Abang
Terima kasih saya ucapkan kepada admin jika confession saya ini disiarkan.
Malam tadi saya mimpikan arwah abang saya. Mungkin sebab saya dah lama tak menjenguk dia di kubur atau mungkin dia rasa saya dah lupakan dia. Tak, saya tak akan sesekali lupakan dia walaupun tahun ni dah 16 tahun dia tinggalkan kami sekeluarga.
Saya dan abang sangat rapat mungkin kerana jarak umur kami yang tidak jauh. Kami banyak berkongsi minat yang sama, menonton bolasepak di tv bersama, mendengar lagu dari band kegemaran kami bersama. Kebanyakan masa kecil, saya habiskan dengan dia.
Dua tahun sebelum dia pergi, saya dan dia sudah jarang bertemu. Dia bekerja di Kuala Lumpur dan saya bersekolah asrama. Setiap kali dia pulang ke rumah, saya tak pernah ada dan begitulah sebaliknya. Tapi tak pernah seharipun saya lupakan dia, saya rindukan dia. Seminggu sebelum dia pergi, entah macam mana hati saya tergerak hati saya menulis sajak untuk dia, betapa saya rindukan dia.
Panggilan telefon yang saya terima awal pagi seminggu selepas itu bagai meremukkan hati saya. Sayu suara ibu bersuara, "Sabar ya, achik. Abang dah tak ada. Achik baliklah."
Susah saya nak terima kematian dia. Ketika saya kucup dahi dia buat kali terakhir, saya berharap sangat dia buka mata dan pandang saya macam dulu. Saya betul-betul rasa kehilangan ketika itu. Ingat lagi airmata yang keluar dari mata ayah ketika itu, hendak saja saya tempelak dan berkata, "Ayah lagi suka dia mati jangan nak hipokrit menangis." Dulu masa hidup, ayah tak pernah sukakan abang, tak tahu kenapa. Ayah tak suka saya rapat dengan abang, tak suka saya berbual dengan abang malah penah cakap dengan saya, "Jangan tengok tv dengan abang, biar dia tengok sorang." Sampai hari ni rasa marah dengan ayah masih ada. Marah sebab tak tahu apa salah abang di mata ayah.
Tahun-tahun awal selepas kematian abang, saya tak pernah jejak ke kubur dia. Saya nafikan kematian abang. Saya anggap dia masih hidup, masih hidup nun di bandar, bekerja. Saya masih tunggu kepulangan dia di pagi raya, saya tunggu dia depan pintu dengan harapan dia keluar dari perut teksi dan tersenyum pada saya seperti tahun-tahun sebelumnya.
Berbelas tahun saya hidup dengan kenangan abang, berharap saya akan jumpa dia lagi. Berharap dia akan pulang sehinggalah saya mimpikan abang. Dalam mimpi tu saya mimpi abang pulang ke rumah tapi dia hanya berdiri di luar pintu. Saya ajak dia masuk tapi dia hanya tersenyum. Saya berlari masuk ke rumah dan menjerit memanggil ibu, "Ibu, abang balik. Achik nak ikut dia." Selepas itu saya berlari keluar semula tapi abang dah tak ada. Saya nampak sayup-sayup abang pergi dengan menaiki motor ketika saya berlari ke jalan. Saya bersuara sayu pada ibu yang berdiri di pintu. "Ibu, abang tinggalkan achik."
Tiga tahun kebelakangan ini, saya sudah mula menerima hakikat yang abang dah tiada. Abang dah tinggalkan saya dah tak akan kembali lagi. Tiada lagi abang yang akan sergah saya di balik pintu setiap kali saya pulang dari sekolah, tiada lagi abang yang akan buat bunyi annoy setiap kali saya marahkan dia, yang ada kini hanya batu nisan yang tertulis nama abang, tanda yang dulu saya pernah punya abang.
Al Fatihah untuk abang. Achik rindukan abang.
– seyogia