Adik
"Kak, dio tulis gapo ni? 87 ko?"
Adik menyoal. Tangannya yang diikat dengan gelang ID berwarna biru terhulur kearahku.
"Buke 87 dik, 8 tahun"
Dek kerana tulisan doktor yang super laju dan super jimat dakwat pen, adik keliru apa yang tertulis di atas gelang ID tersebut.
"Ow..kena duk sini 8 tahun ko kak"
Geli hati pula rasa dengan soalan adik. Pandai pula adik bergurau walaupun sedang sakit. Mukanya kutatap, dia masih menunggu soalannya dijawap. 'Ah, dia tidak main-main.'
"Hor la dik.."
Dengan mimik muka serius, jawapan ringkas kuberi kepadanya.
Sengaja.
Dia memandangku. Ada riak duka. Kecewa mungkin dengan jawapan yang diterima. 'Hurm, kesian pula tengok'
"Dik, adik dop ingat ko umur adik berapo tahun? Tu umur adik la. Adik kea 8 tahun, joh dua doh kea. Buke kena duk sini 8 tahun."
Akhirnya aku jujur dengannya.
Dan dia..
Tersengih-sengih malu bercampur suka.
'Adik..adik..barangkali cemburu melihat teman sebiliknya sudah pulang. Sabar la deh.'
Smartphone berwarna putih kepunyaanku bergetar. Ada pesanan baru untukku.
Corak jalur berbentuk tangga kulakar dan skrin telefon terus ke muka utama. Menjamu mataku kepada pesanan yang baru diterima tadi.
Ianya bukan dari khidmat pesanan ringkas tetapi satu reminder.
'Ya, esok…'
Aku tersenyum dan memandang adik yang sudah berdengkur.
'Adik..adik tahu tak esok hari apa?'
Hatiku hanya berbisik.
*****
"Kakak, abah ngan ummi dop mari ko hari ni?"
Aku memandang dinding. Mencari satu objek bulat yang tegantung di sana. Ku lihat jarum pendek dan panjang yang tiada henti bergerak di dadanya. 'Hurm, sudah pukul 6.15 p.m. Tapi abah ummi belum sampai lagi. Lupakah mereka hari ini hari penting untuk adik?'
"Abah ngan ummi dop mari doh hari ni dik. Abah ummi dop ingat ko adik doh."
Seperti biasa aku mengusiknya. Aku tahu, ummi tidak dapat melawat adik sebelum pukul 5p.m. kerana ummi mengasuh dua orang budak dan hanya akan selesai selepas pukul 5 petang. Adakalanya juga lebih lewat lagi daripada itu. Abah pula sibuk dengan urusan di baruh sekarang. Pasti lewat petang juga selesai urusannya.
Tetapi, lewat macam mana pun, mereka pasti datang sekejap melawat adik. Ya, aku yakin yang abah dan ummi pasti datang.
Ku pandang wajah sugul adik. Bibirnya merah menyala dek suhu badannya yang panas. Dahinya ku sentuh.
'Masih terlalu panas'
Demam adik belum surut lagi.
"Kak, abah ngan ummi dop ingat ko hari jadi adik hari ni?"
Bibir ku kelu. Rupa-rupanya adik tahu hari ini hari lahirnya. Sengaja aku tidak ucap ucapan hari lahir kepadanya pagi tadi. Aku mahu tunggu abah dan ummi datang dahulu dan rai hari lahirnya bersama-sama.
"Eh, hari jadi adik ea hari ni. Laa..selamat hari lahir dik..hehe."
Aku pura-pura tidak peduli.
"Bakpo hari lahir nyo? Adik lamo doh lahir kea..Hari jadi la..befday adik."
"Ehh?"
Aku loading sekejap. Kemudian, terhamburlah tawa aku.
'Adik..adik..selalu sahaja buat lawak.'
"Oloh..sama la tu dik..doh biar la..happy birthday to you Muhammad Akif."
Dia tersengih-sengih. Matanya yang kuyu sedikit bercahaya. Gembira.
Jarum jam sudah pukul 6.30 petang. Kelibat abah dan ummi belum juga nampak.
'mana la abah dan ummi ni..pukul 7, waktu melawat dah habis dah.'
Aku menyentuh dada adik yang tidak berbaju. Suhu badan adik terasa sangat panas. Adik hanya baring lemah di atas katil yang serba putih. Dia memandangku. Aku dapat rasa adik semakin lemah. Dari semalam lagi demamnya tidak juga surut, malah suhu badannya semakin tinggi. Selera makannya juga sudah tiada. Baru sahaja sesuap nasi masuk ke kerongkongnya, segala makanan yang ada di perutnya terus termuntah keluar. Cecair hijau kelihatan bersama muntah adik. Aku lihat dahi adik berkerut-kerut menahan perit. Kasihan adik.
"Dik…"
– Miss A