Aku Yang Dipersimpangan Hati

Assalamualaikum buat pembaca semua yang sudi membaca luahan hati aku yang sedang buntu ini.

Pertama sekali izinkan aku memperkenalkan diri secara ringkas.

Namaku Kemboja, berumur 30 tahun, masih bujang.. Namun alhamdulillah apa yang aku punyai dalam hidup ini sudah terasa cukup bagiku dan berada pada tahap yang aku inginkan.

Perkara² seperti kerja, rumah, kereta, keluarga, kawan², majikan meskipun tidak sesempurna mana namun cukup untuk membuatku terasa senang setiap hari.

Namun kini cuma satu yang sering merunsingkan hati dah fikiranku hingga aku rasa dapat menganggu gugat kehidupanku yang sedia kala ini. Soal hati dan perasaan serta sudah tentu perkahwinan.

Bagi aku terasa sudah redha dengan ketentuan Allah jika tiada ditetapkan bagiku sebuah perkahwinan di dunia ini tapi sejujurnya aku juga pernah mengenali seorang teruna sebelum ini.

Si dia yang ku kenali sebagai Arjuna pertama kali ku kenal semasa bekerja di kilang Roti.

Dari situ perkenalan kami berubah menjadi semakin rapat hingga Arjuna sering menjadi teman untuk aku jika ada tempat² yang aku ingin pergi atau sebagai teman untuk berkongsi dan meluah segala rasa dan masalah.

Hubungan kami berlanjutan selama 3 tahun dengan matlamat utama untuk menuju ke arah gerbang perkahwinan.

Namun sudah tentu jalan yang dipilih tidaklah semudah mana. Soal duit yang harus dikumpul untuk membina sebuah bahtera bukanlah mudah untuk dicari apatah lagi kerana Arjuna belum mempunyai pekerjaaan yang tetap dengan gaji yang tinggi.

Tidaklah penting bagiku gajinya setinggi mana atau pekerjaan apa yang dia lakukan namun kerana kedua kami mempunyai commitment yang tinggi setiap bulan jadi hampir tidak dapat menggapai angan untuk menyimpan secebis duit pun untuk berkahwin.

Aku yang sekian lama keluar bersama Arjuna semakin lama merasa seperti tiada arah tujuan kerana sering keluar berdua tanpa suatu ikatan yang sah. Ke sana ke mari sampai bila agaknya harus begini fikirku sedang umurku yang sudah menjejak 30-an.

Arjuna yang kukenali bagiku baik orangnya.. rajin membantu orang tuanya meski latar belakang pelajaran dan pekerjaannya tak sehebat adik beradiknya yang lain.

Sering berguru dan sebagai seorang sahabat dia sering dicari sebagai pemberi nasihat oleh sahabatnya yang lain tak kira lelaki mahupun perempuan.

Tutur katanya sopan dan teratur namun sayang jika dengan sehabat² rapat lelakinya yang lain bahasanya agak kasar sedikit dengan cacian dan maki hamun sebagai bahasa biasa antara mereka.

Yang kurisaukan jika itu sudah menjadi kebiasaannya tak mustahil satu hari nanti jika Arjuna hilang sabar denganku, aku juga bakal dihambur dengan kata² kesat sebegitu.

Apa yang kurisaukan akhirnya menjadi nyata beberapa bulan yang lalu bila akhirnya dia terlepas satu bait kata kesat di hujung bibirnya apabila aku terlebih bergurau dengannya. Mungkin aku yang salah kerana tidak dapat membaca emosinya yang sedang marah ketika itu.

Meskipun diucap dengan nada yang perlahan namun tetap dapat kudengari. Dan sungguh aku terkilan dengannya. Kerana aku agak trauma dengan lelaki yang berkata kesat dek kerana ayahku sendiri.

Insan pertama yang aku dengar dan belajar kata² kesat olehnya. Dan aku tidak mahu bersuamikan seseorang yang mampu berkata kesat begitu juga.

Meskipun begitu kini aku ditempuh dilema bila mana hatiku sering kali teringat akan Arjuna meski sudah berpisah dengannya hampir 8 bulan yang lalu.

Apa ini keputusan yang terbaik buatku? Melupakan segala baik yang ada padanya hanya kerana satu kata yang terlepas dari mulutnya ketika itu.

Sejujurnya aku buntu dan tidak tahu kenapa Arjuna masih tidak dapat aku lupakan hingga ke saat ini.

Aku cuba untuk mengenali yang lain namun hanya Arjuna yang berlegar di benakku saban hari. Perlukah aku berbaik semula dengannya?

Atau hanya berserah pada takdir dan ketentuan Ilahi akan arah tuju hidupku selepas ini?

Perlukah aku anggap normal berkata begitu sesama lelaki jadi ia bukanlah suatu masalah yang besar? Aku cuma menginginkan kelapangan hati agar dapat aku membuat suatu keputusan yang teguh.

Meletakkan noktah yang muktamad pada kenangan yang lalu atau aku telah membuat suatu keputusan yang salah?

Mohon ampun jika bait kata dariku agak memeningkan. Segala kata balas dari kalian adalah amat aku hargai. Assalamualaikum..

– Kemboja (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *