Aku dan Mak II

Untuk part i: https://iiumc.com/aku-dan-mak/

Terima kasih semua. Aku hargai semua doa dan respons buat emak. Rupanya ramai sekapal macam aku. Maaf kalau ada yang sesak nafas baca penulisan aku sebelum ni. By the way, mak aku pergi asbab kegagalan jantung.

Aku setuju bila ada yang komen, mak ajar kita macam-macam. Tapi mak tak ajar kita macam mana nak hidup tanpa mak.

Tapi ada satu benda yang aku baru belajar dari mak lepas mak pergi sebenarnya, iaitu menuntut ilmu.

Aku bekerja di dalam bidang ilmu. Aku kira selama ni aku telah mencapai ultimatum menuntut ilmu dengan mencapai segulung ijazah tertinggi yang melayakkan aku digelar dengan satu gelaran khas.

Aku beranggapan, menuntut ilmu itu perlu melalui perjalanan formal melalui institusi seperti sekolah mahupun universiti, tapi tanggapan aku ternyata silap setelah emak pergi. Untuk pengetahuan, mak tidak bersekolah tinggi hingga ke Menara Gading.

Saat mengemas barang-barang tinggalan mak, antara yang dijumpai adalah sebuah buku catitan emak hasil menonton rancangan Tanyalah Ustaz. Setiap hari, mak pasti akan catit tarikh, tajuk, nama ustaz yang mengajar, dan disusuli catitan-catitan ringkas ke atas topik yang dikupas.

Banyak ilmu yang mak catit. Dari gaya penulisan, jelas mak fokus dan penuh konsentrasi, walau hanya mendengar kuliah melalui TV. Namun demikian, penulisan mak seakan berkadar songsang dengan keuzuran dirinya. Semakin lama, semakin sedikit catitan dibuat.

Dan pada catatan terakhir, hanya tarikh, tajuk, dan nama ustaz sahaja yang mampu mak coretkan. Tulisan mak terhenti di situ untuk selama-lamanya. Hurm.

Seminggu lepas mak pergi, aku menonton rancangan Tanyalah Ustaz. Orang kata, kalau kita teruskan benda baik yang selalu dibuat orang yang dah pergi, mereka akan bahagia. Sambil tu, aku ambil keputusan untuk hantar mesej pada Facebook mereka. Ini yang aku tulis. Aku ambil sepenuhnya ayat yang aku hantar.

“Salam. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih buat rancangan Tanyalah Ustaz, telah menjadi rancangan kegemaran arwah ibu saya semasa hayatnya. dan arwah mempunyai sebuah buku yang digunakan bagi mencatit nota-nota pada setiap hari mulai tahun 2015.

Terhenti seketika dan bersambung kembali pada tahun 2020 dan diteruskan mencatit sehingga ke hari terakhir sebelum kematiannya. Arwah ibu saya meninggal pada Isnin lepas. 24 Mei 2021. dan catitan terakhir arwah adalah pada 23 Mei 2021.

Semoga Allah ampuni dosa-dosa ibu. Mohon disampaikan salam buat semua ustaz-ustaz yang terlibat. Terima kasih kerana menerangi hari-hari ibu saya dengan ilmu-ilmu Allah yang tak ternilai. hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian. Salam. ”

Maha Suci Allah. Mesej aku dibaca live hingga sebak Daie yang membacanya. Ustaz jemputan diminta mengupas serba sedikit, dan ini antara intipati beliau yang aku simpulkan.

“Bonda ini meninggal di dalam keadaan sedang menuntut ilmu. Mudah-mudahan ini yang dikatakan sebaik-baik pengakhiran (husnul khotimah). Semoga syurga buat bonda ini kerana hadis Nabi menyatakan syurga itu ada 8 pintu, salah satu pintu syurga adalah pintu bagi orang yang menuntut ilmu dan ahli zikir. ”

Allahu Akbar. Emak antara golongan menuntut ilmu rupanya! Dangkalnya aku menganggap ilmu itu hanya melalui pendidikan formal sebagaimana yang aku terima berbanding emak.

Yang perlu diiktiraf dengan segulung kertas. Aku lupa, ilmu Allah itu luas. Malu. Aku malu dengan emak. Penuntut ilmu yang tegar lagi istiqamah berbanding aku.

Rupa-rupanya, bukan hanya sekeping buku emak catitkan. Banyak lagi dijumpai lepas itu. Ya Allah, istiqamahnya dirimu duhai emak. Semakin kerdil aku rasakan diri ini berbanding emak. Aku percaya buku-buku ini kelak bakal menjadi saksi di akhirat buat emak, untuk segala usaha beliau menuntut ilmu di dunia.

Terima kasih emak. Mengajar dan mendidik aku hingga ke hingga liang lahad. Kisah emak ini seringkali aku ceritakan kepada anak-anak muridku, moga-moga menjadi jariah berterusan buat emak, sang ilmuan tidak tersohor semasa hidupnya.

Mak, berehatlah dengan tenang di alam sana. Penat emak menjaga rumah tangga dan menuntut ilmu, pasti Allah ganjarkan dengan sebaik-baik ganjaran.

Al-Fatihah buat ibuku, Sabariah binti Hassan. 1961-2021.

P/S: Ini coretan terakhir. Tiada lagi aku dan mak siri lain. Terima kasih semua atas kesudian membaca. Yang baik itu hanya dari Allah SWT, yang buruk itu atas kejahilan aku sendiri.

– Lara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *