Assalamualaikum. Aku Miss Sunflower (mestilah bukan nama sebenar). Berbaki lagi beberapa bulan usia aku akan menginjak ke angka 30.
Aku belajar sampai degree di ipta, jauh aku merantau untuk menimba ilmu dulu. Aku juga kini seorang wanita bekerjaya. Sudah 5 tahun bekerja dalam bidang akaun di sebuah syarikat swasta yang besar.
Aku seorang anak yatim piatu dan merupakan anak bongsu. Ayah telah lama meninggal akibat serangan jantung, dan emakku yang tercinta baru sahaja meninggal 2 tahun lalu akibat paru-paru berair.
Adik beradik aku telah berkahwin dan memiliki kehidupan mereka sendiri.
Jadi, aku kerap pulang ke rumah pusaka untuk mengemas memandangkan rumah tu diberikan kepada aku.
Nasib baik jarak perjalanan hanya memakan masa 1 jam sahaja dari rumah sewa yang dekat dengan office aku ni ke rumah aku tu. Kereta yang aku guna sekarang juga adalah kereta yang ayah aku beli untuk emak dulu.
Kiranya hidupku agak senang. Ada aset rumah dan kereta yang masih elok, tapi aku tiada hutang. Adik beradik ku yang lain dapat juga bahagian mereka masing2.
Alhamdulillah dengan rezeki ini. Tapi bila makin menginjak usia ni, aku makin serius dalam mencari pasangan hidup. Aku dah penat untuk berdikari seorang diri. Aku sunyi.
Kawan2 aku yang lain ramai yang telah berkahwin. Ada je yang masih single macam aku, tapi masing2 sibuk dengan kerja dan kehidupan sendiri.
Aku pernah bercinta sebelum ni, tapi macam2 hal pulak yang terjadi. Mungkin Allah nak selamatkan aku dari tersalah memilih calon suami.
Aku pernah bercinta 11 tahun dengan kawan baik aku sendiri. Aku gelarkan dia sebagai Wan (bukan nama sebenar). Kami bercinta dari zaman sekolah. Lama.
Dia amat menghormati aku, tak pernah sekalipun dia ajak aku keluar dating ke mana2. Dia amat menjaga aku.
Memandangkan aku memang spesis suka duduk rumah dan hanya keluar dengan kaum keluarga sahaja.
Jadi, aku suka cara Wan melayan aku. Cukup tahun yang ke-11 tu, Wan ditangkap polis. Dia terjebak dengan dadah.
Aku sendiri tak tahu macam mana dia boleh tersalah pilih kawan. Jadi, kami terputus hubungan. Aku kecewa sangat. Tak tahu nak cakap macam mana masa tu. Remuk hati.
Selang beberapa tahun kemudian, Wan keluar dari penjara dan mencari aku semula, masa ni aku dah bekerja yang sekarang ni. Aku terima dia hanya sebagai kawan.
Wan mengajak aku kahwin. Aku yang masih single ketika itu, aku cuba untuk terima Wan semula.
Kami kembali bercinta dan merancang untuk melangsungkan pernikahan dengan syarat dia kena tinggalkan dunia lamanya. Dia berjanji akan tinggalkan benda terlarang itu dan tekad untuk kahwini aku.
Tapi, perasaan cinta ini hanya muncul sekejap sahaja. Rupanya Wan telah berkahwin dengan perempuan lain sebaik sahaja dia bebas. Wife dia janda anak 2.
Wan cuba pujuk aku untuk tetap kahwini dia. Katanya, dia cuba mencari aku tapi tak jumpa kerana aku sambung belajar jauh sangat dulu.
Aku ringkaskan cerita ya, aku undur diri dan aku block Wan. Aku juga minta maaf dengan wife dia.
Kalau aku tahu Wan tu suami orang, dari awal lagi aku tak akan terima dia walaupun hanya sebagai kawan.
Ketika aku di universiti, aku bercinta dengan Shah (bukan nama sebenar). 3 tahun kami bercinta, susah senang bersama di universiti dan di tempat orang.
Masa tu, memang tengah angau. Tapi pelajaran aku tak abaikan. Kami tetap belajar sama2 walaupun berbeza jurusan dan fakulti, dan keluar healing sama2 lepas habis exam.
Kami sangat rapat, kawan2 kami juga menyenangi kami. Shah sangat baik dengan aku.
Tapi, sebaik sahaja habis belajar. Aku pulang ke negeri kelahiranku, dan bermulalah kisah percintaan jarak jauh kami.
Semasa konvo, kami kenalkan keluarga kami masing2 dan kami plan untuk berkahwin. Tapi, langit tak selalunya cerah kan.
Masa pkp yang pertama dulu, Shah curang dengan aku. Bukan curang yang biasa2 ye. Tapi dia curang sampai masuk bilik dengan perempuan tu.
Perempuan tu ex dia masa zaman sekolah dulu, yang merupakan jiran dia. Work from home dulu sama2 duduk rumah, sambil sidai kain di ampaian, sambil intai jiran. Akhirnya mereka tertewas dengan nafsu mereka sendiri.
Shah sendiri buat pengakuan setelah aku desak dia untuk cerita hal sebenar. Kami sama2 menangis, tapi untuk apa dia menangis? Kawan2 baik dia sendiri juga yang bagi aku bukti gambar mereka dating dalam bilik.
Oh ya, perempuan tu non-muslim ya. Jenis pakai seksi dan kaki minum. Aku memang terkejut. Aku kecewa sangat.
Hari yang aku tahu tu, hari tu juga kami putus. Kawan2 dia kata Shah dah banyak berubah. Dia jadi kaki minum. Lain terus Shah kini berbanding dulu masa Shah dengan aku.
Kawan2 Shah baik dengan aku, sebab tu mereka tak sampai hati tengok Shah curang di belakang aku sampai tahap macam tu.
Sampai sekarang Shah masih lagi hanyut dengan dunia baru dia tu.
Aku ringkaskan lagi, selang beberapa tahun kemudian, aku berkenalan dengan seorang anggota badan beruniform, Naz (bukan nama sebenar).
Aku dengan Naz ni tak banyak kenangan sangat sebab kami masing2 sibuk dengan kerjaya dan jadual seharian kami. Aku berkawan dengan Naz selama 2 tahun.
Dia ni okay pada awalnya, kemudian makin lama dia makin panas baran. Pantang ada masalah di office mesti dia akan marah aku.
Ada satu tahap tu, dia tengking dan hina aku. Padahal aku tak buat apa2 salah pun. Sekadar tanya dah makan ke belum takkan itu pun salah? Sebab selalunya aku akan masakkan dia makanan waktu aku cuti.
Waktu mood dia tengah baik, dia memang tunjuk yang dia sangat sayangkan aku. Puji aku, baik sangat dengan aku, dia bagi aku duit untuk beli barang keperluan, ajak aku keluar makan dan sebagainya.
Waktu mood dia tak baik, dimakinya aku. Dia layan aku ikut mood dia sahaja. Aku sering tertanya-tanya sampai bila aku nak tahan rasa sedih ni.
Aku tekad nak ajak Naz berbincang mengenai hubungan kami.
Tapi dia terlebih dahulu yang buat keputusan untuk berpisah dengan alasan dia terlalu banyak masalah di tempat kerjanya dan sangat kasihan dengan aku yang selalu menjadi tempat luahan amarah dia.
Dia tengking aku tiba-tiba sedangkan aku ajak dia berbincang elok2. Nada percakapan aku masa tu lembut sahaja.
Tak lama kemudian aku dapat tahu yang dia memang ada banyak masalah di tempat kerjaya. Masalah semua sama je, gaduh.
Aku tahu dari kawan office dia juga. Banyak kes dia, banyak masalah dia. Puncanya mungkin sebab dia ni jenis seorang yang panas baran.
Aku juga dapat tahu yang Naz ni kaki perempuan. Patutlah sentiasa sibuk je kalau dengan aku. Sedih betul aku masa dapat tahu tu, tapi aku rasa terselamat dari tersalah kahwin pun ya jugak. Kalau tak, entah sampai hari ni aku makan hati asyik kena maki.
Nak dijadikan cerita, sepanjang aku berkawan dengan Naz, aku kerap sangat mimpi ular hitam. Kejar aku. Patuk aku. Aku takut dan terkejut sampai aku terjaga dari tidur. Tahu tahu je dah azan subuh.
Aku pernah mimpi seorang perempuan yang cantik tiba2 bertukar menjadi hantu dan rasuk Naz yang berdiri di sebelah aku.
Masa dalam mimpi tu aku berlari sebab takut sangat. Bila aku toleh ke belakang, aku nampak wajah Naz pucat sangat dan tengah senyum kat aku.
Dan di sebelah Naz, ada perempuan muka seram tu lagi. Aku sambung lari ketakutan sampai aku tersedar dari mimpi aku. Tahu2 je azan subuh masa tu. Cepat2 aku bangun solat.
Beberapa bulan kemudian aku dapat tahu yang Naz berkahwin dengan seorang janda anak 1. Wajah wife Naz tu lah wajah ngeri yang aku mimpi malam tu.
Allahuakbar. Sungguh sama betul wajah tu. Aku masih ingat jelas mimpi tu dengan wajah wife dia.
Apalah maksud mimpi aku selama ni ya? Mungkin Allah nak bagi aku petunjuk kot?
Start dari tu, aku buat keputusan untuk move on dan fokus dengan kerjaya sampai aku berjaya dinaikkan pangkat.
Masa ni mak aku telah meninggal dunia. Aku jadi bertambah sedih.
Setahun kemudian, aku di kenalkan oleh sepupu ku dengan seorang lelaki, Iz (bukan nama sebenar). Tak lama kami berkawan, hanya 4 bulan sahaja.
Iz ni anak yatim piatu sama macam aku juga. Dia bijak dalam pelajaran, belajar sampai ke luar negara dan punya kerjaya yang hebat di ibu kota. Dia baik, soft spoken, tak lewat solat dan tiap2 hari mengaji.
Bagi aku, dia ni calon suami terbaik. Boleh bimbing dan jaga aku. Lagipun kami sama2 anak yatim piatu kan, so rasanya lebih mudah urusan kami untuk merancang hala tuju kami.
Lama-kelamaan apa yang aku boleh nampak, dia macam tak sekufu dengan aku. Maksud aku dari segi cara berfikir dan cara bertindak.
Salah satunya, dia yakin bahawa bumi ni sebenarnya bentuk flat. Malah, dia sangat mengagungkan orang yang berani bersuara dalam hal agama walaupun tak tahu dari mana orang tu petik dari hadis.
Aku selalu tegur dia, hati-hati dalam berkawan. Tapi dia tetap dengan fahaman dia.
Aku selalu dengar ceramah online ustaz Wadi dan ustaz Azhar, mereka lebih arif dalam memberi hujah perihal agama. Kenapa dia tak nak dengar ceramah mereka?
Tak faham betul aku. Kadang-kadang tengah on call, aku terdengar dia bercakap sorang-sorang. Scary weh.
Dia selalu cerita yang dia ada masalah hutang. Almaklumlah, kerja hebat dan gaji tinggi. Selera pun kena lah tinggi. Tapi dia selalu lari dari masalah hutang dia.
Pokok pangkalnya dia memang seorang yang suka lari dari masalah. Asal ada masalah sikit, dia plan nak tukar kerja, pindah duduk negeri lain, tukar nombor telefon dan sebagainya.
Akhirnya dia sendiri yang diam menyepi dari aku sebab tengah down fikirkan masalah katanya. Aku penat dengan drama semua ni. Kenapa ya banyak sangat drama? Macam drama dalam tv, tapi betul-betul jadi kat aku.
Nak kata aku tak ada rupa, ramai sahaja yang cuba mendekati aku cuma aku je yang tak sudi melayan. Sebab aku seorang yang setia pada yang satu.
Aku tak pandai nak berkenalan ramai lelaki dalam satu masa. Kalau ikutkan ego dan penat aku, aku tak nak dah kenal mana2 lelaki lagi dah. Aku penat.
Tapi aku sangat sunyi dan taknak dah hidup berdikari seorang diri. Aku teringin sangat nak ada keluarga sendiri, ada anak.
Keluarga aku sangat rapat dengan aku, aku juga ada kawan2 baik yang selalu ada dengan aku, tapi fitrah kita sebagai manusia buatkan kita rasa nak ada pasangan juga.
Aku dah cuba yang terbaik, tapi disia-siakan. Malah, aku pulak yang sakit kepala fikirkan masalah mereka dulu. Kadang2 pengalaman bercinta aku ni buatkan aku rasa takut nak kahwin.
Tapi aku dah tak boleh nak hidup sorang2 lagi.
Aku tahu Allah nak suruh aku bersabar dan aku tahu Allah dah sediakan seseorang yang boleh menjaga aku sampai syurga Nya nanti. Bila, dengan siapa, bagaimana kisahnya pula nanti aku pun tak tahu.
Korang tolong doakan aku ya..
– Miss Sunflower (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit