Nukilan Seorang Mak Mentua

Assalamualaikum semua. Saya, Asmah (bukan nama sebenar) merupakan seorang ibu kepada 6 anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Bermakna, saya mempunyai 6 menantu perempuan dan baru setahun setengah menerima kehadiran seorang menantu lelaki.

Anak perempuan saya, Ani (bukan nama sebenar) seorang yang tak bercerita tentang kehidupannya selepas berumah tangga sehinggalah baru-baru ini Ani datang bercerita pelbagai perkara kepada saya sehingga menangis teresak esak.

Allah, sudah lama anakku Ani memendam rasa hanya kerana ingin menjaga nama baik suami dan keluarga mertua.

Saya tergerak menulis nukilan ini untuk memberi kesedaran kepada para mak mertua tentang perkara yang tidak sepatutnya kita lakukan.

Yang pertama, menantu kita adalah tetamu kita. Jadi tak perlulah kita menyuruh menantu kita membuat kerja-kerja rumah yang sepatutnya dilakukan anak-anak kita.

Sudah lebih 10 tahun saya mempunyai menantu perempuan dah tidak pernah sesekali pun saya meminta mereka memasak, mengemas rumah dan sebagainya. Mengapa perlu kita suruh menantu sedangkan anak kita ada?

Menantu kita dah cukup penat buat kerja bila mereka pulang ke rumah mak ayah mereka. Jadi biarlah mereka berehat bila mereka pulang ke rumah kita.

Dari kecil anak-anak saya dididik untuk membuat kerja rumah dan membantu di dapur tak kira lelaki atau perempuan.

Lain pula dengan Ani. Ani diminta duduk bersama keluarga mertua selepas bernikah atas sebab ayah mertuanya yang sakit.

Dari hari pertama bergelar isteri, Ani mengambil alih semua kerja rumah di rumah mertuanya sedangkan Ani juga bekerja.

Suami Ani, Amir (bukan nama sebenar) mempunyai 5 adik beradik di mana hanya dia seorang sahaja yang bekerja. Adik beradiknya yang lain terdiri daripada seorang kakak, dua orang abang dan seorang adik lelaki.

Masing-masing sudah berumur 27 hingga 35 tahun tetapi kesemuanya menganggur di rumah. Siang tidur, malam berjaga melepak dan bermain game. Tiada seorang pun yang membantu Ani menguruskan rumah dan memasak.

Sedih rasanya anak yang saya besarkan dengan baik diperlakukan sedemikian sedangkan saya melayan menantu perempuan saya dengan baik dan amat menyayangi mereka.

Yang kedua, tidak pernah sesekali saya meminta wang dari anak-anak saya terutamanya anak lelaki kerana selepas bernikah, anak dan isteri mereka menjadi keutamaan dari sudut nafkah.

Kerap dilihat orang sekeliling saya tanpa segan silu meminta duit, meminta sponsor untuk beli perabot, dan meminjam duit daripada anak lelaki.

Puan-puan yang lama bekerja/berpencen pun tidak cukup duit, apa yang buat puan-puan fikir anak lelaki puan-puan yang baru memulakan kehidupan tu ada duit?

Anak-anak saya akan sentiasa memberi duit kepada saya tanpa sekali pun saya minta tapi ada waktunya anak lelaki saya tidak memberi duit. Kadang-kadang hanya sebulan.

Kadang-kadang berbulan bulan tapi tidak pernah saya kisah. Jika dia tidak bagi itu, fahamlah saya bahawa perbelanjaan untuk anak dan isterinya banyak untuk bulan-bulan tersebut.

Berbeza dengan Ani, gajinya lebih besar dari Amir. Jadi Ani banyak membantu Amir dari segi kewangan. Barang anak, susu, pampers, pengasuh, ubat-ubatan semuanya Ani bayar separuh.

Belum lagi jika baju anak sudah tak muat, Ani lah yang beli baju baru. Atau apabila botol anak sudah tidak elok, Ani juga beli yang baru.

Barang-barang Ani yang sepatutnya menjadi tanggungjawab Amir juga Ani beli sendiri. Ubat-ubatan, tuala wanita, baju, makanan. Barang raya Ani dan anak juga Ani yang belikan. Setiap hari Amir hanya bagi duit untuk makan malam.

