Aku Perempuan Dan Aku Suka Pada Perempuan 2

Assalammualaikum. Terima kasih "admin" kerana menyiarkan "confession" aku. Aku seorang yang kasar sejak kecil kerana diasuh oleh bapa. Ibu bekerja. Bapa menginginkan anak lelaki, oleh itu aku dan seorang lagi adik aku dididik bagaikan anak lelaki. Tomboi, gaya pakaian macam lelaki. Sekarang pakai tudung, tetapi kalau tidak pakai tudung, memang macam lelaki. Aku mula sedar kecenderungan kepada kaum sejenis sejak berumur 6 tahun, semasa tadika. Aku juga beranggapan bahawa ini hanyalah sementara sahaja dan mungkin perkara biasa jika aku suka lihat perempuan berpakaian cantik. Masuk sekolah rendah, aku suka kepada perempuan juga. Setiap tahun, aku menyukai orang yang berbeza. Naik ke sekolah menengah, semasa berada di tingkatan 5, aku telah "bercouple" dengan perempuan rakan sekelas aku kerana kami sering bersama. Tetapi telah putus semasa keluar keputusan SPM. Kemudian, semasa menyambung pengajian diperingkat universiti, kecenderungan aku terhadap kaum hawa menjadi lebih serius. Aku tidak minta perkara ini berlaku kerana aku dah berjanji pada diri aku sendiri sebelum sambung belajar bahawa aku niat nak sambung belajar kerana Allah, nak tolong ibu bapa, nak bantu adik-adik. Tetapi, aku tergelincir lagi. Aku jatuh hati kepada rakan serumah aku sendiri. Pada mulanya aku hanya simpan perkara ini di dalam hati sahaja, tetapi apabila mendapat tahu yang si "A" ini tidak kisah untuk bercinta dengan perempuan, aku cuba mengambil perhatiannya. Semua perkara pasal diri si "A" aku suka dari senyumannya, kelembutannya dan sinaran matanya yang memukau jiwa. Aku mula menyayanginya.

Aku tahu perasaan ini salah. Aku selalu menangis bila terkenangkan tindakan aku ini. Kau juga, menangislah sesungguh hati, kerana kau tak bersalah. Kau ada perasaan suka pada perempuan dalam hati kau, tapi tanpa tindakan, malaikat tidak akan mencatatnya. Kau masih suci. Kau kena tahu yang Allah hanya menguji hamba-hambaNya sesuai dengan kemampuan.

Aku sangat sayangkan si "A" kerana dia ada ciri-ciri idaman yang selama ini aku cari-cari. Bagi aku dia berbeza dari perempuan yang pernah aku kenal sebelum ini. Dan aku juga merasakan dia sangat istimewa. Istimewa tentang dia, dia seorang yang jujur, pemurah dan ikhlas. Tetapi, apabila sudah tergelincir ke lembah yang hina ini, sangat sukar untuk kembali. Aku minta kau pendam perasaan suka dan kau curahkan segala-galanya kepada pemilik segala hati(Allah).

Aku suka kata-kata kau, "aku terlalu ingin memiliki sesuatu yang ternyata bukan hak aku dan tidak mungkin akan aku dapat. Aku sedar yang aku tidak lagi boleh hidup dengan perasaan ini. Aku ingin berubah". Ya, kau yakinlah bahawa Allah akan menolong kau.

Aku mengaku aku makin jauh dari Yang Maha Esa. Aku masih melaksanakan apa yang diperintahkan Allah S.W.T dengan sebaik mungkin, tetapi dalam masa yang sama aku juga telah melakukan apa yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Aku faham perasaan yang kau alami. Aku betul-betul faham. Ya, ramai yang lebih suka mencemuh dan menasihati dengan kisah-kisah nabi terdahulu. Aku cuma boleh nasihat supaya kau bersabar. Hidup di dunia ini hanya sementara, akhirat adalah destinasi yang kekal. Aku minta kau teruskan berdoa, walaupun gagal untuk merawat perasaan suka pada perempuan. Ya, bagus untuk rasa malu dengan diri sendiri. Ya, kau juga memang patut bersyukur kerana perasaan takut masih ada dalam diri yang menjadi perisai yang teguh dari mengambil tindakan yang salah. "Buat baik perpada-pada, buat jahat jangan sekali". Aku harap kau tidak terjebak dalam lembah yang hina ini, teruskan bersabar, kita hidup tak lama. Teruskan berimpian untuk ada pasangan hidup, ada anak-anak menyejuk mata. Allah akan bantu selagi tidak putus asa. Untuk lupakan si "S" terus dalam hidup kau, kau kena kuat. Kau kena jauhkan diri daripadanya, jangan berkomunikasi, tukar nombor telefon, berhenti kerja dari tempat tu, cari kerja di tempat lain. Niat nak berhijrah kerana Allah. Buang perasaan suka pada perempuan tu jauh-jauh.

Aku pun dah tak larat nak menangis dah. Aku letih sangat dengan perasaan ini. Aku juga malu dengan masyarakat. Aku takut dengan azab Allah. Aku juga ingin berubah, mahu dapat keredhaan Allah. Aku akan mendoakan kau Sha. Aku tahu ada ganjaran besar yang menanti orang-orang yang sabar.

– lesbo ingin bertaubat

Hantar confession anda di sini -> iiumc.com/submit

6 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *