aku respect adik aku!

Assalamualaikum. Terima kasih admin sudi post cerita aku kali ni.

Masuk kali ni dah 4 kali aku confess kat page iiumc ni. Aku suka ada medium macam ni sebab dapat share something good untuk pembaca semua.

Kali ni aku nak confess pasal adik aku. Semoga ada kebaikan untuk pembaca yang sudi membacanya. Aku menulis ni immediately after tengok adik aku tengah cuci najis atok aku. Kesian tengok dia handle sorang-sorang. Bila aku tanya, “nak kakak tolong tak?”. Dia cakap tak apa, dia boleh handle. Pelik jugak dia basuh berak atok aku sorang-sorang malam ni. Aku naik tingkat atas, tengok adik-adik yang lain. Rupanya adik aku sorang tu tengah tidur. Sorang lagi tengah baiki controller ps3 dia rosak.

Aku merupakan seorang anak perempuan daripada 7 beradik. Aku anak yang ke 3 dan mempunyai 4 orang adik lelaki yang aku sangat sayang dan respect. Seorang umur 22 tahun, seorang 20 tahun, seorang 19tahun dan yang bongsu berusia 15 tahun. Walaupun aku satu-satunya anak perempuan, tapi aku tak pernah rasa jadi hamba macam ada satu post yang cerita pasal kakak dia yang stress kena buat macam-macam tu. Alhamdulillah.

Keluarga kami tinggal sebumbung bersama seorang atok. Dahulunya atok aku seorang yang kuat dan gagah, namun disebabkan dia diserang strok dan heart attact, dia kini bed ridden. Dahulunya rumah aku dan atok bersebelahan dan berasingan, namun untuk memudahkan kami menjaganya setelah jatuh sakit, ibu dan adik beradiknya membuat keputusan untuk menggabungkan rumah kami dan membuat sebuah bilik khas untuk atok.

Sepanjang keberadaan atok di rumah kami, ibu saudara(tidak bekerja) dan adik-adik aku lah yang banyak menjaga atok. Ibuku seorang yang bekerjaya. Walaupun sibuk bekerja, ibu tetap akan menjenguk dan memberi makan atok apabila ada masa lapang. Apa yang aku nak ceritakan, aku sangat bangga dan kagum dengan adik aku.

Aku bangga tengok adik-adik aku yang sekarang. Kalau dulu diorang ni jenis tak pandai nak buat kerja, tak pandai nak berdikari, dan ‘penggeli’. Namun setelah atok aku sakit, merekalah orang yang paling banyak membantu menguruskan atok. Aku pun tak sedar macamana mereka ni berubah. Mungkin kerana kasihan melihat keadaan atok membuatkan mereka berasa bertangungjawab untuk menjaga atok walaupun atok aku ramai anak-anak lelaki.

Sepanjang atok berada bersama kami setelah hampir 4 tahun, ibu saudara dan adik-adik akulah yang mengambil tugas mencuci najis, menyuap makanan dan melayan kerenah atok. 3 orang adik aku semuanya menuntut di IPTA di Malaysia manakala seorang lagi akan mengambil pt3 tahun ini.
Aku respect adik-adik aku dan aku dapat rasakan atok aku untung ada cucu-cucu seperti mereka. Adik-adik aku tak pernah merungut bila kena basuh berak atok siang malam sebab atok dah tak boleh gerak dan pakai pampers, tak pernah merungut bila kena siapkan susu dan suapkan makan atok tiap-tiap hari, tak pernah merungut bila atok menjerit memanggil-manggil mereka nak bermacam-macam. Tak pernah merungut dengan kerenah atok walaupun itu bukanlah tugas mereka yang sepatutnya. Tak pernah mengungkit bila cucu-cucu atok yang lain balik kampung tapi tak jaga atok macam yang diorang buat. Tak pernah. Langsung tak pernah.

Aku respect adik aku. Walaupun pelajar universiti lain balik kampung untuk rehat bersama keluarga, tapi adik-adik aku tak. Tiap kali diorang balik waktu cuti sem, diorang akan buat tugasan jaga atok. Automatic. Tak payah suruh. Even aku pun balik cuti sem pun, tak ada la rajin macam tu nak layan atok. Diorang ni kalau semua ada kat rumah waktu cuti sem dan raya, selalu akan kerjasama jaga atok. Basuh berak atok sama-sama (Aku banyak kali ulang sebab aku respect sangat adik aku tak geli buat semua tu). Then, kalau sorang tengah tidur, dia takkan kejutkan yang tidur tu, dia akan buat sorang-sorang. Tak ada pun nak jealous bila sorang tak buat kerja. Sebab mereka buat ikhlas.

Walaupun aku anak perempuan seorang, aku tak pernah rasa lonely. Diorang ni sangat baik dan melayan kakak dia macam princess. Bila hari raya atau ada tetamu di rumah, adik aku yang pertama dan kedua (anak ke 4,5) la yang akan ke dapur buatkan air. Tak sempat aku nak buatkan semua tu, diorang dah macam automatic tahu nak buat semua tu bila ada tetamu. Baju-baju bertimbun kat dalam bakul baju kotor, diorang pandai basuh sendiri. Pinggan mangkuk yang diorang pakai, diorang cuci sendiri.

Adik aku yang paling rajin ialah adik yang kedua. Tiap kali dia balik rumah waktu cuti sem, aku lega gila dia buat semua benda. Kerja aku jadi lagi ringan. Dia akan jadi orang paling last tutup lampu dapur waktu malam sebab dia akan cuci semua pinggan sampai setel. Dia yang paling rajin basuh baju, jemur baju, lipat baju. Dia paling rajin suap atok makan, lap badan atok. Kadangkala rasa malu jugak dengan adik aku yang ni. Pernah sekali aku sentap dengan ayat adik aku yang ni. Aku cakap kat dia yang aku nak tidur dulu(lepas subuh) sambil tunggu mesin siap basuh baju. Sekali aku dah terbangun lewat dan tengok semua baju dah berjemur. Katanya, dia tak percaya dengan orang yang selalu tidur pagi(lepas subuh). Dia cakap dia pun dulu macam tu, katanya tidur lepas subuh ni membazir masa dan satu kerja pun tak jalan. Sebab tu dia dah basuh dan jemur baju-baju tu. Sentap giler. Malu pun ada.huhu

Walau apa pun, Alhamdulillah. Aku syukur Allah bagi aku anugerah punya adik macam diorang ni. Kadangkala banyak benda seorang kakak boleh belajar daripada seorang adik. Aku doakan adik-adik aku sentiasa menjadi anak soleh dan berjaya dunia akhirat. Aku harap Allah bagi adik-adik aku jodoh yang baik dan dapat menjaga diorang ni sebaik mungkin kelak. Kakak bangga dengan korang dik! Kakak sayang adik-adik kakak. Always. :) Doakan adik-adik aku istiqamah ya?

Aku akhiri confession aku kali ni dengan sepotong ayat,
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.” (Surah Luqman, 31:14)

– hanaishiteru

Hantar confession anda di sini -> iiumc.com/submit