Pada mulanya Ani redha membantu suami. Tapi bila Ani dapat tau mak mertuanya kerap meminta duit Amir, sedikit demi sedikit Ani jadi tawar hati.

Mana tidaknya, niat dia membantu Amir dari segi kewangan sebab kesiankan Amir yang bergaji kecil. Rupanya Amir yang menyusahkan diri sendiri.

Baru-baru ini mak mertuanya meminta Amir sponsor RM 1000 untuk membeli tv dan carpet baru. Malu katanya tengok semua sedara mara dan tukar tv canggih.

Amir dengan mudahnya meminjamkan RM 1000 kepada maknya sedangkan perbelanjaan raya Ani dan anak langsung tak diberi.

Entah diganti atau tak duit itu saya tidak tau. Tiada langsung niat untuk mengutuk keluarga besan. Tetapi terlalu sakit hati ini bila anak kita diperlakukan seperti itu.

Yang ketiga, kita kena hormat privacy anak dan menantu kita. Bila anak kita dan berkahwin, janganlah kita sesuka hati keluar masuk bilik anak kita. Kita pernah berkahwin dan kita pun tahu ada banyak benda yang tak sepatutnya dilihat orang lain.

Walaupun anak menantu kita tinggal di rumah kita, kita tiada hak nak masuk bilik mereka walaupun itu rumah kita. Perkara ini bukan saya yang cakap puan-puan tapi agama kita yang cakap.

Orang yang beragama akan hormat anak menantu mereka. Selain jangan masuk ke bilik, kita juga tak sepatutnya bagi sanak saudara kita bermalam di bilik anak menantu kita (bila ketiadaan mereka) tanpa izin mereka.

Di rumah mertua Ani, mereka langsung tidak hormat privacy Ani dan suami. Mereka masuk ke bilik sesuka hati.

Banyak kali jugak keluarga mertua Ani yang perempuan ternampak Ani berpakaian dalam, bermesra dengan Amir ataupun sedang menukar pakaian.

Sudah beberapa kali juga makcik pakcik Amir bermalam di bilik tersebut semasa ketiadaan mereka sedangkan bilik tersebut penuh dengan pakaian malam, barang-barang perancang kehamilan dan macam-macam lagi.

Perkara ini sepatutnya semua orang sudah tahu. Tak perlu rasanya saya ingatkan. Saya agak terkejut masih ada yang tidak cakna mengenai perkara ini. Mungkin kurang pendedahan kepada agama.

Yang keempat, jangan sesekali kita paksa anak menantu kita jaga cucu ikut cara kita. Setiap menantu perempuan saya lain-lain cara menjaga anak mereka dan saya tak kisah asalkan cara tu tak memudaratkan.

Zaman sekarang dan berbeza puan-puan. Banyak penemuan baru dalam bidang perubatan. Kita tak boleh buat perkara yang sama macam kita buat kepada anak-anak kita dulu.

Biarlah mak ayahnya yang jaga. Pandai pandailah mereka. Tak perlu kita nak sibuk. Kita cuma nenek. Anak menantu kita yang susah dari mula hamil hingga melahirkan. Jadi biarlah mereka pilih yang terbaik untuk anak mereka.

Mak mertua Ani banyak kali cuba menyuap cucu saya air zam zam, madu, anggur, oren dan banyak lagi tapi alhamdulillah sempat dihalang. Ya Allah lindungilah cucuku.

Belum lagi ditariknya kaki tangan cucu saya untuk paksa bayi itu cepat bergerak. Kesiannya buah hati opah.

Yang kelima, janganlah kita sibuk tentang kehidupan anak menantu kita. Nak berjalan ke mana, nak beli apa, nak enjoy sana sini biarlah itu duit mereka. Kita tiada hak keatas duit mereka.

Setiap kali Ani ada beg tangan baru dan barang kemas baru, mak mertuanya selalu mempersoalkan perkara tersebut sedangkan kesemua barang tersebut termasuk kos percutian mereka suami isteri dibayar Ani.

Ada beberapa kali juga saya baca di status whatsapp ibu Amir yang memerli seseorang yang sakan berbelanja katanya.

Pada masa itu saya tidak ambil tahu kerana saya masih belum tahu akan hal ini. Siapa kita nak tetapkan apa anak menantu kita beli kalaupun itu duit anak kita. Itu punca rezeki mereka.

Yang keenam, jangan lah kita bersangka buruk kepada anak menantu kita. Ingat satu perkara je puan-puan, kita tak akan pernah tahu apa yang terjadi dalam hubungan mereka.

Kita tak tahu komitmen mereka, kita tak tahu perbelanjaan mereka, kita tak tahu masalah yang mereka tanggung, kita tak tahu macam-macam.

Jadi jangan senang-senang menghukum atau berfikir buruk. Ada satu cerita yang ingin saya kongsikan tentang menantu ketiga saya, Hafizah (bukan nama sebenar).

Dari awal perkahwinan setiap kali saya datang kerumahnya atau dia datang ke rumah saya, dia lebih banyak duduk di bilik.

Tapi tak pernah sesekali pun saya persoalkan atau rasa tak suka akan situasi itu. Saya anggap itu memang sifat dia. Asalkan dia dapat bahagiakan anak saya, itu sudah cukup.

Sampailah tahun ketiga perkahwinan mereka, Hafizah datang berjumpa saya meminta maaf kerana selama ini dia banyak duduk di dalam bilik. Rupanya sudah lebih 5 tahun Hafizah menghidap sakit kemurungan.

Jadi Hafizah lebih selesa bersendiri semasa dia tidak sihat. Alhamdulillah sekarang Hafizah dah nampak lebih ceria.

Puan-puan nampak tak banyak benda yang kita tak tahu? Hafizah memilih untuk bercerita kepada saya tapi mungkin berbeza dengan menantu puan-puan. Mungkin ada yang tidak selesa bercerita.

Jadi tugas kitalah untuk sentiasa berfikir positif. Setiap kali kita nak judge anak menantu kita, ingatlah bahawa kita ni orang luar yang tidak tahu apa-apa dalam perkahwinan anak menantu kita.

Yang terakhir, janganlah kita bercerita perihal anak menantu kita kepada sanak saudara, jiran-jiran, adik beradik dan seangkatan dengannya.

Sedangkan perihal anak sendiri pun tak perlu diceritakan apakan lagi perihal menantu. Bila kita bercerita perihal anak menantu kita kepada orang lain, kita sebenarnya menunjukkan peribadi kita sendiri yang buruk.

Perkahwinan mereka sepatutnya menjadi urusan mereka berdua sahaja. Tak perlu campur tangan kita atau sanak saudara kita.

Akhir kata, saya sendiri pun tidak sempurna sebagai seorang mak atau mak mertua. Tapi saya jadikan pengalaman hidup saya sebagai panduan untuk menambah baik diri saya.

Jika kita tak suka mak mertua kita lakukan perkara tersebut kepada kita dulu, kenapa kita buat kepada menantu kita?

Saya tak kata saya mak mertua yang sempurna. Tapi alhamdulillah menantu semua sangat mesra dengan saya. Mereka rasa selesa bercerita pelbagai benda, meminta pendapat, mengajak saya ikut bercuti dan macam-macam lagi.

Layanan baik menantu tu tak perlu diminta. Jika mereka dilayan dengan baik, mereka sendiri akan sayang kita seperti mak mereka sendiri. Jika kita tak menghormati mereka, mereka juga tidak akan mesra dengan kita.

Buat anak dan menantu mak, mungkin jika kamu baca nukilan ini, kamu dapat agak bahawa nukilan ini tentang kamu semua.

Ketahuilah bahawa mak masih lagi berusaha untuk jadi yang terbaik. Mohon maaf atas segala kesilapan yang mak pernah buat sama ada secara sedar atau tak sedar.

Buat para mak mertua di luar sana, berubahlah. Ada sebab Allah swt gerakkan hati kamu untuk membaca nukilan ini. Mungkin ajakan untuk berubah. Semoga segala urusan kita dipermudahkan Allah swt.

– Puan Asmah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

4 Comments

  1. Hidup ni mudah je. Apa yg kita tak suka orang lain buat pada kita maka perkara itu juga yg kita tak boleh lakukan pada orang lain. Tambahan pula kita ada kepercayaan beragama. Patuhi hukum agama dengan berpandukan kepada al quran dan hadis Rasulullah saw
    Yg penting kita kena ingat jika kita kecewakan perasaan orang lain maka harap jangan marah bila orang lain kecewakan perasaan kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *