Hak Menegur vs Hak Peribadi

Cuaca panas. Sebiji matahari mengambil alih tugas tiang-tiang lampu limpah untuk menerangi permukaan padang. Bagi menggambarkan betapa panas dan bahangnya menanti perlawanan yang akan berlangsung sebentar lagi maka sebiji matahari ditimbulkan supaya menampakkan suasana yang penuh realistik dan tegang.

Penonton ada di mana-mana. Jika kau terlambat memasuki stadium pada ketika itu, masih tidak terlewat kerana perlawanan seperti pada hari itu sebenarnya kau boleh tonton semula daripada yang lepas-lepas. Tidak ada banyak perubahan pun. Jika ada, mungkin sedikit pada sambutan daripada peminat itu sendiri.

Baiklah hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi wisel permainan akan ditiup menandakan permainan akan dimulakan. Para penonton kian bersorak dan meninggikan sepanduk masing-masing menjulang ke udara. Masing-masing membawa slogan sendiri sebagai tanda penghargaan dan sokongan padu kepada pasukan yang dianuti.
Terlihat pelbagai saiz dan warna kain rentang yang dibawa. Ada yang menulis ” Jilake ! ” , ” makan dedak “, “macai”, ” Bodoh “, ” Tak takut neraka keww? ” dan paling ikonik ” PM harga bang “.

Prittttttttt!!!!

Bola provokasi melantun ke sana sini. Sekejap terbang ke udara kemudian mendarat semula ke tanah datar. Bergolek dan terus bergolek, hampir ke setiap inci padang, kadang-kadang terlepas keluar daripada garisan permainan.

Dua pasukan yang sedang berseteru antara satu sama lain di depan mata anda sekarang adalah Pasukan Hak Menegur dan Pasukan Hak Peribadi. Setiap tahun akan ada saja dua pasukan ini di kedudukan dua teratas Liga Pertengkaran Facebook, Twitter dan Instagram. Nampak begitu mustahil untuk menumpaskan kedua-dua pasukan ini. Tetapi tidak menjadi masalah besar kerana pertembungan antara dua pasukan tradisi ini tidak pernah mendapat layanan atau sambutan yang mengecewakan. Jika anda bukan daripada peminat liga tersebut, anda masih menerima tempiasnya di luar stadium. Sebagai contoh kebodohan meletakkan kereta akal dan kereta adab di tempat yang salah. Walhal anda cuma pejalan kaki, yang mahu berjalan dengan tenang ke gedung membeli belah Lazada atau 11 street. Kerana terganggu oleh kebisingan penonton di dalam stadium tersebut anda sesekali berhenti dan mengintai apa yang sedang berlaku di sana.

*separuh masa pertama*

Masih tiada jaringan yang terhasil setakat ini. Para pemain daripada kedua-dua pasukan mulai tercungap-cungap mencari sebotol air hujah dan snack bar dalil dan hadis bagi mengisi benak otak dan kerongkong. Jika tidak menghargai waktu rehat yang singkat itu, pasti mereka akan kalah di separuh masa kedua nanti. Menurut anggapan masing-masing. Jurulatih kedua-kedua pasukan terdiri daripada bukan calang-calang orang. Kredibiliti yang dipegang bisa menggoyahkan prinsip dan strategi pasuka lawan. Masing-masing pernah menjulang piala-piala agung seperti Kejohanan Holier-than-thou, Kejohanan Who-are-you-to-judge-me dan piala terpenting iaitu Piala Kubur-Masing-Masing.

Ketika wisel separuh masa kedua bergema ke udara, penonton kembali bersorak! Yang benar benar die hard fans akan memalukan kayu gendang bodoh bagi menaikkan bara semangat pemain menjadi api. Bagi yang suam suam kuku hanya bertempik ketika bola provokasi tersasar daripada tiang poin atau melaungkan booo ketika salah seorang daripada pemain mereka dibentes oleh kaki pemain lawan yang memakai boot palsu gred AAA.

Apa yang unik tentang perlawanan ini adalah, keputusannya berubah-ubah setiap tahun. Pasukan Hak Menegur pernah menang, Pasukan Hak Peribadi juga pernah menang. Jadi pertembungan antara keduanya tidak pernah bosan dan seperti jadi ritual tahunan yang akan mengulang-ulang sejarahnya sendiri.

Terima kasih kerana sudi datang ke stadium keramat kita untuk memberi sokongan. Tanpa kalian sudah pasti para pemain kita akan lesu dan tidak berminat untuk bermain lagi pada tahun-tahun akan datang.

Saya Dak-Dak Wicet melaporkan dari Stadium Sindrom Melayu. Kembali ke Sri Pentas.

– dak dak wicet

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit