Seribu kemaafan di atas kelewatan aku untuk meneruskan cerita ini. Aku baca semua komen komen berkenaan dengan cerita aku yang sungguh anti-climax ini. Harap maafkan aku.
Aku ada juga mengambil nasihat kawan kawan untuk tidurkan anak sebelum memulakan luahan, hehe terima kasih atas cadangan.
Boleh baca part I di sini, (https://iiumc.com/rahsia-abah/).
Bagi sesiapa yang betul betul ingin mengikuti rahsia Abah ni, aku telah mendapatkan beberapa kesahihan daripada abang kakak ku mengenai plot yang akan ku cerita kan hari ini.
Maaf juga andai kata cerita ku ini “below expectaton” tapi ada pengajaran dan pedoman yang aku akan cuba selitkan nanti.
Seperti posting terdahulu, aku ada menyatakan bahawa keluarga Abah merupakan keluarga yang ada ada.
Adik beradik Atok juga merupakan orang orang berjaya di mana sekitar tahun 1930-1940 kebanyakan dari anak anak mereka dihantar ke luar negara untuk menguasai ilmu perubatan, undang undang dah sebagainya.
Atok merupakan orang terkaya di kawasan beliau dan mempunyai beratus ekar tanah tanah, untuk pertanian dan komersial, bahkan ada kawasan yang telah dibeli oleh pengurusan lebuhraya berjumlah jutaan ringgit.
Semasa kecil, apabila Abah bercerita mengenai bekas bekas kawasan tanah yang pernah Arwah Atok miliki, aku bertanya kepada Ayah, kenapa kita tidak ada langsung tanah pemberian Atok.
Ayah hanya beritahu, tanah tanah estate milik Atok semua diberikan kepada orang luar. Atas alasan, memudahkan urusan kematian, supaya tidak sangkut urusan kematian akibat pergaduhan waris waris si mati berebutkan harta dan tanah.
Aku mengambil bulat bulat jawapan Ayah. Ada benarnya juga.
Semakin aku dewasa, semakin aku sedar. Mustahil tiada langsung harta peninggalan Atok diwarisi oleh anak anak nya yang berbelas orang ini.
Benar sangkaanku. Disini aku ceritakan yang Atok telah meninggalkan Ayah ketika Ayah usianya masih remaja.
Disebab kan beliau anak bongsu daripada beberapa orang abang kakaknya (age gap agak jauh), abang dan kakaknya telah mengambil pendekatan untuk berbincang sesama mereka, untuk mencari cara bagaimana untuk menyelesaikan urusan harta Atok.
Ayahku pula, remaja. Polos. Tidak tahu menahu dan diberitahu. Mereka telah menjual segala aset aset dan untung dibahagikan antara mereka.
Aku tidak tahu berapa lemah sistem faraid atau pun rekod simpanan segala dokumen harta dahulu, tapi dengan senangnya mereka mengeksploitasi harta harta Atok tu, aku kagum dengan otak pembelit mereka.
Aku pernah cerita kan ayah juga mempunyai adik adik lain dengan isteri kedua Atok.
Ayah dan adik adiknya telah dibahagikan antara abang kakak yang besar besar ini, untuk menumpang di rumah mereka, asbab kesenangan mereka hasil dari harta pembahagian itu, termasuklah menumpangkan isteri kedua atok bersama mereka.
Disebabkan atok merupakan orang yang boleh menerima imbuhan bulanan, duit bulanan akan masuk ke akaun mak tiri Ayah. Mereka pun terus menumpang kesenangan abang kakak Ayah, tetapi tidak Ayah.
Selepas kematian kedua ibu bapanya, abang kakak mula berkira, ayah diperlakukan seperti orang gajian, basuh kereta, potong rumput, polish kasut, semua kerja kerja buruh dikerah, sehingga Ayah mengambil keputusan untuk hidup sendiri.
Merantau lah Ayah, bermula dari bawah, mencari rezeki. Tidak dipandangnya lagi harta dan pangkat. Kakak abangnya kaya terus kaya.
Adik adik yang lain masih ditatang juga disebabkan Mak Tiri ayah masih ada. Hasil duit bulanan Atok dari mak tiri Ayah, dapat sekolah kan adik adik nya sampai ke luar negara.
Ayah hidup susah, tapi tenang. Sampai jumpa dengan Arwah Ibu, bukan juga dari golongan yang senang. Berkahwin dan hidup lah mereka awal awal nya di rumah setinggan sekitar Kuala Lumpur.
Pernah Ayah bawa Arwah Ibu ke rumah kakak abangnya yang kaya, ketika itu abang kakak ku kecil kecil lagi, mereka kata Arwah Ibu tu orang gajian. Mereka sangat merendah rendah kan keluarga kami.
Mak tiri Ayah adalah antara manusia yang paling baik yang Arwah Ibu pernah jumpa. Arwah Ibu banyak menumpang kasih dengan nya. Malah dia lebih selesa dengan Arwah Ibu berbanding anak anaknya sendiri.
Aku teringat setiap kali hari raya, rumah rumah yang kami akan pergi, di Bukit Antarabangsa, Petaling Jaya, Subang. Semua rumah besar mewah dan cantik.
Pernah aku berangan nak tinggal di rumah begitu, kereta mewah begini. Teringat juga bila mana cucu cucu kepada kakak dan abang Ayah, sampai ke rumah kami, geli mereka nak masuk sebab kecil sangat rumah tu.
Tapi itulah, langit tak selalunya cerah. Hidup nii bagaikan roda. Kalau Allah nak tunjuk tu, takpayah tunggu akhirat sana, di bumi juga Allah bagi cash.
Hidup kaya raya macam mana sekali pun, hati tak tenang.
Abang kakak Ayah, yakni pakcik makcik ku, tidak pernah ada masalah duit, tapi selain duit, macam macam masalah mereka. Antaranya:
1) Diuji dengan tiada zuriat buat menyambung legasi harta, akhirnya harta jatuh ke anak angkat (masih tidak mengikut faraid), dan harta harta telah dijual oleh anak angkat.
2) Diuji dengan masalah mental. Duit ada, tapi minda tiada.
3) Diuji dengan hal anak anak, anak anak derhaka tidak pulang ke rumah, lupa kepada ibu bapa selepas berkahwin.
4) Diuji dengan harta yang semakin nipis, merasa jatuh miskin di saat saat senja.
5) Diuji dengan kesihatan yang mempunyai kos mahal untuk rawatan.
Dan banyak lagi yang aku boleh ceritakan secara detail, tetapi cukup la sampai di sini dahulu.
Ayah? Alhamdulillah. Sudah berpangkat Datuk, kepada 25 cucu beliau. Anak anak nya? Alhamdulillah, tidak lah berjaya disegani, tetapi menjadi manusia hendaknya yang diredhai Allah.
Jika beliau sakit, bergilir gilir kami menjaganya. Jika semakin tiba lebaran, semakin semangat dia apabila kami membelikan barang barang buatnya.
Jika berjumpa dengan kenalan, bangga sungguh dia beritahu jumlah anaknya dan anak anaknya kerja apa.
Aku cukup berbangga juga sebab aku antara yang dipilih untuk mendengar secara langsung rahsia Ayah, yang sepatutnya menjadi rahsia dia dan dia sahaja, aku kongsikan untuk pembaca mengambil iktibar beberapa perkara.
1) Jangan ambil mudah soal pengurusan harta.
2) Tamak dan Haloba itu sangat terkutuk
3) Biar Miskin harta, jangan Miskin Adab.
4) Waspada dengan Istidraj
5) Berkat pada orang yang Sabar dan rezeki bagi Pencari Rezeki.
Terima kasih kerana membaca nukilan ini sampai habis ye.
Aku harap pembaca dapat iktibar atas cerita ini, nampak cerpen di mata kamu, tapi benar benar terjadi.
Sekian.
– Call me T (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit