Mula-mula sekali saya mohon maaf menceroboh masuk ke ruangan ini walaupun saya bukanlah alumni mana-mana universiti. Pendidikan saya hanya setakat tingkatan enam sahaja. Disebabkan saya tak berpendidikan tinggi, sudah tentu peluang kerja untuk saya adalah terhad.
Suatu hari saya mendengar ada jiran yang mencari-cari pengasuh untuk cucunya. Pada masa itu, saya memang memerlukan pekerjaan. Akibat rasa malu yang menebal kerana hidup masih ditanggung mak bapa, saya menawarkan diri. Anak jiran yang merupakan seorang guru menerima saya tanpa meletakkan apa-apa syarat.
Saya bermula dengan gaji sebanyak RM 200. Mungkin nilainya agak rendah, namun saya tak kisah asalkan dapat bekerja.. lagi pula kerjanya tak susah dan saya ada pengalaman menjaga anak kecil sebelum ini.
Majikan saya yang saya panggil kak E, seorang yang sangat baik dan pemurah. Selama sepuluh tahun bekerja dengannya tak pernah dia memarahi saya. Walaupun awal saya mula bekerja dia berkata pada saya jangan ambil hati sekiranya dia memarahi saya. Namun sepanjang bekerja dengannya, saya tak pernah melihat dia marah.
Kak E seorang yang pembersih. Berbeza dengan saya. Tapi saya bukanlah seorang yang pengotor. Kak E sentiasa pastikan semua benda dalam rumahnya dalam keadaan teratur. Saya salute kak E dalam hal2 mengemas rumah.
Sibuk dan penat macam manapun dirinya, dia akan pastikan seluruh rumah dalam keadaan bersih sebelum masuk tidur. Mula-mula amat susah bagi saya namun berkat kesabaran kak E mengajar saya semuanya menjadi mudah.
Dalam tempoh sepuluh tahun, ada tiga kali rasanya saya minta berhenti kerja. Alasannya ingin menjaga ibu yang sakit. Namun hanya selepas sepuluh tahun barulah saya betul-betul berhenti kerja.
Alasan saya padanya adalah kerana saya perlu menjaga mak saya yang sakit. Kak E hanya kata “ok”. Apalagi yang boleh dikatanya.
Kak E pun maklum keadaan mak saya yang tak sihat pada masa tu. Saya berhenti tanpa notis. Dua hari selepas itu hati saya berubah. Saya tak boleh berhenti mengingati anak2 asuhan saya. Air mata saya jatuh tanpa henti. Hingga menyebabkan saya hubungi kak E untuk kembali. Namun kak E minta saya fikirkan tentang mak. Saya akur.
Seminggu selepas itu saya datang ke rumahnya, namun katanya perlu bincang dengan suaminya. Namun tutur katanya pada saya telah berubah pada masa itu. saya terkejut dengan caranya berkata2 pada saya.
Saya balik rumah dan memikirkan perubahan nada kak E pada saya. Lalu saya buat kesimpulan, mungkin dia marah pada saya kerana berhenti mengejut dan bermacam prasangka lain. Namun saya pujuk diri sendiri dan bagi kak E masa.
Sebulan selepas itu saya mesej kak E, namun dia tetap tak mahu terima saya kembali. Saya merayu pada kak E, namun kak E tak endahkan. Malah kali ini saya dapat tahu dia marah pada saya dan kesal dgn sikap saya. Saya pula mempertahankan diri saya hingga kak E memberitahu hal ini pada adik saya. Adik saya pula memberitahu kepada keluarga.
Bayangkan apa perasaan saya pada masa tu, saya rasa sakit. Sangat sakit di hati. Hati saya bagai nak meletup. Tak tahu mana nak letak muka. Sejak hari itu saya hanya berkurung dalam bilik. Selama 3 bulan rasanya. Adik saya kata saya kemurungan. Saya hanya mendiamkam diri kerana ia benar.
Saya mengalami kemurungan sejak 2 tahun sebelum itu. Kerana masalah peribadi keluarga saya. Namun saya tak dapat nak beritahu sesiapa kerana saya rasa saya boleh atasinya. Namun saya tewas apabila kak E tengah berpantang anak bongsunya.
Selama ini di rumah kak E hanya ada hanya ada kak E dan anak-anaknya. Suaminya bekerja jauh jadi hanya beberapa kali setahun berada di rumah. Ini kali pertama kak E berpantang di rumah sendiri yang mana semua anggota keluarganya tinggal bersama.
Di situ penyakit saya datang. Emosi saya jadi terganggu. Pada masa itu juga saya ingin pergi dari rumah itu. Namun kerana kasihkan kak E saya lawan perasaan saya pada itu. Walaupun ada kalanya tingkahlaku saya amat tidak menyenangkan keluarga kak E. Tapi untuk kak E saya bertahan.
Empat bulan selepas itu saya sudah tak mampu mengendalikan diri saya. Ketika itu saya perlu menjaga bayi kak E. Ada dua kali sepanjang tempoh itu saya hampir jatuhkan baby kak E. Fikiran saya jadi tak menentu. Kerja saya juga tak terurus.
Saya sering melihat diri saya melemaskan baby kak E. Saya jadi tak keruan. Saya sedaya upaya bertahan. Kak E pernah bertanya namun saya minta dia untuk tidak bercakap pasal hal ni. Namun dia meminta saya beritahu perkara sebenar apabila saya sudah bersedia mengatakannya.
Sehinggalah suatu hari kak E memberitahu saya dia ingin membuat kenduri kesyukuran dalam masa lima hari. Entah kenapa saya rasa perkara itu akan menyusahkan saya.
Waktu kenduri, mestilah ahli keluarganya akan datang. Saya terpaksa berdepan dengan orang lain. Saya risau hal ini akan memburukkan keadaan saya. Sehari sebelum kenduri, saya pulang berjumpa mak. Saya katakan saya nak berhenti kerja dan jaga mak.
Mak gembira dan bersyukur. Begitu juga adik beradik lain, kerana tak perlu nak risau pasal giliran menjaga mak. Mereka juga tak tahu keadaan saya yang sebenar kerana saya sedaya upaya tak mahu menyusahkan orang lain.
Setahun setengah berlalu. Tiada hari yang yang berlalu tanpa mengingatkan aku pada anak2 asuhan ku.. Air mata beberapa kali kekeringan. Rindunya saya pada mereka hanya Allah yang tahu. Satu perkara yang pasti, saya tak mungkin dapat melupakan mereka. Hampir gila saya dibuatnya.
Saya masih berharap dan berdoa agar kak E mengambil saya berkhidmat untuknya semula. Perlahan-lahan saya merawat diri saya sendiri. Ada ketika saya rasa lemas dengan perasaan saya. Beberapa kali saya mengintai keadaan kak E. Namun mereka nampak baik-baik saja. Saya bertambah sedih. Bermakna semakin jauh saya dengan kak E.
Akhirnya saya memutuskan untuk membiarkan masa mengubat luka hati saya. Saya hanya mampu berdoa, jadi saya hanya berdoa untuk kesejahteraan kak E dan anak-anaknya. Selebihnya saya berserah pada Allah.
Doa saya dimakbulkan apabila Kak E membenarkan anak-anaknya melawat saya sejak hari raya tahun lalu. Bersyukur sangat. Namun saya masih berharap untuk kembali ke rumah Kak E.
Minggu lepas saya beranikan diri melawat kak E setelah hampir dua tahun. Anak-anaklah yang paling gembira menyambut kedatangan saya. Saya melihat seluruh rumah kak E, banyak yang sudah berubah. Banyak peralatan canggih yang tidak ada semasa saya masih bekerja untuknya. Mungkin untuk memudahkannya mengurus rumah tanpa pembantu.
Saya terkedu melihat rumah itu, walaupun berubah sudah tak sama seperti dulu. Rumah itu seolah-olah sudah bertukar tuan. Kak E sudah tidak seteliti dulu dalam sususn atur rumahnya. Keadaan anak-anaknya jugak tidak teratur. Saya tercari-cari apakah puncanya rumah itu agak bersepah. Anak sulung dan kedua da mampu berdikari. Yang bongsu dihantar ke taska.
Sebagai seorang guru bukankah kak E punya waktu untuk menyusun atur rumahnya. Saya terfikir pasti keadaan kak E tidak seperti yang kelihatan. Tetapi kenapa kak E enggan menerima saya semula?
Adakah kesalahan saya padanya sangat besar sehingga dia begitu ego untuk memintaku membantunya menguruskan kehidupannya. Sedangkan dia tahu saya mampu membantu bukan saja mengemas rumah tetapi dalam hal pelajaran anak-anak. Saya tercari apa sebenar salah saya pada kak E..
Sebelum saya menulis kisah ini, saya telah melepaskan harapan saya untuk kembali pada kak E. Sekiranya kak E terbaca tulisan ini, saya mohon maafkan saya kak E. Saya tak tahu saya telah melukakan hati kak E begitu teruk sehingga pengakhirannnya begini.
Selama ini saya ingatkan sayalah yang terluka dengan sikap kak E. Saya tak mampu untuk tahu apa kesalahan saya. Namun saya harap kak E maafkanlah saya. Dengan ini saya lepaskan beban harapan saya selama hampir dua tahun ni, kerana saya tak mampu untuk berdepan kak E lagi.
Semoga Allah permudahkan segala urusan kak E di dunia dab akhirat. Dan ketahuilah kak, saya amat menyayangi kak E hingga hujung nyawa..
Terima kasih kerana sudi membaca kisah ini.
– Bunga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit