Sailor Moon merupakan siri animasi yang popular dan dikeluarkan sekitar tahun 1992 – 1997. Makanya yang membesar pada zaman kegemilangan cerita ini seperti aku, mesti anda pembaca sekalian masih ingatkan? Sekiranya terlupa atau yang tidak pernah mengetahui langsung, boleh lihat sendiri melalui link ini untuk anda mengimbau semula sebuah kenangan >
Watak utama Usagi Tsukino merupakan seorang gadis sekolah menengah yang mempunyai kuasa untuk melawan kejahatan dan menjaga keamanan serta digambarkan sebagai gadis yang kuat menangis, tidak berapa matang, bencikan peperangan, menentang kejahatan dan hanya ingin menjadi menjadi gadis biasa (Wikipedia, 2015). Dikenali sebagai “puteri cahaya bulan” dan ayat yang sering digunakan Usagi Tsukino sebelum melancarkan serangan ” aku adalah serikandi yang berjuang demi cinta dan keadilan Sailor Moon! dengan kekuatan bulan akan menghukum mu! >
*serikandi/srikandi : wanita yang gagah berani/pahlawan wanita (Kamus Dewan, Edisi Keempat).
*melancarkan : melakukan atau mengadakan sesuatu [serangan, tindakan, dll](Kamus Dewan, Edisi Keempat).
Jadi itu serba sedikit pengenalan mengenai Sailor Moon. Aku dulu sewaktu masih kecil pernah berangan-angan untuk menjadi Sailor Moon. Mempunyai kuasa menentang kejahatan dan mempunyai ahli kumpulan yang juga mempunyai kuasa tersendiri dalam menentang musuh bersama-sama. Aku menggambarkan animasi Sailor Moon ini sebagai pencinta keharmonian. Pasti anda pembaca sekalian pernah mengimpikan untuk menjadi seperti watak adiwira kegemaran masing- masing kan?
Aku dan keharmonian.
Ya. Aku pencinta keharmonian. Aku tak suka pergaduhan atau perbalahan. Ini membuatkan aku rimas dan pening kepala.
Aku masih ingat sewaktu kelas Bahasa Melayu & Bahasa Inggeris di SK Menengah dulu ada aktiviti perdebatan bagi pelajar. Semua pelajar harus menyertainya. Namun, setiap kali selepas berdebat aku pasti menangis(tapi di dalam tandas). Begitu juga di kem motivasi aktiviti debat antara pelajar ini juga akhirnya membuatkan aku menangis(dalam bilik hotel). Bukan kerana kalah tetapi ada satu perasaan yang sukar aku gambarkan.
*Perdebatan : pertukaran fikiran biasanya yg bertentangan mengenai sesuatu hal (pendirian dll) dgn masing-masing pihak mengeluarkan pendapat (alasan dsb), (Kamus Dewan, Edisi Keempat).
Sewaktu Tingkatan 6, kelas pengajian Am banyak membincangkan mengenai pentadbiran negara. Makanya, terjadi perbalahan antara guru dan pelajar. Jangan risau perbalahan masih dalam kawalan. Masing-masing dengan fahaman politik yang berbeza. Sungguh aku sakit kepala ketika itu kerana sukar untuk fahami politik ini walaupun aku suka belajar soal pentadbiran negara. Sampai sekarang pun aku masih keliru tentang politik. Ya, pilihan raya akan menjelma tiba tidak lama lagi tetapi aku keliru. Atas sebab ini aku melupakan hasrat untuk mengambil kursus sains politik ketika pendaftaran kursus ke Universiti. Aku turut melupakan hasrat untuk menjadi Perdana Menteri. Sungguh aku tidak layak. (sedang menulis dan senyum malu)
Aku dulu belajar kursus pemasaran dan amat meminati tentang pengiklanan. Aku akan melihat sebuah iklan daripada pelbagai sudut merangkumi isi, nilai, dsb. Musim perayaan paling aku tunggu iklan yang ditawarkan oleh setiap syarikat dan agensi yang ada di Malaysia. Aku paling tersentuh dengan keharmonian yang ditunjukkan. Menjelang Tahun Baru cina ini banyak iklan aku tonton dan hayati. Sekali lagi jiwa aku terusik dan menangis dengan keindahan iklan yang ditonjolkan. Ya, aku akan menangis walaupun iklan itu tidak sampai 60 saat. Ini bermakna objektif iklan itu sampai kepada fahaman aku. Bagaiman pula dengan anda pembaca sekalian?
Bukan sahaja hari perayaan tetapi sambutan Hari kemerdekaan juga aku tunggu. Aku suka melihat dan menyaksikan persembahan yang menunjukkan identiti keharmonian. Selepas itu, aku akan menunggu temubual wartawan dengan penganjur, peserta, pengunjung dalam dan luar negara. Arghh sungguh aku tersentuh.
Baru-baru ini aku ke pejabat pos. Suasana sunyi sepi walaupun lebih daripada 35 orang ketika itu. Aku seperti biasa akan memerhati setiap orang. Aku ternampak seorang Uncle berbangsa India memegang bil air dan indah water. Namun mengapa dia mengambil nombor ‘urusan pelbagai’ dan perlu tunggu lagi 15 org. Aku terus ambilkan nombor urusan pembayaran bil. Jadinya perlu tunggu seorang lagi. Uncle itu berterima kasih kerana dia tidak tahu. Auntie berbangsa Cina terus dengan pantas menukar nombor gilirannya dengan nombor giliran uncle yang salah tadi. Nombor aku 2065 manakala nombor auntie pada mulanya 2074 terus bertukar kepada 2063. Aku tergelak sendiri sebab aku tidak fikir sepantas auntie itu. Jadi dalam hidup kena berfikir dan bertindak pantas dengan peluang yang ada untuk maju kehadapan. Bermulalah perbualan antara kami dan seorang lagi pak cik. Sungguh aku suka melihat suasana begitu. Nampak sedikit harmoni disitu.
Semalam aku isi minyak motor di Shell. Aku baru nak gerak tiba-tiba seorang auntie berbangsa Cina agak tua memanggil aku untuk meminta tolong isikan minyak motor Honda EX5 beliau. Disebabkan ramai orang balik cuti Tahun Baru Cina jadi pekerja Shell yang selalu tolong auntie sedang sibuk kerana banyak kereta keluar masuk. Aku melihat raga dan handle motor kiri kanan penuh dengan barang yang dibeli. Mungkin untuk persiapan Tahun Baru Cina. Auntie banyak senyum dan kelihatan gembira, anak cucu mungkin sedang dalam perjalanan pulang. Sedang menolong datang pekerja berbangsa India menegur auntie meminta maaf kerana tidak dapat menolong. Auntie berbanyak-banyak berterima kasih kepada aku. Arghh sungguh aku suka suasana yang kelihatan harmoni.
Kesimpulannya, ini adalah antara kisah aku sebagai pencinta keharmonian. Kita mungkin tidak dapat berjuang seperti adiwira tetapi bentuklah hatimu penuh keharmonian agar perbuatan dan percakapan kita tidak mendatangkan kerosakan. Jagalah pertuturan dan penulisan kita agar tidak menyakiti hati seseorang yang seterusnya mendatangkan perbalahan. Aku tahu anda pembaca sekalian mungkin pernah menghadapi suasana yang sama ataupun mungkin pengalaman yang agak negatif daripada cerita aku. Ini kerana setiap orang yang kita berjumpa adalah berbeza. Namun jadilah anda orang yang positif dalam suasana yang negatif. Untuk pencinta keamanan dan keharmonian diluar sana juga mungkin kita boleh menyertai misi keamanan dan kemanusiaan yang ada.
Selamat bercuti dan Selamat Tahun Baru Cina semua!
– Sailor Moon
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit