Assalamualaikum dan selamat hari raya guys, nama aku Irfan umur 26 tahun seorang student di dalam bidang STEM yang sedang dalam sesi latihan industri.
Mesti korang pelik kenapa umur dah 26 baru intern sebab apa2 course pun paling lama tempoh pengajian dia 4 tahun. Takkanlah sampai 8 tahun aku extend kan?
Sebenarnya sebab aku sambung belajar lambat. Umur dah 23 tahun baru amik diploma. Sebelum ni aku buat apa? Sebelum ni aku pernah ada bisnes makanan sendiri. Aku bermula berniaga makanan masa awal2 habis sekolah pada awal tahun 2016 sehingga awal tahun 2020.
Bermula dengan berniaga burger crispy kemudian buka cafeteria di kwsp dan tak lama lepas tu buka sebuah restoran di kampung halaman aku di sungai buloh.
Aku berhenti berniaga disebabkan oleh tak boleh survive masa covid dan untuk pengetahuan korang, sebelum PKP lagi bisnes aku dah teruk disebabkan oleh sales yang tak stabil dan itu menyebabkan beberapa masalah antaranya pekerja yang tak pernah tahan lama.
Walaupun begitu, aku masih lagi gigih mencari duit di mana2 untuk membayar gaji pekerja. Dan terus terang aku katakan, sebelum PKP tu ada dalam 3 bulan aku berniaga tak ada untung.
Selepas PKP, aku bagitau parents aku yang aku dah tak boleh niaga sebab dah tak ada modal. Iyalah, sampai 2 bulan tutup nak korek modal celah mana, kan?
Ayah jual barang-barang niaga aku dan kedai aku sekali pada kawan dia dan selepas itu lah aku buat keputusan untuk sambung belajar.
Sebab aku fikir kalau sambung belajar sekurang-kurangnya gaji aku ok sikit dari gaji orang yang ada spm sahaja dan kalau aku rasa nak buat bisnes pun at least nanti aku dah ada kemahiran dan ilmu lain.
Pada asalnya aku merancang untuk belajar sambil buat e-hailing secara part time, tapi malangnya aku gagal ujian PSV sebanyak dua kali dan sebelum dapat repeat ujian tu kita dah kena lockdown balik dan mestilah benda bukan essential macam driving school tu kena tutup.
Akhirnya, aku dapat sambung belajar je.
Baiklah, yang panjang lebar atas tu adalah serba sedikit latar belakang tentang bagaimana aku memulakan bisnes, berhenti bisnes, dan bagaimana aku terfikir untuk sambung belajar.
Aku tulis panjang benda ni sebab ianya ada kena-mengena secara langsung ataupun mungkin korang rasa tak dengan apa yang aku ingin luahkan ini.
Cerita dia bermula sejak awal tahun lepas lagi. Masa tu aku ada memohon beberapa jawatan di SPA yang mana kebanyakannya badan beruniform seperti imigresen, penjara, dan maritim.
Rancangan aku adalah, kalau dapat mana-mana jawatan yang aku mohon nanti aku akan postpone semester dan menyambung pengajian secara part time.
Kemudian tiba-tiba kakak aku datang dan memberitahu aku susah nak lepas ujian online SPA sebab kononnya budak-budak zaman sekarang ni ramai yang pandai-pandai kemudian dia cakap lagi yang pekerja kerajaan ni ramai yang toksik.
Aku tak tahulah dia cakap macam tu ada maksud apa ataupun dia hanya cakap tanpa fikir apa-apa tapi aku agak berkecil hatilah,
Sebab aku nak kerja ni sebab nak cari rezeki bagi mengurangkan beban ibu bapa macam yang aku ikrarkan masa tingkatan 4 dulu tapi dia pulak cakap macam tu seolah-olah hendak menakutkan aku.
Tak lama lepas tu, puasa dan lepas tu pula raya. Pada hari raya aku menjemput kawan baik aku untuk datang makan-makan di rumah. Btw, kawan baik aku ni seorang perempuan dan of course la aku crush dengan dia… Hehe.
Aku tak ingat dengan jelas aku bertanya apa pada dia pada ketika itu, tapi ada kena mengena dengan what’s app. Dia kata dia block budak2 tempat kerja dia di what’s app sebab budak-budak tempat kerja dia ramai yang toksik.
Kemudian dia pun nasihatkan aku agar dah kerja nanti jangan baik sangat dengan semua orang. Kemudian aku pun rasa tak puas hatilah sebab aku bukan budak lagi kau nak cakap macam tu seolah-olah aku tak tahu apa-apa tentang dunia luar dari rumah aku ni. Aku dah sebaya kau kot.
Tak lama selepas itu kawan-kawan sebaya kerap menasihati aku tentang dunia pekerjaan walaupun aku tak minta. Kadang-kadang tu bincang pasal benda lain, tapi tiba-tiba dorang nak cakap pasal kerja.
Pada asalnya aku diam je, tapi aku jadi annoyed baru-baru ni masa raya pertama hari tu. Kawan-kawan aku datang beraya di rumah aku sambil tu berborak la dengan ibu aku dan meluahkan rasa tidak puas hati dengan tempat kerja masing-masing.
Kemudian, tiba-tiba ibu bagitahu kawan-kawan aku yang lepas ni aku pun akan rasa perangai orang-orang toksik di tempat kerja. Kemudian kawan-kawan aku pun cakap lepas tiga bulan aku akan rasa sakit bekerja.
Aku punyalah marah masa tu sampai mata aku berair. Sebab marah tapi tak boleh nak luahkan rasa marah tu. Tak tahulah kalau-kalau dorang perasan.
Baiklah, mungkin korang akan rasa seolah-olah aku seorang yang degil, ego atau lebih teruk lagi seorang yang narsisistik sebab tak boleh dengar teguran, nasihat atau cakap orang lain. Tapi aku tak kisah sebab pada aku kedegilan dan keegoan aku bertempat.
Aku baru sahaja ingin masuk alam pekerjaan yang mana sepatutnya aku masuk lama dulu dah. Seawal 18 tahun dan selewatnya 21 tahun. Kemudian dorang bagitahu benda-benda sial macam ni membuatkan aku rasa anxious nak ke tempat intern.
Jujur cakaplah sebenarnya aku tak pernah suka pun berniaga makanan. Aku bertahan selama 4 tahun pun adalah disebabkan oleh paksaan dari ibu dan ayah aku.
Ya, aku memang dikongkong oleh mereka.
Sepanjang 4 tahun berniaga makanan tu, hari-hari aku mengidam nak kerja biasa. Tak kiralah jadi office boy, kilang, masuk badan beruniform atau sebagainya. Sebab kerja dengan orang ni pendapatan lebih stabil dan banyak kemudahan seperti cuti sakit, insurans, cuti tahunan dan sebagainya.
Berniaga ni susah, hanya orang yang berniaga sahaja yang tahu betapa susahnya berniaga ni. Kau tak dapat kemudahan-kemudahan macam kau kerja makan gaji. Malah kau yang kena sediakan semua kemudahan tu sendiri.
Kadang-kadang tu masa demam pun aku kena buka kedai macam biasa. Sampai ke satu hari tu aku tiba-tiba rasa nak pitam. Bila pergi jumpa doktor keesokkan harinya doktor kata darah aku naik sampai 150. Masa tu umur baru 21 tahun.
Boleh tak kau bayangkan umur 21 tahun lagi dah ada darah tinggi? Memang la aku ada pilihan untuk tak buka kedai masa demam, tapi bila memikirkan komitmen sewa, gaji pekerja, dan bil utiliti membuatkan aku tekad untuk buka je kedai walau dalam keadaan macam tu.
Aku memang dah lama nak berhenti berniaga, tapi penghalangnya adalah mak bapak sendiri. Aku selalu mengadu pada mereka yang aku tak suka berniaga dan lagi prefer kerja biasa dan nyatakan sebab kenapa aku rasa berniaga ni susah. Tapi dorang tak pernah nak dengar.
Yang aku paling sakit hati adalah satu hari tu masa umur aku 20 tahun mak aku kata aku ni seorang yang berperwatakan unik sampaikan tak semua orang faham dan sesuai dengan aku.
Kau tahu tak apa yang aku rasa bila dia cakap macam tu? Aku rasa macam budak cacat mental atau lebih tepat lagi budak autism la.
Sampai sekarang aku tak faham apa yang membuatkan dorang insecure sangat sampaikan tak berani nak lepaskan aku untuk membuat keputusan sendiri.
Walau bagaimanapun, cikgu joe iaitu coach memanah aku je yang faham apa yang aku nak. Malah dia lebih faham daripada mak bapak aku sendiri.
Dulu aku selalu tolong dia jagakan booth memanah dia bila ada event. Satu hari tu lepas satu event kat satu sekolah, aku melepak berdua dengan dia kat mamak dan aku adalah luahkan tentang perkara ni pada dia dan dia cakap aku ni sama sahaja macam orang lain.
Boleh je kerja dengan orang sebenarnya cuma mak bapak aku je yang kena percayakan aku.
Kau bayangkanlah, mak bapak aku ni benda se-simple nak bawak motor ke mana-mana pun dorang susah sangat nak lepaskan inikan pulak nak lepaskan aku untuk cari kerja. Memang dah bergaduh sampai tinggi-tinggi suara pun dorang belum tentu lagi boleh consider.
Sejujurnya, impian aku sejak sekolah menengah lagi adalah untuk hidup berdikari dan berhenti menyusahkan mak bapak sendiri. Jauh dalam kepala otak aku, aku sedar tentang peranan dan tanggungjawab aku sebagai anak lelaki sejak umur 13 tahun lagi.
Mungkin korang rasa aku poyo bila cakaap yang aku sedar pasal tanggungjawab seawal usia remaja lagi. Tapi korang kena faham yang kita ni dipengaruhi oleh keadaan persekitaran tempat kita membesar. Dan terus terang aku katakan aku membesar di sekeliling manusia-manusia yang tak guna.
Bapak-bapak saudara serta abang-abang saudara aku semuanya jenis yang muda, sihat, dan tegap tapi malas kerja dan ditanggung oleh mak bapak yang makin hari makin tua dan tak sepatutnya bekerja lagi.
Pokok pangkal dia sekarang ni, aku tak puas hati dengan kawan-kawan sebab dilihat cuba untuk mengajar aku tentang realiti alam pekerjaan seolah-olah aku baru hendak keluar dan melihat dunia.
Hakikatnya, masa mereka sambung belajar dan seronok-seronok tinggal di asrama aku sedang gigih berniaga mencari duit sendiri.
Malah aku yakin pengalaman aku menguruskan bisnes sendiri selama empat tahun boleh menjadikan aku seorang pekerja yangg baik. Sebab sebetulnya aku jenis yang punctual.
Disebabkan dah terbiasa masa berniaga dulu semua benda kena buat awal macam buka kedai awal, standby barang niaga awal dan sebagainya.
Pada aku dorang ni sebenarnya jenis yang pandai cakap sahaja. Tapi disiplin kelaut. Attendance di tempat kerja tak dijaga sebab tu lah tak berani tukar kerja walau tak tahan dengan tempat kerja sekarang.
Kalau kau nak cakap, berniaga ni tak sama macam kerja, sangat tak tepatlah. Sebab semua benda ada cabaran dia sendiri.
Kau kat office setakat kena maki dengan dengan bos seorang sahaje. Aku di kedai di maki oleh pelanggan setiap hari. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja benda yang orang nak komplen pasal aku.
Dan aku nampak komen mereka langsung tak consider pasal pengalaman aku berniaga selama 4 tahun.
Dan mak bapak aku pulak, aku kecewa sebab daripada dulu lagi tak pernah bagi aku peluang untuk buat keputusan sendiri. Sedangkan aku anak lelaki dan sepatutnya aku lah yang dilepaskan keluar tapi kakak aku pula yang dapat hak itu.
Dalam bahasa kasarnya mak bapak aku nak ajak aku jadi pondan. Sedangkan segala keputusan yang aku nak ambil itu adalah untuk membantu mereka juga tapi mereka yang merelakan diri mereka disusahkan oleh aku.
Kesannya macam apa yang kau lihat sekarang. Aku masih lagi membebani mereka walaupun usia hendak mencapai 30an. Dan sejujurnya aku kesal dengan keadaan diri aku sekarang ni.
Sebenarnya ada banyak lagi perkara hendak diluahkan di sini, tapi aku dah mengantuk dan perlu tidur. In shaa Allah, aku akan tulis lagi luahan hati aku disini bila dah free nanti.
Aku tak kisah pun kalau tidak ada yang respond pos aku sebab aku sekadar ingin meluahkan beban di hati tapi aku ni jenis yang susah nak percayakan orang untuk berkongsi kisah peribadi.
Ada seorang sahaja yang aku percaya untuk meluahkan isi hati iaitu kawan ibu yang juga seorang kaunselor tapi malangnya dia tu minggu depan baru naik office dan aku pulak minggu depan dah start kerja. Jadi tak ada masa nak jumpa dia.
By the way, aku dah lama sifatkan diri sendiri sebagai harimau tanpa taring disebabkan oleh secara alaminya harimau menggunakan taring mereka untuk membunuh mangsa untuk dimakan.
Senang cerita taring tu macam pisau sembelih untuk manusia. Tanpa taring harimau tidak mampu mencari makan samalah macam manusia tanpa pisau tidak mampu untuk menyediakan makanan.
Agak kelakar kerana aku sudah dewasa, berbadan tegap lagi sihat, mempunyai akal yang cerdas tapi tak mampu membuat keputusan sendiri. Aku seolah-olah boneka kepada ibu bapa yang disimpan dan digerakkan mengikut kepala mereka.
“Taring” aku telah dirampas sedari kecil lagi dan barulah kini ianya dipulangkan kembali disaat yang lain sudah lama berburu dari muda aku pula setelah matang baru mula berburu.
– Harimau Tanpa Taring (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit