Air Mata Dambaan Solehah

Assalamualaikum wbt, terima kasih admin. Saya tertarik dengan Confession “Lukakanlah Hati Anak” (https://iiumc.com/lukakanlah-hati-anak/).

Bismillah, Izinkan saya menukil untuk meluah apa yang terpendam dalam hati selama ini. Kak Hani, saya simpati atas apa yang berlaku pada kak Hani. Situasi kita hampir serupa. Bezanya, saya dikongkong oleh ibu yang diuji dengan nikmat kesihatan. Mohon iringan doanya semua pembaca agar dititipkan kesabaran yang tinggi dan dikuatkan hati buat kami dalam melalui ujian sebagai seorang anak.

Anak solehah adalah dambaan setiap anak terhadap kedua-dua ibubapanya. Itulah yang kudambakan agar menjadi permata solehah penyejuk mata ayah bondaku. Namun, untuk menjadi anak solehah bukanlah mudah seperti yang dikata. Banyak episod duka airmata yang perlu ditempuhi, malahan aku mempunyai ibu yang kurang sihat. Seorang ibu yang mana doanya tanpa hijab.

Maaf pembaca sekalian, penceritaanku agak mendatar kerana aku amat letih, seharian menangis. Laju sahaja airmata membasahi pipi sepertimana hujan yang membasahi bumi tika penulisan ini dicoretkan. Harapanku agar pembaca memberikan semangat dan komentar yang murni, bukanlah kecaman yang mampu mencalar hati tika membacanya nanti. Terima kasih. :’)

Petang tadi, aku baru pulang dari hospital membawa ibuku untuk mendapatkan rawatan. Seperti biasa, rutinku seharian melakukan tugasan rumah termasuk memasak. Ya, seperti lipas kudung aku melakukan tugasan rumah kerana setelah pulang dari hospital pastinya akan keletihan. So, aku menyiapkan tugasan rumah terlebih dahulu sebelum membawa ibu ke hospital. Alhamdulillah, Allah turunkan hujan rahmat sepanjang hari ini. Sepanjang perjalanan ke hospital aku menangis, memandu dalam keadaan emosi yang amat sarat. Kepada sesiapa yang pernah mengalami situasi bersama pesakit, pasti faham akan situasi yang aku lalui sekarang.

Ibu kerap protes, cakap menjerit-jerit, permintaannya haruslah dipenuhi dalam kadar segera. Ya, perkara ini adakalanya amat menguji tahap keimananku. Adakalanya aku tertinggi suara kerana aku penat dan berharap ibu agar bersabar. Pedih sangat bila berlaku keadaan sebegini. Aku tidak mahu menjadi anak derhaka ya Allah.. :'(

Sewaktu di alam persekolahan, alhamdulillah rezekiku juga seperti kak Hani. Pencapaian akademikku amat memberangsangkan berbanding Along dan Usu ku, sehingga aku menerima tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) selepas UPSR. Namun, ibuku berkeras menolak tawaran tersebut dengan alasan akan berlaku kes buli bagi junior asrama. Pada awalnya, abah bertelagah dengan ibu mengenai keputusan yang dilakukan ini. Akhirnya, aku terpaksa akur akan setiap keputusannya kerana bagiku keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa.

Aku selalu sematkan dalam hati, ingat ibubapa dalam setiap tindakan kerana aku mahukan keredhaan-Nya. Namun, siapalah aku untuk menolak takdir-Nya. Adakalanya kita diuji kerana Allah tahu bahawa kita mampu melalui ujian-Nya. Setiap keputusan ibu aku turuti, sehinggalah aku tamat pengajian ibuku bersuara agar aku perlu menemani Alongku dan mencari peluang pekerjaan di sana.

Alhamdulillah, Allah permudahkan urusanku demi mencari rezeki. Kemudian, aku diuji lagi apabila ibuku sakit. Demi kemaslahatan, aku berhenti kerja kerana ibuku kerap warded. Adik-beradikku kesemuanya perempuan. So, bolehlah bergilir menjaga ibu ketika warded kan. Nehi hey.. Tidak sama sekali, hanya aku yang perlu berkorban semua itu walaupun keadaan diriku juga kurang sihat. (Doakan aku ya).

Along ku langsung tidak ambil peduli, tambahan aku sekarang berada di kampung. So, segala tanggungjawab harus kupikul. Sehingga tiba saat Along bernikah pada akhir tahun lepas. Seminggu sebelum pernikahan Along, aku mempunyai temujanji di hospital, namun terpaksa aku batalkan kerana ibu dan abah meminta untuk aku menyediakan makanan untuk para tetamu yang hadir sewaktu Yasin sebelum walimah berlangsung. Along belum mengambil cuti ketika itu. Agak kelam kabut melakukan persiapan, terdapat juga beberapa jiran tetangga yang hadir membantu.

Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan aku kala itu. Aku teruskan untuk bersabar walau dalam hati telah meronta menangis semahunya. Aku terlalu penat, penat fizikal dan mental. Seronok aku melihat Alongku, tidak perlu bersusah-payah walaupun itu merupakan majlisnya. Seperkara lagi, ibu langsung tidak kisah Along berkawan dengan siapa, hatta siapa teman lelakinya yang dibawa pulang untuk diperkenalkan dengan walinya.

Beza Along dan aku hanyalah dua tahun, so aku juga mempunyai impian untuk membina keluarga kerana memikirkan usiaku kian menginjak ke angka 30. Bila ada orang yang berkenan untuk datang merisikku, ada sahaja jawapan ibuku agar aku tidak meneruskan hubungan. Sewaktu berkawan dengan mu’allim aku, ibu kata jauh sangatlah. Ibu nak Angah cari yang dekat sahaja pintanya ringkas. Kemudian, aku diperkenalkan dengan sepupu sahabat karibku. Setelah meminta izin untuk berkenalan, ibu terus mengatakan Angah kenal betul ka dengan sepupu Hidayah tue?

Maksudnya, ibu tidak bersetuju untuk aku meneruskan perkenalan dengannya. Seterusnya, rakan sepengajianku pula membawa hajat. Abah pula tidak setuju kali ini, atas faktor yang tidak dapat aku maklumkan di sini. Aku tetap bersabar, nak jadi anak solehah haruslah bermujahadah tinggi. Mujahadah itu pahit kerana Syurga itu manis kan kawan-kawan.. :’)

Sekali lagi ibu warded pada awal tahun tempoh hari. Adikku (Usu) sedang cuti semester. Sebagai anak, aku menjaga ibu di hospital untuk beberapa hari. Aku nie jenis low HB, low BP. So aku mudah letih dan kerap rasa nak pitam. Tapi aku gagahkan juga untuk menjaga ibuku, Syurgku. Dengan keadaan kurang rehat, kepalaku berdenyut sakit. Ada juga beberapa nurse yang tegur kerana melihat wajahku kelihatan pucat. Usu tidak dapat menjaga ibu kerana Usu tidak pandai drive. Abah pula masih lagi larat, cuma kudratnya tidak dapat drive jauh atas faktor lanjut usia.

Setelah ibuku discharged, sekali lagi ibu buat perangai kerana terpaksa menunggu aku dalam tempoh yang lama (35-45 min). Kesabaranku juga terbatas. Akulah yang perlu ke pharmacy sendirian untuk ambil ubat dan melakukan urusan discharged. Kemudian, menapak jauh ke tempat parkir untuk mengambil kereta, panaskan enjin terlebih dahulu. Setelah semua urusan selesai, barulah aku menjemput ibuku di ruang menunggu dengan kerusi rodanya.

Aku segan kerana kadangkala ibuku meninggikan suara kerana tidak sabar dan semestinya menjadi perhatian yang lain yang turut berada di sekeliling kami. Malu dan sedih apabila diperlakukan sebegitu. “Aku telah lakukan sehabis baik untukmu ibu”, getus hati kecilku.. :’)

Dari hospital, aku terus memandu pulang ke rumah. Harapanku Usu telah menyediakan juadah tengah hari, tetapi harapan hanya tinggal harapan. Mahu ditegur, khuatir tidak dapat terima. Bongsu dan jiwa remaja kan. Manja. Maaf, aku tidak mengatakan bahawa semua anak bongsu berperangai sebegini. Sekali lagi maaf. Lantas, aku menyiapkan juadah sekadar yang termampu kerana badanku terlalu flat. Usai memasak, ibuku terus bertanyakan Usu dah makan? Allahu, luluhnya hati aku ya Allah…. :’)

Begitulah yang kurasai sewaktu membawa ibu ke hospital tadi. Aku sangat terasa hati dengan perangai dan tindakan ibu. Aku harap para pembaca faham akan situasi aku, aku tersepit antara dua. Syurgaku dan kerjaya. Memang benar ada yang mengatakan, jauh bau bunga, dekat bau tahi. Ya begitulah apa yang aku lalui saat ini, anak yang jauh sentiasa dipuji walau jarang bertanya khabar. Anak yang banyak berkorban ini sentiasa diherdik dengan kata-kata yang mampu mengguris nurani kecilku. Adakalanya aku rebah walau aku cuba untuk bertahan.

Kata-kata umpama doa, sementelahan bait-bait itu diungkap dan terzahir dari bibir sang ibu. Aku risau akan setiap kata-katanya, setiap kata yang mampu menjadi doa buatku tanpa hijab. Aku sedih, aku menjeruk rasa sendirian. Menangis dan berkurung di kamar di samping memohon doa kepada yang Maha Esa. Dalam kita menjaga banyak hati, tanpa disedari hati sendiri banyak menangis..
Allahu…. :’)

Kadangkala terdetik di hati untuk membawa diri jauh dari sini. Tetapi aku memikirkan siapa yang akan menjaga ibuku. Selagi ada hayatnya, biarlah aku berbakti kepadanya demi menggapai redha-Nya. Hanya satu kumohon wahai ibu dan ayah di luar sana, jagalah setiap pertuturan yang dilafazkan kerana setiap perkataan itu merupakan doa. Adalah lebih molek mengungkapkan kata-kata yang penuh hikmah, mendoakan yang terbaik buat anak-anak. Kami telah sedaya upaya untuk menggembirakan hati semua orang sehingga sanggup mengetepikan soal hati dan perasaan masing-masing.

Allahu ya Rabbi.. Ampunilah aku ya Allah, redhakan perjalanan hidupku ini ya Rabb. Aku yakin ada hikmah-Nya yang tersendiri. Tidak Allah jadikan sesuatu itu tanpa hikmah-Nya. Allah uji tanda Allah kasih dan Allah tahu hamba-Nya mampu lalui setiap mehnah-Nya. Kepada para pembaca, mohon iringan dan untaian doanya buat diriku moga aku mampu menjalankan tugas sebagai seorang anak dengan baik, dapat berkhidmat buat kedua-dua Syurgaku sebagai seorang anak yang solehah, dikurniakan kesabaran yang tinggi dan terus qawiy dalam melalui kehidupan ini, seterusnya diluaskan rezeki pekerjaan dan dikurniakan jodoh yang soleh qurratu a’yun. In shaa Allah..

Terima kasih kerana sudi luangkan masa membaca coretan hati ini. Terima kasih atas setiap iringan doanya, moga setiap doa yang baik berbalik kepada pengirim doa. Mohon ampun dan maaf, jazaakumullahu khayran kathira.

Keep qawiy,

– Nur Solehah

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *