Kisah Ad1k Beradik

Okay.. Untuk kesejahteraan mental dan ketenangan fikiran, saya pilih untuk luah di sini.

Saya tak pasti kenapa perasaan sebegini datang, setelah sekian lama, semakin memakan diri. Mungkin simptom nak menopouse agaknya membuatkan fikiran saya bercelaru dan terganggu.

Tapi lately saya benar-benar rasa terganggu. Dengan usia menghampiri setengah abad macam saya ni, kita sebenarnya lebih sukakan hidup yang tenang, aman damai, harmoni dalam keluarga.

Keluarga saya pun bukannya tak aman damai, atau tak harmoni. Biasalah jika tergigit lidah sekali sekala.

Mungkin agaknya terlebih harmoni kot, hingga ketenangan yang ada sering sangat diragut.

Itulah… nak meluah pun serba salah, risau dikatakan sombong atau tak bersyukur. Tapi bila perasaan tu datang, saya penat… saya jadi sangat penat. Penat apa?

Penat melayan adik-beradik suami yang tak putus-putus datang ke rumah. Saya maksudkan datang dan tumpang bermalam, bukannya datang bertandang.

Si A dua minggu lepas dah datang. Ada urusan kerja katanya. Minggu ni datang lagi bawak family dan anak kecik2. Tau2 je depan pintu rumah.

Minggu depan dah bagitahu siap2 nak datang lagi. Hujung bulan ni adik beradik yang lain2 pula nak datang. Cuti sekolah kan.

Pertengahan bulan depan si C dah inform awal nak datang tumpang sebab anak konvo. Bulan lepas C dah datang sebab anak ada temuduga belajar universiti di KL.

Bulan sebelum tu juga ada datang ambil barang anak asrama. Kalau datang jenguk anak di asrama pun, di sini la C enam beranak menumpang tidur dua tiga malam. Alang2 drive jauh dari utara, nak la duk KL lama sikit.

Belum lagi bab si D, E, F. Adik beradik suami saya ni semuanya tinggal di luar KL.

Suami je yang menetap di KL. Seingat saya, mereka datang KL ni adalah dalam dua bulan sekali kot. Bergilir-gilir mereka datang menumpang dan bermalam. Tak ke dah jadi hampir tiap2 dua minggu?

Itu kalau hujung minggu. Kalau cuti sekolah, beramai2 la datang bercuti.

Suami saya ada 7 beradik dan dia anak lelaki sulung. Semua dah berkeluarga, paling kurang pun tiga anak, paling ramai tujuh anak. Saya sayangkan mereka dan layan mereka macam adik-beradik sendiri.

Mak saya memang ajar dari kecik memuliakan tetamu. Saya kadang masak, atau bawa keluar makan, dan kadang2 bila penat beli je untuk makan di rumah.

Adat tuan rumah, takkan lah nak minta tetamu yang bayarkan. Kalau mereka tongtong, itu pun sudah cukup bagus. Wang ringgit memang malas nak kira lah.

Mereka balik nanti, pandai lah kami berjimat. Bila mereka datang, kami seronok, walaupun penat.

Cuma bila mereka balik, penat saya berganda2. Penat badan dan penat emosi. Kadang2 terlepas juga dekat suami. Tapi saya tahu dia pun penat.

Tapi apa yang suami boleh buat? Takkanlah nak melarang adik- beradik dia nak datang menumpang. Takkanlah kami pula yang nak cadangkan supaya sekali sekala tumpanglah rumah adik beradik pasangan mereka pula.

Atau takkanlah kami nak beri layanan buruk pula supaya mereka serik nak datang haha. Nonsense.

Hidup ni umpama roda, kadang kita di atas kadang kita di bawah. Cuma setelah lebih 20 tahun, bunga roda dah semakin haus agaknya. Tapi masih tetap berkhidmat dengan setia.

Astaghfirullahal azim. Saya beristighfar dan memohon ampun kepada Allah Taala kerana berperasaan begini. Saya cuma nak minta pembaca faham situasi saya dan beri saya semangat untuk terus ikhlas.

Bukan tanggungjawab suami lagi untuk menanggung adik-beradiknya kerana mereka sudahpun besar dan masing- masing sudah berkeluarga dan berkerjaya.

Dulu2 memang lah sebab dia abang sulung. Saya sendiri menyaksikan pengorbanan suami semasa adik2 kecil dan masih belajar.

Sekarang semuanya sudah stabil dan berkerjaya, sama saja tarafnya seperti kami.

Saya sudah cuba pujuk hati sendiri, cuba ingatkan diri dengan pahala yang Allah janjikan bila kita muliakan tetamu dan berkongsi rezeki dengan mereka.

Cuma kadang2, terdetik juga hati ini, bila ada yang terang2 suka mengambil kesempatan atas kebaikan kami.

Kami sendiri kalau ke luar kawasan, lebih rela menyewa hotel atau homestay untuk tidak menyusahkan adik- beradik. Maklumlah anak kamipun ramai.

Nanti kami jenguklah mereka di rumah mereka sejam dua berjumpa mata. Tapi nanti mereka pula yang angkut kain baju ikut menumpang homestay atau hotel kami juga hahaa. Anak2 nak mandi kolam katanya. Macam magnet kan? Hihi.

Di sini, saya juga ingin mengambil kesempatan, jika ada di kalangan pembaca yang suka sangat bertandang dan bermalam di rumah saudara mara, bawak2 la bertimbang rasa.

Kalau tujuannya untuk berjimat, memanglah boleh jimat, duit hotel, duit makan dah selamat.

Kalau datang dengan tujuan mengeratkan tali silaturrahim, jemputlah datang, cuma fikir-fikirkan juga kebajikan tuan rumah. Mereka pun nak rehat.

Ada masa-masanya mereka nak bersama anak isteri secara eksklusif selepas lima hari bekerja.

Kita orang beradab takkan tergamak nak buat muka, nak tunjuk sibuk atau nak tunjuk susah dengan adik- beradik yang datang. Tetamu diutamakan kekdahnya. Belanja dulu, puasa kemudian. Sepah dulu, kemas kemudian.

Layan dulu, menangis kemudian. Semoga Allah jaga hubungan kekeluargaan kita semua dengan saling mengambil berat dan bertimbang rasa sesama keluarga.

Tuhan memang suka bila kita memudahkan urusan orang lain, tapi ingat, agama juga mengajar kita supaya seboleh-bolehnya elakkanlah diri dari menyusahkan orang lain. Kita jaga kita.

Sekian…

Mama cantik (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *