Luahan Seorang Perempuan

Aku dan suami lahir pada tahun yang sama, aku hanya tua seminggu dari dia.

Kami berkenalan di sekolah menengah sejak tingkatan 1, tapi entah kenapa aku sangat-sangat benci pada dia walaupun dia sangat suka pada aku.

Ditakdirkan kami bernikah 10 tahun selepas itu, kerana aku cuba bukakan hati aku untuk dia aku cuba menerima perasaan dia dan buang perasaan benci ini.

Kami tidak bercinta sebelum kahwin. Kami terus bertunang dan bernikah tidak lama selepas itu. Perkahwinan kami sudah hampir 3 tahun.

Di awal tempoh perkahwinan kami, aku rasa tidak selesa untuk ‘bersama’ dengan dia. Aku rasa seperti dipaksa, aku rasa tidak puas dan aku rasa sakit. Sakit yang membuatkan aku trauma untuk ‘bersama’.

Setelah beberapa kali, aku selalu mengelak dari ajakan dia. Aku tahu. Aku tahu berdosa menolak ajakan suami untuk ‘bersama’.

Aku sedar, tetapi aku trauma. Trauma itu membuatkan aku sudah mula tawar hati. Setahun lebih berlalu, kami langsung tidak ‘bersama’.

Aku okay, aku tidak teringin langsung. Namun dia selalu memaksa aku untuk memberikannya kepuasan. Kadang-kadang, dia meraba aku secara paksa.

Tidak ada satu kali pun aku rasa bernafsu pada dia.

Satu hari, aku sengaja memeriksa telefon kedua dia dan aku terjumpa banyak laman sesawang p*rno. Hati aku membungkam. Lidah aku terkelu. Badan aku kaku. Aku tahu.

Akulah punca dia melayan benda tidak senonoh untuk kepuasan diri dia. Aku diam. Aku diam beberapa bulan sehinggalah satu hari dia memaksa aku untuk memuaskan dia.

Aku terus bersemuka dengan dia bahawa aku tahu perbuatan tidak senonoh yang dia lakukan.

Dia menafikan, tapi aku ada bukti semuanya. Terus dia berjanji dia akan berhenti dan menjual telefon keduanya itu.

Namun, aku tetap berkeras bahawa aku tidak mahu ‘bersama’. Aku jijik. Aku sudah tawar hati.

Aku bekerja, dia juga bekerja. Waktu kerja kami tak jauh beza. Duit nafkah memang dia beri setiap bulan, dalam 8% sahaja dari gajinya.

Aku tidak mengeluh. Kami tinggal bersama keluarga aku.

Sebelum ini, aku yang membayar bil elektrik tiap-tiap bulan. Bil air memang ayah yang akan bayar. Barang-barang dapur juga aku belikan. Sabun dan barang kecantikan semua aku beli sendiri.

Dia pula selalu beli barang untuk kereta dan motornya. Aku diam. Aku tak kisah.

Apa yang aku kisah ialah kerja-kerja rumah. Aku terlalu banyak kerja yang perlu dibuat, tetapi dia sibuk dengan telefon atau tidur. Umpama macam paku. Bila diketuk baru dia masuk.

Contohnya aku suruh dia lipat baju sahaja. Selalu dia ungkapkan perkataan “Kejap”. Akhirnya aku juga yang melipat baju.

Aku suruh basuh bilik air, sama juga kalimat yang diucapnya. “Kejap”. 2 jam kemudian, aku juga yang basuh bilik air.

Bila aku mula buat apa yang disuruh tadi, barulah dia terkial-kial nak buat. Jujur, sampai aku naik suara. Makin lama, makin rasa tidak hormat aku padanya. Aku tahu. Berdosa seorang isteri menaikkan suaranya.

Aku sudah tidak ada budi bicara dengan dia. Bayangkan aku suruh dia basuh baju, sampai ke hari esok baju masih dalam mesin basuh.

Terus terdetik di hati, aku tidak mahu mempunyai anak dengan lelaki ini. Kerja semudah ini pun dia boleh lalai. Kalau sudah ada anak, aku rasa aku boleh jadi gila.

Sejak daripada itu, aku selalu naik angin. Apa sahaja yang dia lakukan semuanya tidak betul. Sebab memang tidak betul.

Dia nak goreng telur, guna periuk besar. Lepas goreng, terus ditinggalkan tanpa cuci. Bila ditegur, melenting. Aku sudah tawar hati.

Sejujurnya sudah lama aku tidak anggap dia sebagai suami. Aku tak boleh nak bayangkan masa hadapan kami. Tapi aku cuba lalui juga.

Walau kadang-kadang bila ada sesuatu yang terjadi, diam-diam aku menangis dalam bilik air. Diam-diam aku menangis sebelum tidur. Aku tidak ada tempat meluah perasaan.

Aku langsung tidak boleh berkomunikasi dengannya. Bila aku mula menyuarakan apa-apa isu, dia akan buat semuanya tentang dia. Dialah yang paling penat. Dialah yang paling tidak tahu buat segalanya.

Aku tidak boleh pun nak menceritakan apa yang aku hadapi kepada mak aku sendiri kerana dia lebih percaya dan sayangkan menantunya.

Depan orang, suami aku nampak rajin. Tapi semua kerja kena di suruh baru ada hati nak buat.

Minggu lepas, ayah menebang pokok belakang rumah. Dia sibuk dengan ‘game’.

Aku cakap, “Pergilah tolong abah. Aku nak masak.”

Cuba teka apa jawapannya? Ya. “Kejap.”

Aku tinggalkan kerja aku di dapur, aku tolong ayah tebang pokok. Berpanasan di bawah matahari.

Sudah siap kemas, barulah dia tunjuk mukanya. Buat-buat mahu tolong kemaskan sisa-sisa daun.  Aku yang berpenat tapi mak aku pelawa menantunya makan, anaknya dibiar kelaparan.

Aku sudah tawar hati. Mental aku sangat tidak stabil kebelakangan ini. Terutamanya bila mak asyik suruh mengandung. Aku tak nak tapi aku tidak sebutkan.

Aku tahu. Salah untuk menolak rezeki anak. Tapi aku takut tidak mampu jaga mental aku sendiri.

Aku tak nak anak aku yang jadi mangsa. Aku tidak ada kawan-kawan yang boleh dengar masalah aku. Mak aku sendiri pun aku tidak percaya untuk meluahkan segalanya.

Sebab aku tahu, dia akan salahkan aku juga akhirnya. Dia akan tuduh akulah punca. Dibesarkan oleh dia, aku kenal dia sepanjang umur aku. Jadi aku tahu apa reaksi dia.

Pernah saja dia halau aku keluar dari rumah hanya kerana aku bangun lewat pada hari cuti. Layanannya sangat lain terhadap kakak-kakak aku yang lain. Hanya aku. Sejak dari zaman sekolah rendah dilayan begini.

Jadi bila mak sendiri layan menantu melebihi dari aku, aku sudah tawar hati.

2 hari lepas, aku teringin nak melihat acara bunga api sempena hari Merdeka. Aku ajak suami aku, dia setuju. Tapi dengan syarat aku perlu ikut dia berjumpa mak mertua aku.

Aku sangat kekok bila berjumpa dengan mak mertua. Dia layan aku sangat dingin. Memandangkan suami aku ni anak lelaki yang paling dia sayangi.

Aku selalu memberi alasan untuk tidak berjumpa dengan mak mertua tapi kali ini aku setuju. Aku sangat teruja nak melihat bunga api.

Setelah berjumpa, mereka berborak sesama mereka. Seolah aku tidak ada disitu. Aku tidak mengeluh. Aku nak sangat tengok bunga api di tempat acara.

Kami bergerak menuju ke tempat acara bunga api tersebut. Seperti yang dijangkakan, jalan terlalu sesak. Daripada 2 laluan menjadi 3 laluan.

Kami mencari kawasan untuk meletak kereta. Aku memberitahu suami aku dengan nada yang normal, “Jangan duduk kiri, duduk sahaja di laluan tengah kerana nanti di hadapan semua kereta di laluan kiri kan ke tengah semula.”

Tiba-tiba dia menjadi bengis. Dia marah aku sebab mengganggu katanya. Aku terus terdiam.

Setelah beberapa minit mencari, aku fikirkan dia ingin patah balik. Rupanya dia terus memandu ke arah pulang. Tanpa memberitahu aku apa-apa. Dia putus asa untuk cari tempat letak kereta macam itu sahaja

Sepanjang 1 jam perjalanan balik, mencurah-curah air mata aku. Tetapi tidak ada sedikit pun bunyi tangisan yang keluar.

Aku berpura-pura main Monopoly GO sambil menahan dari menyedut hingus. Sampai sahaja di rumah, aku terus basuh baju-baju kotor. Sepanjang aku menjemur baju itulah aku menangis tanpa suara.

Tuhan sahaja yang tahu betapa sakitnya dada aku menahan suara dari terkeluar.

Jujur, aku mengharapkan setidaknya dia memujuk dengan berkata “Kita naik motor pergi ke sana semula.”

Namun, sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulut suami aku.

Keesokannya aku bangun dengan mata yang bengkak. Sangat bengkak sampai aku terpaksa menipu dekat mak. “Alergik makanan.”

Aku sudah tawar hati. Aku tekad. Ini bukan kali pertama aku memikirkannya tapi aku sudah tekad. Aku ingin bercerai. Aku sudah tidak tahan. Aku sudah tidak mampu. Seolah ada batu di dalam dada.

Berat sangat sehingga aku menangis lagi dan lagi bila terfikir soal ini. Aku sudah tidak boleh teruskan. Tetapi macam mana aku ingin memberitahu mak dengan ayah?

Mereka mesti dan pasti menyalahkan aku. Entah mungkin aku dihalau keluar rumah. Entah mungkin mak akan mengungkit macam-macam.

Suami aku, mesti tidak mahu. Mesti dia akan merayu dan kata akan berubah. Tapi ini bukan soal berubah atau tidak.

Bila aku cuba meluah, mereka semuanya menyuruh aku yang berubah. 

“Jangan panas baran. Cuba belajar untuk sabar.” 

Tapi mereka tidak pernah menyuruh suami aku yang berubah. “Cuba jangan buat isteri marah. Cuba jadi rajin”.

Tidak. Ini bukan soal berubah. Ini soal hati.

Aku sudah tawar hati. Tolong, apa prosedur untuk menuntut cerai khuluk (tebus talak)? Apa yang aku patut beritahu kepada mak dan ayah?

Apa yang aku perlu lakukan?

– Maria (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *