Salam warga IIUM Confession. Terima kasih admin sudi siarkan coretan abang untuk jadi kenangan dan pengajaran untuk semua.
Abang dah 56 tahun. Waktu umur 19 tahun, abang bagitahu arwah mak dan abah, abang nak kawin.
Waktu tu semua menentang sebab tak suka calon isteri abang, keturunan negeri lain. Dan abang muda lagi waktu tu.
Sebab degil nak kawin, abang masuk tentera. Cinta hati abang waktu tu berumur 17 tahun dan tidak bersekolah habis. Maksudnya ada SRP jelah.
Tapi rajin cari rezeki. Apa saja depan mata dia ambil buat rezeki.
Kahwinlah kami dengan majlis sederhana.
Ramlah, isteri abang anak yatim piatu. Pakcik dia lah yang suruh abang pinang kalau ikhlas, sebabnya anak2 pakciknya semua lelaki. Dan membesar. Tak manis kalau Ramlah duduk sekali dengan anak2 lelakinya.
Sebab itu jugaklah abang kahwin. Walaupun gaji tak sampai RM600 waktu tu, abang askar pangkat rendah. Ada asma pulak tu, jadi jarang keluar padang.
Berapa kali dah hampir kena buang sebab penyakit abang. Tapi abang ditempatkan di unit pejabat kawalan. Tupun sebab abang pandai buat report dan matematik power.
Alhamdulillah, rezeki kami walaupun tak mewah. Tapi dapatlah kuarters tentera untuk tumpang berteduh.
Bila dah ada anak, pendapatan kami makin kurang. Anak kembar pulak tu, yang si adik mengalami masalah asma jugak. Nasib baik ada hospital kerajaan.
Ramlah, isteri abang waktu tu memang macam2 bisnes dia buat, bisnes agen kain, kasut, barang kemas dan niaga nasi lemak.
Kadang waktu kami betul susah, duit takde langsung, Ramlah pandai cipta juadah bagi kami anak beranak tak bosan.
Sayur kangkung dia buat jadi 3 jenis lauk. Contohnya sayur kangkung masak belacan, telur goreng kangkung dan sup kangkung.
Anak2 kecik waktu tu diorang tak boleh bezakan lauk tu sebenarnya dari sayur yang sama. Ramlah buat bagi jadi pelbagai jenis supaya anak2 lalu makan.
Abang waktu tu tahan air mata, abang malu dengan anak2. Tapi abang berterima kasih dengan isteri. Dia pandai jaga air muka abang.
Abang ingat lagi waktu KFC muncul, anak abang teringin nak makan. Menangis2 bagitau kawan2 dah pernah merasa KFC.
Ramlah isteriku, dengan muka tebal mintak bekas kotak KFC dari jiran sebelah. Dia masakkan ayam masak tepung yang serupa dengan KFC.
Bila dah siap, dia senyap2 turun bawah tunggu abang balik kerja. Dia berikan kotak KFC tu dan suruh abang naik atas. Berebut2 anak2 abang makan.
Sebab first time diorang makan, so diorang tak tahu sampai ke hari ni yang ayam tu arwah ibu diorang yang masak, haha.
Bila anak perempuan kami dah besar, mulalah rasa teringin nak barang mekap, rantai dan gelang tangan.
Ramlah isteriku dengan kreatifnya tumbuk bedak sejuk, letak sikit bedak soleknya lepas tu disejukkan didalam bekas bedak yang dia tak pakai.
Untuk gincu, dia ambil sedikit pewarna merah, dia campurkan dengan minyak zaitun dan losyen.
Abang tak tahu dia buat macamana sampai menjadi gincu tu bagi anak abang pakai. Baju pulak yang mana dah tak boleh pakai, dia jahitkan jadi baju baru.
Gelang tangan pulak dia ambil dari sisa manik dan buatkan jadi gelang tangan, sampai sekarang anak abang simpan kenangan tu, siap menang ratu sekolah lagi dari hasil tangan ibunya.
Itulah Ramlah, isteri abang.. dia tidak pernah mengeluh tapi dia gunakan kretiviti untuk penuhi kemahuan anak.
Sehinggalah anak2 kami bersekolah menengah, abang keluar askar, dengan duit yang kami kumpul, kami bukak kedai makan. Alhamdulillah berkat kejujuran berniaga, kami dapat hidup selesa.
Abang bukanlah sesiapa, tapi abang tumpang rezeki arwah isteri abang dari mula2 kahwin sehinggalah akhir hayatnya. Isteri abang meninggal dunia 5 tahun lepas.
Sehingga hari ini menduda, kerana abang dapat rasakan tiada siapa yang dapat menggantikan Ramlah. Sifat tabahnya, akal cerdiknya hinggalah kami hidup selesa. Tiada peganti.
Anak2 abang semua sudah berkahwin. Abang tinggal dengan cucu sulung dan hidup bahagia dengan kenangan di dalam rumah ini.
Abang kongsi pengalaman ini untuk anak2 muda sekarang. Hidup mereka lebih mencabar kerana keadaan ekonomi sekarang, termasuklah anak2 abang. Tapi percayalah dengan rezeki dan hargai pasangan masing2.
Abang akan sentiasa rindukanmu Ramlah,
Seikhlas hati…
– Hamdan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit