Agama Yang Hidup

Agama itu tunjang bagi setiap manusia tak kiralah anda Muslim, Buddha, Hindu mahupun Kristian. Sedangkan Atheis sendiri pun ada pegangannya, apatah lagi kita yang berkitab ini. Saya banyak melihat landskap kehidupan manusia terutama remaja masa kini meletakkan pegangan agama sebagai aturan kelas kedua dan menjadikan pendidikan serta akademi teras kepada usaha mereka untuk berjaya.

Mana mahu lahirnya modal insan yang cemerlang andai kata agamanya pun tak terjaga. Tak dinafikan, institut pendidikan telah banyak mengeluarkan produk yang boleh dibanggakan tapi apakah berjaya seseorang itu andai dia tidak mampu berhujah untuk agamanya sendiri ? Untuk kali ni, saya ingin menekankan lebih sikit dalam konteks Islam.

Apa yang saya perhatikan, Islam khasnya di Malaysia ni dipandang remeh oleh sesetengah pihak. Ini bukanlah politik, tapi saya dah terlakik bila berada dalam kalangan mereka yang mengejar kemewahan semata-mata. Benar mereka sangat bijak dalam ekonomi dan kewangan tapi kenapa masih ego bila berkaitan dengan agama ? Ada yang lebih suka menghukum sesuatu itu dengan mudah. Asal ada yang nampak pelik sahaja, haram lah jawabnya, ada juga yang boleh menyebabkan rosak akidah lah, yang tak pernah nabi ajar lah, tak kurang juga yang malas nak ambil tahu.

Saya pelik, macam mana sesuatu benda itu boleh menjadikan kita rosak akidah ? Sedangkan kita sendiri tak pernah mengkaji dan meneliti hal tersebut ? Macam mana benda yang kita tak tahu kepastiannya boleh menjejaskan akidah ? Kita, lebih-lebih lagi saya, membaca dah lah malas, mengkaji jauh sekali, mendengar pun sesekali, tapi kecenderungan kita lebih kepada menghukum tanpa bukti yang sabit.

Masjid dan surau pun masih bergema lagi ruangan solatnya, kuliah dan tazkirah pun hanya yang sudah pencen sahaja hadirnya, aktiviti keagamaan pun sudah berpuak-puak sedangkan hanya berbeza pendapat antara mereka. Yang bangganya, Malaysia ini lah yang banyak mengeluarkan fatwanya, banyak sekali hujah mee segeranya, dan alim ulama bawah rumah tiba-tiba keluar apabila isu agama dimainkan. Saya heran.

Agama yang hidup bukanlah agama yang paling banyak dianuti tapi ianya adalah agama yang digunakan dengan betul dalam amalan harian kehidupan seseorang itu. Belajar dan kajilah tentang agama masing-masing kerana saya percaya kebaikkan dan kehormatan lebih jelas sekiranya agama itu menjadi perjuangan. Bukanlah bangsa yang membentuk individu tersebut kerana bangsa boleh jadi ianya mengajar kepada kebencian dan penindasan sedangkan tidak ada agama yang mengajar perihal keburukkan serta hasutan-hasutan kejahatan.

– Badtherule

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit