Adik II
"Dik, kalu abah ummi dop mari sungguh hari ni gano? Adik jange jerit deh."
Awal-awal lagi aku cipta satu kemungkinan yang aku sendiri tidak ingin ianya terjadi. Hanya berharap adik bersedia untuk kemungkinan itu.
"…………….."
Tiada jawapan dari adik. Hanya satu pandangan kosong diberikan. Bola matanya langsung tidak bergerak.
'Argh, serba salah aku.'
Si canggih berwarna putih milikku menjadi mangsa lakonanku. Pura-pura sibuk menghubungi abah. Walhal aku tahu ianya mustahil dijawab. Malah, bersambung pun tidak akan. Amat mustahil.
"…You have an……please topup……"
Hanya suara speaking yang fasih dari unknown mak cik menyahut. Kreditku dah dua hari expired. Yelah, zaman sekarang semuanya online. Langgan sahaja data internet, semua khabar, persoalan sudah beralih melalui whatsapp, telegram, instagram, fb dan (sebutkan sahaja semua media sosial yang ada). Selagi boleh online, selagi itulah 'no topup'. Tetapi, sayangnya abah ummi tidak tahu menggunakannya. Jangankan guna, telefon bimbit mereka juga tidak mampu untuk menyimpannya. Ya, ianya bukan android.
Tingkahku serba kaku. Seboleh-bolehnya aku cuba mengelak dari pandangan adik. Kebisuan adik menyeksaku. Menyesal pula aku bertanya begitu, sepertinya aku lebih suka dia menangis menanti abah ummi daripada terus diam membisu.
"Kak, adik besar doh. Malu la kokre kalu jerit lagi. Ummi oyak adik kena sabar. Adik sabar la ni kak."
Bibir yang pucat itu akhirnya bersuara. Menggariskan senyuman paling hebat. Terus mematikan andaian burukku pada responnya sebelum ini. Sebenarnya adikku kuat.
'Ya, adik dah besar'. Aku mengiyakan katanya. Tetapi, hanya di dalam hati. Hurm, barangkali egoku masih menghalang untuk memuji di hadapannya. Hakikatnya, mahu menitis air mataku mendengar jawapannya. Adik, kakak bangga dengan adik. :)
Jam sudah melewati masa melawat. Kecewa? Ya, aku kecewa tetapi dalam kekecewaan aku masih meletak segunung harapan. Harapan agar abah dan ummi muncul juga. Sudah terbayang di kepalaku di tanggan ummi ada tupperware yang berisi pulut kuning yang enak ditabur pula dengan hiasan telur gulung berwarna warni memeriahkan dan mencantikkan 'kek' hari jadi adik. Ahh, imaginasi.
'Puff'
Imaginasiku sekelip mata hilang dek terkejut dengan tepukan adik.
"Kak, sakit dado…."
"Sakit mano dik? biar kak urut"
Aku bimbang melihat perubahan adik yang tiba-tiba.
"Dop tahu. Rasa sakit sini. Sini pun. Rasa dopleh nyawo."
Adik memberitahuku sambil jarinya menunjuk arah pada bahagian dada yang sakit. Mata adik terpejam. Rapat. Berkerut-kerut dahi adik menahan sakit. Allah…aku tidak tahu bagaimana sakit yang dirasainya. Tubuhnya yang semakin kurus jelas menampakkan tulang rusuk itu kejang menahan sakit.
Teringat guraun adik beberapa hari yang lepas,
"Kak, tengok dado adik ni. Boleh wak main gitar. Hehe"
Adik bergurau sambil tersengih-sengih menayangkan gigi kapak a.k.a gigi arnabnya.
Adik….Bagaimana kau masih mampu ketawa? Sebegitu kuatkah jiwamu?
Seksanya perasaan aku melihat adik ketika itu sehingga menghasut akalku supaya kufur nikmat. Tidak ingin aku menjadi manusia yang celik. Melihatnya bertarung dengan penyakitnya yang masih belum punya identiti.
Ya, masih belum ada jawapan dari doktor mengenai sakit adik. Sudah dua kali darah adik diambil. Doktor hanya memberitahu kami ada jangkitan kuman dalam darah adik dan penyakit sebenar masih belum diketahui.
Aku urut dada adik. Perlahan. Berharap pedihnya berkurang. Nafas adik kedengaran kasar. Melihat keadaannya yang masih belum baik, aku bergegas memanggil jururawat yang bertugas dan respon yang ku terima…
– Miss A