Assalamualaikum, salam sayang kepada pembaca semua. Dalam minggu ni saja dah beberapa kali aku terbaca confession tentang gay dan golongan songsang. Maka terpanggil lah aku untuk meluahkan apa yang dah lama terbuku dalam hati aku.
Confession ni sebenarnya tentang kisah adik lelaki aku… arwah adik lelaki aku yang amat aku sayangi. Aku bukan memburukkan dia dalam posting ini, tapi lebih kepada ingin mengenang sesalan aku yang tidak berkesudahan. Semoga tenang dirimu di alam barzakh, adikku. Aku kehilangannya Disember 2018.
Adik lelaki aku ni better aku namakan dia Y, merupakan anak ke6 dalam keluarga, manakala aku pula anak ke4. Sejak kecil, kami memang rapat. Aku masih ingat, masa aku baru datang period, dia lah yang ku suruh ke kedai belikan pad untuk aku. Dan dia akan menurut sahaja… hehe..
Azali kelahirannya, perwatakannya agak lembut, tapi tidak lah seperti watak drama Sutun tu. Dia lebih banyak terperap di rumah, hinggakan kami terpaksa suruh dia keluar bermain dengan kawan-kawan lelakinya.
Y anak yang bijak. Selepas habis pengajiannya di IPT, dia mendapat kerja di sebuah syarikat multinasional yang gah di negara kita. Alhamdulillah aku bangga dengan Y. Murah rezekinya.
Hidup mewah, boleh melancong sana sini, boleh hantar duit pada mak ayah dan masih lagi humble. Dengan anak-anak buah pun sangat rapat dan disayangi. Aku boleh kata Y ni adalah breadwinner pada keluarga, walaupun aku juga sama membantu keluarga kerana punya kerjaya yang stabil.
Tapi aku perasan satu kelainan padanya. Dia sangat rapat dengan lelaki. Hingga umurnya 20+, dia tidak pernah bercinta dengan wanita. Aku kenal kawan-kawannya, tapi aku tak mahu bersangka buruk padanya. Ada seorang kawannya, namanya S yang sangat-sangat rapat dengan Y, hinggakan semasa family vacation pun S akan dibawa bersama. Aku dah mula rasa hairan.
Masa berlalu dengan pantas. Pada suatu ketika, Y buat keputusan drastik yang mengejutkan kami sekeluarga. Y ingin menyambung pengajian di London, tapi menggunakan duit poket sendiri!!.. kami terkejut, manakan tidak.. kos sara hidup yang sangat tinggi di kota London, mampukah Y survive.
Aku ikuti perkembangannya di media sosial. Y banyak berjalan mengelilingi Eropah, dan 4 bulan kemudian Y kembali ke Malaysia dan mengatakan telah tamatkan pengajian, kerana bidang itu telah dipelajarinya di tanah air dahulu. Aku terkedu. Kegilaan apa yang adik aku telah lakukan ini. Dan.. guess what.. S pun ikut juga!
Selepas pulang dari London, Y semakin berubah. Y mula membina otot-ototnya, menjadi pengunjung setia gym. Aku ok sahaja. Dengan anak-anak buah dah tak semesra dulu. Rumah aku pun sudah jarang diziarahi. Aku positif saja, mungkin dia sibuk.
Hinggalah satu hari, aku mendapat berita Y telah melanggar mati seorang pejalan kaki yang mabuk semasa dalam perjalanan bersahur di rumah kakak kami. Selepas peristiwa itu, Y kelihatan sasau dan kuat mengamuk. Kami mula berfikiran kolot, mungkin roh si mati tidak tenang dan mengganggu nya.
Episod gangguan demi gangguan berterusan. Pernah Y merintih di dalam tidur, menangis tiba-tiba, menjadi panas baran dan macam-macam yang tidak pernah dibuatnya. Sebagai orang kampung, ibu ku mula meminta bantuan pengamal perubatan tradisional (bomoh) untuk pulihkan Y. Kata bomoh itu, Y ada mengamal ilmu salah, bercampur pula dengan sihir dihantar oleh orang. Entah lah… aku semakin buntu.
Y mula menukar cara berpakaian nya. Bayangkan bekerja di sebuah syarikat gergasi (oil & gas), memakai jubah ke pejabat. Apa pendapat pembaca? Y semakin panas baran. Y kerap ambil cuti dan MC, nampak semakin tak berminat dengan pekerjaannya.
Y datang jumpa aku, katanya dia tak suka dengan pandangan orang padanya. Katanya dalam LRT pun dia rasa diperhatikan sambil orang mengejek-ejek dirinya. Aku sangka dia hanya alami stress pekerjaan. Aku nasihati nya dengan penuh kasih sayang, tanpa aku duga Y sebenarnya menanggung sakit yang tiada ubat.
Aku tidak ingat bilakah Y berjumpa dengan ibu kami, membuat confession yang Y ada HIV positif. Dia tidak mengatakan dengan jelas, tapi memberi bayangan kepada ibu, dia ada penyakit sama seperti arwah abang kami. (Arwah abang juga HIV+). Ibu memberitahu ku perkhabaran itu.
Saat ini lah paling aku sesali kerana aku tidak mengambil pusing berita itu, malah aku anggap Y cuma inginkan perhatian kami. Ya Allah.. bodohnya diriku. Padahal aku golongan terpelajar. Berita itu ibarat angin lalu sahaja bagiku.
Y semakin tidak terkawal. Y tinggal seorang diri di sebuah apartmen di pinggir kota. Aku dapat pelbagai berita amukan Y di apartmen nya itu. Aku pergi perhatikan keadaannya, dan dalam fikiran aku masih dimomokkan dengan kenyataan bahawa Y mengamal ilmu salah yang tidak sebati dengan dirinya.
Suatu hari Y ditangkap kerana menceroboh surau wanita. Y menangis-nangis katanya dia cuma ingin solat, dan selepas itu nak pulang ke kampung berjumpa ibu ayah.
Episod duka nya tidak terhenti di situ. Selesai sahaja kes itu, Y kembali ditangkap kerana merosakkan kereta- kereta di apartmen nya. Keputusan ujian air kencing Y menunjukkan positif meth. Ya Allah, ujian apa pula kali ini. Aku pergi menjaminnya dengan jumlah jaminan yang bukan sedikit.
Dengan linangan air mata, ku withdraw semua wang yang ada di akaunnya untuk membebaskan Y dari tuduhan. (Amaun jaminan ditentukan oleh IO, setelah dia tahu Y seorang eksekutif). Tiada berbaki langsung. Ya Allah, hibanya hatiku.
Aku senyap-senyap menyelongkar bilik tidur Y. Aku terjumpa satu botol kaca dengan paip bengkok. Aku tunjukkan pada suamiku. Sah lah, itu alat untuk mengambil dadah jenis meth. Atas meja makannya banyak pil-pil dari hospital. Ku catat nama-nama ubat itu dan aku google. Ternyata itu ubat-ubatan untuk anti depression.
Kenapa dengan adikku. Sehingga saat itu, aku masih lagi taknak terima hakikat yang dia ada HIV+.
Ibu bawa Y pulang ke kampung untuk dia tenangkan diri. Mana mungkin Y duduk dengan aman tanpa ada bekalan dadahnya. Meronta-ronta dia nak pulang ke rumahnya. Ibu terpaksa lepaskan kerana dia mula bertindak ganas. Dia kejar ayah kami dengan pisau, dia herdik kakak kami, dia buat segala perbuatan aneh di rumah parents kami.
Sebelum itu sempat juga Y merasa tinggal di wad psikiatri kerana ibu melaporkan perbuatan ganas Y terhadap ayah kami kepada polis. Untung juga, itu dokumen penting untuk Y direhatkan sebentar dari pekerjaannya.Tapi ya lah, kehidupan di wad psikiatri amat memilukan hati kami sekeluarga.
Y pulang ke rumahnya. Y masih dengan amukan-amukannya. Suatu hari aku dapat panggilan telefon dari balai polis minta aku datang jamin Y. Y membuang segala barangan rumahnya ke bawah, daripada tingkat 14. Keadaan di apartmen itu dah seperti dilanda puting beliung. Segala benda termasuk katil, pasu, langsir dan segalanya dicampak ke bawah dan mendatangkan kerosakan kepada banyak kenderaan.
Aku semakin jelek dengan sikapnya. Suami juga sudah tidak berminat untuk mengambil tahu hal ehwal dirinya. Aku berbincang dengan keluarga di kampung. Ibu ayah cakap biarkan sahaja dia, jangan dijamin lagi. Aku sekadar menurut tanpa mengetahui akibat buruk yang bakal Y alami. Setelah tiada perbincangan antara keluarga dan pihak polis, Y telah dibawa ke penjara SB.
Sedih memang sedih, tapi tiada apa lagi yang mampu kami lakukan. Sementelah kami semua jahil tentang perundangan. Tinggal lah Y di SB menjalani hukuman. Selesai satu hukuman, Y dihantar pula ke penjara K untuk satu lagi hukuman.Dan di situlah merubah kehidupan Y.
Y ditempatkan bersama banduan-banduan yang menghidap tibi. Ya Allah, selamatkan adikku. Selesai jalani hukuman, Y kembali ke pangkuan kami, tidak sesihat dahulu. Y demam panas, dan doktor sahkan Y menghidap tibi. Ibu ayah setia menjaga Y selama Y di hospital, menguruskan kencing berak Y walaupun tahu risiko yang bakal mereka hadapi.
Y alami pelbagai komplikasi akibat HIV, dan dengan tenang Y hadapi semua itu tanpa sepatah pun rugutan atau sesalan. Ya Allah, adikku sangat baik. Dia tak merungut sedikit pun tentang kesihatannya. Kuatnya adikku, Ya Allah. Dia tenang sahaja hadapi hari-hari nya di hospital, cuma kadang kala dia mengadu padaku sakit bila dimasukkan ubat melalui urat nya.
Bodohnya aku tidak mengambil tahu tentang luahan nya. Bodohnya aku kerana selalu bersangka baik dalam setiap tindak tanduknya. Aku tidak percaya kesongsangan hidup adikku kerana dia yang ku kenali adalah seorang anak yang sangat baik. Semuanya sudah tidak berguna lagi.
Dan akhirnya Y dijemput Ilahi bulan Disember 2018 yang lalu dalam keadaan sempat mengucapkan syahadah. Alhamdulillah. Jadikan asbab redha ibu ayah kami atasnya sebagai penyelamat untuknya di alam sana. Ibu ayah kami menjadi pengunjung setia pusaranya, dan sentiasa mendapat doa dari mereka.
Maafkan kakak wahai adikku. Kakak pentingkan diri sendiri, dan tidak pernah cuba memahami dirimu.
Oh ya, untuk pengetahuan semua, Y telah membeli dua unit rumah untuk parents kami. Cuma aku tidak tahu urusan insurans dan siasatan mereka, kerana segala rekod perubatan diteliti. Aku ingin pendapat pembaca semua, andai kata insurans rumah itu tidak valid disebabkan punca kematiannya, apa langkah yang patut kami buat.
Duit pelaburannya sekarang ini juga diuruskan oleh Amanahraya disebabkan tiada penama. Hibah takaful juga tergantung disebabkan masih dalam siasatan rekod-rekod perubatannya. Aku mendoakan yang terbaik dalam segala urusan, kerana itu hadiah darinya untuk ibu ayah kami.
Benarlah dia breadwinner… siapa sangka macam-macam disiapkan untuk ibu ayah kami, cuma antara ketentuan itu rezeki kami atau bukan. Sila beri pendapat pembaca semua tentang urusan-urusan yang tergantung ini, kerana aku tiada ilmu dalam bidang ini.
Terima kasih semua yang membaca. Al Fatihah untuk mu Y. Kakak sayang Y sampai bila-bila.
– Kakak Menyesal (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit