Salam, suami saya baru pergi meninggalkan saya kerana sakit kronik. Saya menjaga dia kurang dari 5 tahun. Dan perkahwinan pun baru nak masuk 10 tahun berbekal kan dua orang anak.
Saya puas dapat berbakti sebagai isteri untuk jaga suami sepanjang dia sakit, sehingga dia pergi, dapat mandikan dan tolong kafan kan arwah suami sehingga dia kebumi.
Sebab bertahun suami sakit. Kami dah bersedia saling melepaskan. Redha dengan ketentuan yang diberi. Sentiasa support dia bila emosi tidak stabil. Setiap perkara hajat yang dia nak saya tunaikan.
Saya tidak sanggup dia sakit, saya selalu cakap saya rela dan redha jika dia tinggalkan saya. Sebab saya tahu dia dalam kesakitan. Kerap menangis mengadu.
Sangat kesian dan sedih tengok seorang lelaki yang kuat dan yang memang ego untuk tumpah kan air mata sepanjang bersama, tetapi mudah menangis teresak kerana sakit menanggung kesakitan..
Dan dia pun banyak kali suruh saya ready, terima dan bersedia yang dia akan tinggalkan saya suatu masa nanti, seolah dia tahu dia pun takkan lama..
Untuk satu tempoh yang panjang pun saya memang tidak menerima nafkah zahir mahupun batin tapi saya tetap halalkan, walaupun banyak kali suami minta maaf kepada saya, banyak kali ajak berbincang dimana jawapan saya tetap saya halalkan dan redha sebab saya faham keadaan dia.
Ujian dia dengan kesihatan yang merundum, ujian saya dengan menjaga suami dan keluarga. Kami pun tak pernah gaduh besar.
Perkahwinan yang baik, cuma diuji oleh Allah dengan kesakitan suami.. Suami terima kekurangan saya. Begitu juga saya. Semuanya ikhlas dan saling membantu.
Semasa menaip saya menangis sebab merindukan suami, sangat rindu… cuma jodoh kami tidak panjang, kami kahwin bersama awal 20 an. Dan suami pergi tinggalkan saya di awal 30 an. Kami sebaya.
Tetapi seiring dengan waktu, selepas agak seminggu lebih arwah pergi, ramai kawan kepada arwah yang hubungi saya dan menawarkan untuk jaga saya seperti arwah. Tapi saya tak respons dan menolak dengan baik kerana tidak bersedia.
Kecuali seorang kawan baik kepada arwah ni, cara dia sangat sopan dan tidak tanya tentang saya, tetapi banyak berbual mengenai arwah tentang kenangan bersama arwah, saling bertukar cerita dan sebak.. Kami berkongsi kerinduan pada arwah bersama dengan saling berhubung.
Dari berkawan secara tiba-tiba hubungan bertukar menjadi serius dalam masa singkat. Kedudukan status kawan baik arwah pun kebetulan sudah menduda agak lama lebih 5 tahun. Kami pula sebaya.
Masing-masing tidak menjangka yang kami serasi dan saling berhubung agak kerap. Kami tidak pernah berjumpa. Dan saya pun tidak ingin berjumpa sebab terlalu awal dan sedar diri dalam eddah.
Kerana hanya pergi kerja balik kerja sahaja. Saya masih bercakap yang saya sentiasa rindu arwah, dia juga merasakan hal yang sama.
Saya sampai sekarang masih dalam kesedihan, bercakap dengan dia sambil menangis tapi dalam masa yang sama kadang-kadang tersenyum juga dengan keletah kawan baik nya ini. Saya serba salah. Bila pemergian arwah pun baru sahaja meninggalkan kami…
Tetapi saya dah mula berhubung dengan kawan lelaki lain sedangkan eddah pun belum habis. Saya masih bersedih. Masih juga pergi ke kubur. Masih juga menangis rindu kan arwah. Masih tidur berbekalkan baju dan bantal arwah.
Cuma bila saya berkawan dengan lelaki selain arwah saya jadi serba salah dengan diri sendiri kerana terlalu awal sudah mula berkawan dengan lelaki lain, dan saya merasakan diri saya ni perempuan yang tidak ada maruah kerana begitu awal sudah move on seperti tidak sedar diri.
Sering juga meluah kepada rakan baik suami, yang saya berkawan, ini adalah satu kesilapan sebab arwah baru pergi. Saya malu dengan arwah.
Saya jadi tak senang hati, saya sampai bertanya dengan Allah semasa solat adakah ni ujian terbaru Allah nak bagi saya iaitu ujian nafsu dalam berkawan..
Kawan baik arwah berkata saya selalu ni beremosi sebab dia berkata kita pun fasa berkenalan dan berkawan. Saya tak tahu nak luahkan apa perasaan saya.
Lagi-lagi semasa pandang muka anak-anak yang masih kecik, saya sampai berdoa ya Allah tetap kan lah hati ini. Jangan uji saya macam ni. Saya penat.
Sepanjang berkahwin saya diuji suami yang sakit, menjaga arwah, anak-anak semua saya uruskan a-z tanpa merungut.
Saya sempat juga berkata pada suami, yang saya tidak akan berkahwin lain, walaupun suami memang selalu suruh saya cari peganti, sebab kesiankan saya yang masih muda dan banyak berkorban.
Saya selalu cakap pada arwah, dan diri sendiri serta keluarga terdekat, yang saya nak besarkan anak-anak tanpa terikat komitmen dalam hubungan.
Cuma bila kejadiannya jadi begini. Dimana, suami saya pun pergi tak sampai sebulan, tapi saya dah berkawan dengan lelaki lain dan orang itu adalah kawan baik dia sendiri. Ya Allah. Saya seolah termakan kata-kata saya sendiri.
Saya jadi serba salah dan menyalahkan diri saya, dalam masa yang sama. Saya juga perlukan orang untuk menemani atau berkongsi rasa.
Adakah saya ini isteri derhaka atau pendosa. Adakah perkara macam ini normal atau adakah saya ni isteri tak kenal dek untung.
Saya perlukan pandangan orang lain.. Sebab saya tak berani cerita pada orang lain kerana merasakan sangat aib untuk saya. Saya sangat malu dengan diri sendiri..
– Hana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit