Air Mata Syurga

Sebelum mata terlelap, aku baca nukilan di IIUM Confession bertajuk Kanser, (https://iiumc.com/kanser/).

Terus airmata laju mengalir, hilang terus mengantuk. Aku capai beg laptop dan terus menaip. Terasa nak luahkan beban berat yang ditanggung dalam jiwa ni.

Abaikan ayat-ayat aku yang mungkin ada gaya ala-ala novel picisan.. kerana aku memang seorang penulis. Lepas baca confession berjudul Kanser tadi, aku menangis teruk!

Aku memang cepat nangis kalau baca berita tentang kematian, kehilangan. Kalau lalu video tentang kematian ibu, kematian ayah atau kematian anak… memang akan “triggered” pada trauma aku.

Aku yang sudahpun melalui kehilangan demi kehilangan.. kematian demi kematian insan tersayang.

Aku sudah merasai sakitnya kehilangan emak tercinta, aku sudah merasai peritnya kehilangan ayah tersayang, dan aku juga sudah merasakan hancur yang sehancurnya -saat berdepan kematian anak tersayang. Cukup Allah bagi aku rasa semua rasa itu dalam 4 tahun ini..

Berkali-kali aku bangkit dari kehilangan demi kehilangan.. kematian demi kematian. Ianya satu proses yang sangat tidak mudah!

Kadang, aku terlupa cara untuk ketawa.. kalau pun aku ketawa, sekadar menunjukkan kepada orang di sekelilingku.. bahawa aku OK. Sedang dalam jiwa ini… Allah sahaja tahu betapa aku berjuang- untuk bertahan di perjalanan yang melelahkan ini.

Malam ini, aku ingin mencoret kenangan akhir aku bersama ketiga-tiga insan yang kucintai. Sekurangnya, dengan menulis dapat meluahkan beban yang sarat membelenggu di jiwa. Marilah sama-sama menangis bersama aku malam ini.

SAAT EMAK PERGI (3/8/2019)

Aku tersangat rapat dengan emak. Apa saja cerita suka duka aku kongsi dengan emak. Waktu di university, tak sabar-sabar nak balik rumah.. nak share dengan mak semuanya.

Kadang terkekek-kekek emak ketawa mendengar ceritaku. Emak memang seorang ibu yang penyayang.

Aku pernah masuk wad kerana denggi, tak selera makan… lembik badan sampai ingat dah nak mati masa tu. Setiap hari emak datang hospital, bawa lauk pauk kegemaran aku.

Seminggu aku di hospital, seminggu lah emak masak macam-macam, datang hospital suap aku makan.

Dipendekkan cerita, lepas tamat universiti aku bertemu jodoh di usia 25 tahun. Dan sejak itu juga aku mula menjadi seorang penulis.

Emak dan ayah peminat nombor satu karya-karya aku. Setiap kali aku ke stesen tv, emak pasti ikut menemani. Aku pergi shooting, emak ikut juga.

Begitulah akrabnya aku dengan mak. Sumber inspirasi aku juga. Banyak karya2 aku berkisar tentang kasih sayang dan pengorbanan seorang IBU.

Sampailah satu hari, dunia aku gelap tiba-tiba. Aku bawa mak buat pemeriksaan di KPJ, mak kata ada ketulan sebesar 20 sen di payudara.

Sejuk tangan aku masa tunggu result check up. Aku berdoa sangat itu hanya ketumbuhan biasa, bukan kanser. Tapi, bila tengok je muka doctor tu.. aku dah tak sedap hati.

Iya! Doktor sahkan ketulan itu adalah Kanser. Menjerit batin aku masa tu.. tapi aku terpaksa pura-pura kuat depan mak. Aku tak boleh lemah!

Takpe mak, kita cuba rawatan apa yang ada.. sampai mak sembuh! Pujuk aku pada mak yang dah sungul sejak terima berita buruk tu.

Sejak tu, bermulalah rawatan demi rawatan. Hospital, berubat kampung, jumpa ustaz.. semua kami pergi demi kesembuhan emak.

2 kali emak dijadualkan untuk jalani pembedahan, tapi keadaan paru-paru emak lemah.. pembedahan terpaksa dibatalkan. Kesian emak.

Suatu hari, keadaan emak betul-betul lemah. Mata emak terpejam rapat, mulut pun terkatup rapat.. mak tak mahu makan atau minum. Aku call ambulan sambil menangis-nangis.. aku dapat rasa keadaan emak semakin tenat. Mak masuk wad, doctor x-ray dan buat pelbagai ujian.

Satu hari, seorang doctor wanita berbangsa india datang ke katil emak, kemudian dia pandang aku untuk jelaskan situasi emak,

“Puan.. sel kanser ibu puan dah merebak ke otak. Kita dah tak mampu buat apa-apa lagi. Buat masa sekarang, kita hanya bagi ubat tahan sakit.. dan beri yang terbaik supaya ibu puan boleh pergi dengan tenang”

Allahu… lutut aku terus rasa lembik.. aku tak mampu nak berdiri! Aku selalu tulis ayat begitu dalam dialog drama aku. Macam mudah je menulisnya.. tapi bila hadapi sendiri detik itu, rasanya sungguh dahsyat~

Terus aku peluk doctor india itu.. menangis teresak-esak di pelukan dia. Tak malu dah aku menangis pada orang asing.. lama doctor tu usap belakang aku.. tenangkan aku.

Seminggu emak tidak sedarkan diri.. akhirnya emak hembuskan nafas terakhir di sisi adik dan abangku.. serta saudara mara yang memang berada dalam bilik bergiilir-gilir menemani emak. Aku?

Aku tiada saat emak hembuskan nafas terakhir. Sebab memang aku tak mahu dan tak sanggup untuk melihat emak pergi. Aku tak sanggup!!

Aku dan adik beradik mandikan emak buat kali terakhir dengan penuh kasih sayang. Aku kucup tangan sejuk emak, aku cium pipi emak…. Allah, sakit dan pedihnya mencucuk-cucuk tangkai hati.

Usai solatkan jenazah emak, aku lambai emak yang menaiki van jenazah menuju ke tanah perkuburan. Lambaian terakhir buat emak tersayang.. insan yang paling aku cintai didunia ini.

Pergi sudah insan yang melahirkan aku.. yang tidak putus2 mendoakan aku selama hayatnya. terputus sudah sebuah doa paling mustajab untukku.

Selepas emak pergi. Jiwa aku rasa kosong. Aku langsung tidak boleh menulis. Semangatku terbang entah kemana… Aku terus berhenti menulis.

Tidak lama lepas emak meninggal, negara digemparkan dengan wabak covid 19. Dunia aku menjadi semakin teruk. Aku diserang panick attack… rasa macam nak mati bila berdebar teruk, sesak dada tak boleh bernafas..

SAAT AYAH PERGI (8/3/2022)

Lepas emak pergi, keadaan kesihatan ayah makin merosot. Ayah terkesan dengan pemergian emak. Selalu tenung foto arwah mak sambil usap airmata. Kalau ke kubur emak, ayah akan keluarkan foto emak dan menangis lagi.

Aku dan adik beradik cuba berikan yang terbaik untuk ayah. Kami bawa ayah pergi bercuti merata. Dari ayah mula boleh berjalan… sampai ayah berkerusi roda akibat stroke.

Lepas PKP tamat, kami bawa ayah bercuti ke Rumah Bendang. Masa tu ayah batuk-batuk… tapi ayah tetap senyum.. layan cucu-cucu bermain. Ayah berselera makan macam biasa. Sebelum pergi bercuti kami semua buat saliva test, hasilnya semua -ve.

Keesokan pagi, aku suap ayah makan nasi impit rendang ayam. Ayah senyum sambil pandang aku. Entah kenapa aku rasa lain sangat pandangan mata ayah.. sayu je.

Lepas sarapan, ayah tidur. Tapi aku tak sedap hati sebab bunyi nafas ayah kuat sangat. Kami terus brsiap-siap untuk batalkan percutian dan pulang ke KL. Adik lelaki terus bawa ayah ke HKL. Dan berita mengejutkan diterima.. ayah kena covid stage 5.

Tak sempat aku nak jumpa ayah sebelum dimasukkan ke wad. Terus ayah ditolak ke wad khas untuk pesakit covid. 5 hari ayah di wad, kami hanya mampu berdoa dari rumah.. dan telefon wad ayah hari-hari untuk tahu keadaan ayah…

Hinggalah suatu hari, pukul 5 pagi adikku menerima panggilan dari hospital.. mengatakan ayah sudah pergi. Aku menangis lagi untuk kehilangan ini. Rehatlah ayah.. penat sudah ayah berjuang… rehatlah disana ayah.

Aku dan adik dibenarkan pakai PPE untuk lihat wajah ayah buat kali terakhir, Subhanallah, wajah ayah tersenyum tenang dan bersih seperti tidur.

Ustaz kata pergi kerana wabak dikira Syahid Akhirat. Aku tersenyum dalam tangisan hiba itu…insyaAllah.. ayah sudah berada di tempat terbaik disisiNya.

Pengakhiran yang baik untuk ayah. Langit yang mendung dek hujan lebat, bertukar cerah dan tenang saat jenazah ayah tiba di tanah perkuburan.

Usai pihak hospital menguruskan jenazah ayah, baru kami boleh menghampiri kubur ayah. Sebaik kami beransur pulang, hujan kembali turun membasahi bumi. Seolah tadi berhenti seketika demi memudahkan urusan pengebumian ayah.

TRAUMA

Selepas melalui dua kehilangan yang menyakitkan… aku jadi TRAUMA dan TAKUT kehilangan insan2 yang aku cintai. Aku takut suami dan anak-anak aku pergi.. aku dah tak sanggup lagi nak merasai pedihnya kehilangan.

Bila anak sakit sikit je, terus aku angkut ke hospital. Suami sakit sikit pun, aku paksa ke klinik. Segala macam ubat ada di rumah aku.

Supplement Shaklee pun berderet.. semua wajib makan vitamin C. Akulah doctor di rumah itu. Aku seboleh-boleh nak elak dari kehilangan insan tersayang lagi.

Tak lama selepas ayah pergi, aku disahkan mengandung anak keempat. Anak bongsu yang dinanti-nantikan kerana anak ketigaku sudah berusia 5 tahun.. jauh jarak yang ketiga dan keempat.

Kenapa bongsu? Sebab aku sudah jalani 3x czer.. dan yang keempat ini akan terus ikat peranakan (BTL).

Teruja semua abang dan kakak nak dapat adik baru. Dah lama mereka nak adik.

Alhamdulillah, pada 9/11/2022 lahirlah baby comel kami yang sangat istimewa.. Lahir pra matang di usia 33 minggu, berat 1.91kg. Aisya namanya.. seindah namanya, seindah itu rupa parasnya.

Subhanallah.. sangat cantik dia!

Semua doctor panggil dia baby cantik. Aura Aisya lain macam.. siapa je tengok dia, mesti kata cantiknya baby.. warna matanya kelabu gelap, berlesung pipit di kedua pipi, kulit putih kemerah merahan.. dagu runcing…memang Aura dia lain macam sikit.

Bahagia menyelubungi rumah kami dengan tangis dan tawa Aisya. Setiap kali pulang sekolah, berlari mereka menjerit di muka pintu Aisyaaaaa!!!, sambil peluk cium Aisya, Sayangnya mereka pada si adik yang cantik manis ini.

Tapi, bahagia itu sementara cuma. Suatu hari, di usia hampir 3 bulan, Aisya tiba-tiba alami kejang tanpa sebab.

Sejak itu bermula cerita duka kami. Aisya keluar masuk wad setiap kali kena serangan kejang. Namun, doktor pakar Neuro tetap tidak jumpa punca Aisya kejang. Tiada demam, tiada jangkitan kuman di otak, semuanya sihat.

Akhirnya doctor minta kami jalankan lab test di luar negara (Genetic test). Kita ada kepakaran di Malaysia, tapi tiada makmal tersebut. Doktor ambil sampel di pipi Aisya dan pos ke luar negara.

Kos ditanggung sendiri oleh keluarga, sekitar RM2k termasuk kos pos. Result dalam sebulan baru dapat. Kami juga rawat Aisya dengan rawatan islam sementara menanti result dari luar negara tersebut.

Kami bawa pulang Aisya ke rumah dengan perasaan lega. Doktor kata tak perlu risau bila Aisya kejang. Tenangkan dia macam biasa. Sebab waktu kejang, tahap oksigen Aisya masih kekal 100 atau 99.

Aku sempat singgah kedai Manjaku, beli 2 beg baju baru untuk Aisya sebab dia makin bambam, dah tak muat baju saiz newborn.

Semua happy dapat jumpa Aisya balik, peluk cium Aisya comel. Dia merengek manja bila diagah abang dan kakak. Malam itu Aisya tidur dalam dakapan aku.

PAGI YANG MENYAKITKAN…

Pukul 7 pagi Aisya bangun.. tiba-tiba dia kena kejang. Suami ambil Aisya, tenangkan dia seperti biasa. Tapi, aku nampak Aisya hembuskan satu nafas kuat.. dan lepas itu terus senyap.

Aku dapat rasa ada yang tak kena! Terus kami bawa Aisya ke klinik depan rumah… doctor intubate Aisya. Dalam hati tak putus-putus aku berdoa.. semoga Aisya Kembali… jangan ambil anakku ya Allah.. aku tak kuat Ya Allah!!

Tak lama kemudian, Ambulan tiba untuk bawa Aisya ke hospital. Aku duduk kaku di sebelah pemandu.. sikit pun tak toleh belakang. Aku tak kuat nak tengok keadaan Aisya. Masa tu aku macam terawang-awangan.. rasa macam mimpi.. tapi ini realiti yang harus aku hadap!

Sampai di hospital, Aisya terus ditolak ke unit kecemasan. Ramai doktor masuk berkerumun nak bantu Aisya. 1 jam kemudian, seorang doktor wanita keluar menemui aku dan suami. Berpeluh-peluh dahi dia.. rambut pun basah lencun dengan peluh.

“Encik.. puan.. sudah 1 jam kami cuba selamatkan baby, tapi tiada nadi. Kami minta maaf.. baby tak dapat diselamatkan….,” sehabis lembut dia menutur ayat tu pada aku dan suami.

Beberapa saat, aku tergamam.. blurr sekejap.. aku geleng kepala.. tak nak percaya apa yang aku dengar. Melihat aku kaku begitu, doctor ulang lagi : “Maaf puan,baby dah tiada. Puan dan suami boleh masuk, tengok baby buat kali terakhir”.

Tangisan aku pun terus menggila.. aku peluk suami sekuat hati, meraung di pelukan dia. Aku rasa macam mimpi.. aku harap semua ni hanya mimpi.. tapi tidak!

Aku rasa macam nak lari.. biar lah aku pengsan je supaya aku tak perlu hadap semua ni!!! Secepat itu Aisya tinggalkan kami…disaat kami semua begitu bahagia dengan gelak tawanya.. tiba-tiba semuanya direntap begitu saja.

Aku mandikan jenazah wildan syurgaku di tempat sama aku mandikan arwah emak 4 tahun lalu. Saat jari mungilnya ku sirami air, aku tak mampu menahan tangis. Aku terjerit kuat…terus dipeluk erat oleh adikku sebelum aku jatuh terduduk.

Allahu… sakit dan pedihnya kehilangan kali ini tak mampu nak digambarkan. Aku ingat kematian emak dan ayah sudah cukup menyakitkan…rupanya.. kehilangan anak jauh lebih menyakitkan. 10 kali ganda sakitnya….

Ketika suami masukkan jasad cinta hatiku itu ke dalam kubur, aku berbisik padaNya dengan linangan airmata:

“Ya Allah, jika kesakitan ini untuk syurgaMu, aku redha Ya Allah. SyurgaMu terlalu mahal, tidak mampu ku gapai dengan amal ibadahku yang tidak seberapa.

Maka, aku bayar ia dengan nilai kesakitan dan keperitan atas ujian ini. Kiralah ia sebagai pahala sabar di tingkat yang tertinggi. Sebab Ujian ini terlalu berat dan perit untuk ku tanggung!

Janjikanlah syurga untuk kami. Semoga dapat bertemu lagi dengan wildan syurga kami disana. Dapat aku mengucup dan membelainya lagi.. melepas rindu yang tertangguh”

SEKSANYA rasa selepas Aisya pergi. Setiap malam aku terjaga untuk menyusukan Aisya, tapi dia tiada disisi.

Aku macam nak gila menahan rindu, mencari baju-baju kotornya yang masih ada bau dia.. aku cium sambil menangis. Setiap malam aku tidur dengan baju terakhir yang Aisya pakai.

Aku tak tahu macam mana nak urus rasa sedih dan kosong yang bersarang dalam jiwa. Dah mengaji Quran pun tak mengurangi rasa sedih tu.

Dunia aku rasa kosong sekosongnya. Aku juga terpaksa ambil ubat untuk menghentikan susu badan. Berat badan turun mendadak.. aku tidak boleh makan. Apa saja yang masuk dalam perut, akan muntah semula.

Melalui fasa kehilangan anak terlalu sukar dan menyakitkan. Hanya yang pernah kematian anak sahaja tahu dan faham rasa sakitnya tu.

Satu hari, aku dengar ceramah seorang Ustaz tentang wildan Syurga: “Anak ini pinjaman Allah, bukan punya kita. Hatta sehelai rambutnya pun bukan milik kita. Si ayah hanya bagi sperma, bertemu dengan telur ibu dan jadi persenyawaan.

Kemudian untuk dia jadi lelaki atau perempuan, mata warna apa, kulit warna apa.. alisnya tebal atau nipis.. semua terserah pada yang menciptanya.

Keluar baby sahaja, itulah anak Dia pinjamkan pada kita. Hatta diri kita sendiri pun.. bukan punya kita. Dia berhak mengambil kapanpun yang Dia mahu”

Iya, aku yang berusaha melindungi anak-anakku apa adanya. Sedaya Upaya menjaga mereka dari segala sakit, manjauhkan mereka dari sebarang bahaya, tapi aku lupa hakikat bahawa ANAK ini bukan milikku.

Akhirnya, perlahan-lahan aku belajar berdamai dengan taqdirNya. Dalam kesedihan ini aku selitkan syukur padaNya. Aisya hadir untuk mendekatkan aku dengan syurga-Nya, untuk mengingatkan aku pada akhirat-Nya.

Setiap hari aku tahu ada yang sedang menanti aku dan suami di dalam syurga. Menanti untuk bertemu lagi dengan ibu ayahnya di syurga kelak.

Akan ku bawa cinta dan rindu ini hingga ke pertemuan kedua kami kelak.. di depan pintu Syurga Allah. Tarik tangan ummi dan papa ke dalam syurga duhai sayangku.

Akhirnya aku tahu kenapa dia begitu istimewa sejak lahir. Rupanya kerana dia adalah AHLI SYURGA.

Aku bangga telah mengandungkan dan melahirkan seorang ahli syurga, yang akan menjadi syafaat dan penolongku di akhirat kelak. Ujian ini sesungguhnya bukan MELEMAHKAN, tapi MENGUATKAN.

Kita memang perlu merasai kehilangan, untuk menyedari bahawa kita memang tidak pernah benar-benar memiliki. Menerima dan melepaskan apa saja dariNya.. agar kita belajar melangitkan Doa!

Ibu anak 4- 3 di dunia 1 di syurga.

– Salsabila (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *