Assalamualaikum semua. Terima kasih kerana sudi menyiarkan cerita aku tentang kisah terselit kasih sayang dalam kehidupan seorang ayah dan anak serta pengharapan untuk berhenti merokok.
Kisah istimewa tentang susuk tubuh bergelar seorang ayah kepada anak-anaknya. Kalau perasan, merokok ini seakan dibudayakan sejak zaman dulu lagi waktu ayah-ayah kita masih muda. Aku ada nampak baru-baru ni video iklan merokok zaman dulu seakan menggambarkan merokok itu sebagai cara hidup masa itu dan menjadi kehendak. Macam cool je hembus asap sana sini. Jadi tidak hairanlah, generasi muda pada masa itu terikut-ikut dengan merokok ini.
Suatu hari, ayah ada cakap pada aku waktu tengah makan tengah hari dekat satu kedai makan ni. Sambil dia sembang-sembang sehinggalah dia keluarkan ayat, “Abah dulu pernah buat silap.” Lepas tu, aku terdiam. Aku faham tiada orang sempurna dalam hidup ini dan aku cuba memahami jalan kehidupan ayah aku sejak kisah dia dari muda lagi. Aku pun banyak buat silap dan kadang-kadang aku ni banyak juga menyusahkan ibubapa aku kan.
Dari kecil lagi aku sensitif dengan segala jenis asap termasuklah asap rokok ni. Kalau ada tetamu datang, rokok ayah akan menyala sekali. Kalau dekat rumah, aku akan lari jauh masuk bilik dan tutup mulut dan hidung tetapi masih dalam menghidu asap rokok. Aku tak pernah kata aku suka bau rokok tetapi automatik aku akan tutup hidung dan lari jauh. Aku sorang je dalam ahli keluarga aku macam ni, yang lain tiada masalah. Lama kelamaan ayah aku dah tahu aku tak suka bau rokok dan setiap kali dia nak rokok, dia akan keluar kehadapan laman rumah. Meskipun begitu, ayah tak pernah nak libatkan apa buruk atau jahat dia ke dalam keluarga.
Setiap kali ayah batuk-batuk waktu pagi sebelum kerja, aku akan rasa hiba dan sedih. Kenapa batuk ayah teruk, lama dan berhari-hari. Aku cuma risaukan kesihatan ayah. Walaupun aku masa tu tidaklah tahu apa kesan rokok sehingga boleh memudaratkan kesihatan ayah.
Ada satu nasihat ayah yang aku sangat tersentuh sehingga ke hari ni. Waktu itu, abang aku yang sulung akan menginjakkan kakinya ke sekolah menengah harian biasa berhampiran rumah. Waktu tu ada stigma, sekolah menengah harian biasa ini, terkenal dengan pelajarnya yang bermasalah. Macam kalau terjun ke lubang buaya memang susah hendak keluar balik la kiranya. Waktu itu, itulah pilihan sekolah yang ada dan ibubapa aku pun tidak terdedah dengan alternatif pilihan sekolah yang lain, jadi abang aku akan dimasukkan ke situ.
Bermulalah segala macam nasihat ibu dan ayah aku dan apa yang aku ingat dan mereka amat tegaskan kepada abang supaya jangan merokok dan kalau ada kawan-kawan bagi rokok jangan hisap. Ingat baik-baik pesan mak ayah. Alhamdulillah dia amalkan pesan mak ayah.
Batuk ayah aku semakin lama semakin teruk. Ayah aku ada rujuk klinik berdekatan dan mula memakan ubat. Waktu tu, aku tak tahu ubat apa ayah makan. Bila aku sekolah menengah berasrama pula, ayah disahkan ada sakit jantung di samping darah tinggi. Bagi aku, sakit jantung tu, macam sakit paling utama sebab itulah jantung bagi badan berfungsi. Mak dan ayah aku cuma suruh aku belajar bersungguh-sungguh je dan aku tamatkan pelajaran aku dengan cemerlang dan mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Waktu aku tengah belajar di sana, tidak pernah ibu dan ayah aku mengadu sakit-sakit. Bila aku tanya khabar, mereka hanya jawab semuanya baik-baik sahaja. Sehinggalah aku balik bercuti. Sampai di rumah, aku cari ayah aku, aku nampak susuk tubuh yang terlalu kurus. Muka ayah pun sudah semakin penuh kedutannya. Rambut ayah pun sudah tiada di sebalik topi yang dipakainya. Aku rasa ayah mencukur botak kepalanya. Aku salam tangan ayah yang sudah dimamah usia.
Ayah duduk di kerusi dan menunjukkan kedua belah kakinya yang membengkak. Aku sedih. Keadaan ayah sangat berbeza sekarang. Ayah cuba untuk bercerita keadaanya dan aku jadi hiba. Aku ceritakan pada ayah tentang kisah nabi ayyub yang diuji kesihatannya. Setiap kali ayah makan, aku lihat banyak peluh jatuh daripada muka ayah dan ayah hanya menjamah sedikit sahaja. Sambil dia mengelap peluhnya, aku mendengar setiap keluhannya. Habis makan, ayah makan ubat.
Abang ada bercerita tentang beberapa kali ayah dikejarkan ke hospital pada waktu awal-awal pagi di ward kecemasan kerana lelah (asthma). Sembunyinya mereka tentang kesihatan masing-masing adalah supaya aku tidak terlalu risaukan keadaan mereka ketika berjauhan pada waktu itu. Aku hilang kata-kata.
Waktu ini, aku tidak melihat sebatang rokok disentuh ayah. Suatu hari, ayah dimasukkan ke hospital kerana keadaannya yang semakin merosot. Terdapat jangkitan kuman dalam darah ayah. Beberapa hari ditahan ward, ayah kembali pulih. Alhamdulillah. Sampai aku habis bergraduasi dan sekarang ayah masih follow up dengan klinik kesihatan terdekat. Kesihatan ayah semakin stabil.
Doakan kesihatan ayah aku dan doakan aku dapat balas balik jasa ibubapa dan keluarga aku. Sokongan keluarga sangatlah diperlukan untuk membantu mereka yang sudah terjebak merokok. Tiada siapa pernah buat silap, tiada siapa sempurna dalam hidup ini dan jalan kembali masih terbukan. Akhir sekali, educate diri kita sendiri dan masyarakat tentang bahaya merokok kerana apa yang terlihat indah itu belum tentu membahagiakan. Lihat dan kaji. Assalamualaikum.
– Lei
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit