Saya pelajar jurusan alquran dan alsunnah UIAM. Saya nak kongsikan kepada rakan semua tentang sikap sebahagian kita terhadap golongan agamawan.
Secara asasnya, ada 3 jenis sikap yang berbeza ketika hendak menilai seseorang yang bergelar agamawan. Pertama, mereka yang terima bulat-bulat apa yang disampaikan oleh golongan agamawan. Kedua, mereka yang letak persepsi negatif bahawa agamawan ini kolot, suka kahwin lebih, tidak cerdik dan tidak kritis dalam isu semasa. Ketiga, mereka yang adil dan tidak pukul rata kesemua agamawan ini bermasalah hanya kerana satu yang bermasalah.
Sahabat, sebelum kita nak cakap lebih. Satu benda yang kita kena faham, agamawan mereka juga insan sama seperti kita. Tidak ada jaminan untuk tidak melakukan kesalahan dan dosa. Jangan pernah anggap mereka ini kebal daripada salah dan jangan pernah anggap kesalahan mereka itu berbeza dengan kita. Mereka manusia, mereka juga boleh lakukan dosa dan kesilapan sama seperti kita. Agamawan, mulianya pada ilmu yang mereka ada dan manfaatnya kepada yang lain. Bukan pada kebalnya mereka daripada dosa dan silap. Sama seperti seorang doktor, mereka mulia dengan ilmi yang mereka ada dan bagaimana ia dimanfaatkan kepada yang lain. Bukan pada 'title' semata-mata.
Sahabat, bezakan agamawan dengan agama. Agama itu jelas dan tidak pernah salah. Jika saudara rasa agama yang saudara pelajari itu salah, maka nilailah pada yang mengajarnya. Boleh jadi, dia tersalah dan membawa fahaman yang salah. Jangan kerana salah seorang ustaz, kita kaitkan ia dengan agama sehingga diri benci dan jauh dengan agama. Lihat sajalah sejarah bagaimana ajaran nabi isa alaihisalam telah diseleweng dan disalah erti oleh kelompok agamawan sehingga telah lari jauh dari ajaranya yang sebenar. Maka, untuk menilai agamawan bukanlah dengan percaya 100% kata mereka, tapi manfaatkan akal dan hikmah kebijaksanaan yang diberi untuk menilai dan menganilisis perkataan mereka.
Sahabat, agamawan mereka mulia. Seperti mulianya seorang doktor, guru, kerani, tukang masak dan lain-lain. Tidak ada yang membezakan mereka kecuali pada subjek dan bidang yang diceburi. Maka muliakan golongan ini. Belajarlah menghormati. Manfaatkan ilmu mereka dengan bertanya dan minta penjelasan. Bukan sekadar ikut tanpa alasan. Jauhi agamawan yang suka mencari dan menceritakan keburukan manusia lain tanpa sebab. Jauhi agamawan yang menghina dan kasar tuturnya. Seperti mana kita jauhi doktor sakit yang tidak mesra dan tidak bersungguh merawat kita. Mereka yang bersungguh mengajar, memberitahu punca dan sebab kenapa hukum seperti itu dan ini, tidak mengajak kepada permusuhan dan mengumpat, maka dekatilah mereka.
Sahabat, ubah mindset kita kepada agamawan. Mereka manusia, mereka tidak sempurna dan bukanlah yang paling mutlak dalam agama, mereka hanya sampaikan. Maka nilailah apa yang disampaikan dengan baik. Manfaatkan mereka dengan belajar, bertanya, membaca karya mereka, menilai dengan kritis dan adil perkataan mereka. Jangan takut nak tegur dan tanya mereka, kerana belum tentu agamawan itu faham dan membawa mesej sebenar agama.
– Sahabat