumah dengan anak tiga orang. Aku nak meluah tapi tak tau mana nak mulakan. Aku rasa aku mulakan dari zaman aku kecil la kot.
Aku di besarkan dalam keluarga dan persekitaran yang kurang baik. Ayah aku, seorang narsistik. Di mana dia sentiasa rasa dia yang betul.
Aku membesar dalam keadaan selalu melihat ayah memukul ibu hanya untuk sebab yang remeh.
Ayah juga sangat kedekut dengan kami adik beradik dan juga ibu. Pakaian basah kami hanya bertukar setahun sekali atau dua kali sahaja.
Tapi baju ayah, sentiasa yang baru, yang terbaik.
Aku kerap dengar ayah mengherdik ibu. Memaki ibu. Memukul ibu. Tapi aku tak mampu berbuat apa2 sebab aku takut nak melawan.
Tapi dalam hati, aku sangat kasihankan ibu. Dan ibu seorang yang sangat penyabar. Tak pernah sekali pun ibu melawan ayah.
Ayah punya emosi kadang kala seperti bom. Kita takkan dapat menyangka bila ayah akan marah2.
Kadang cuma hanya sebab cari sikat tak jumpa. Cari ketip kuku tak jumpa. Atau hanya kerana adik menangis.
Kami adik beradik sentiasa hidup dalam keadaan sikit-sikit takut ayah marah. Sikit-sikit takut ayah herdik. Begitu juga ibu.
Ayah pernah menampar ibu hanya kerana ibu masak tak kena dengan selera ayah.
Cukup la aku katakan zaman kecil aku lebih banyak derita dari bahagia. Kalau nk tulis semua yang berlaku, takkan habis sampai esok.
Di sebabkan aku membesar dalam keadaan keluarga yang begitu, aku sekarang mempunyai kerisauan yang mungkin aku ada masalah psikologi.
Sebab aku mudah marah. Mudah melenting. Mudah bergaduh dengan pasangan hanya untuk kesalahan kecil yang pasangan lakukan.
Aku takut adakah aku mewarisi sifat ayah. Atau aku mengalami child trauma atau sememangnya aku gila.
Aku juga sedar yang aku sangat susah untuk meminta maaf jika bergaduh.
Pernah juga aku rasa keadaan amarah aku menjadi abnormal hanya untuk sebab yang simple.
Contohnya aku marah anak bila anak minta makan waktu aku nak tidur malam. Atau aku mudah marah walaupun anak tanya soalan berulang kali.
Aku juga marah walau hanya untuk air yang tertumpah sedikit.
Tolong aku. Aku penat dengan diri sendiri. Macam mana cara untuk mendapatkan rawatan andai benar aku memerlukan rawatan?
Aku risau jika tiada yang membantu, boleh memudaratkan diri aku, anak-anak aku dan juga orang sekeliling.
– Rita (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit