Anak Ini Cerminan Ibu Bapa

Terima kasih admin kerana menyiarkan confession saya ini.

Apa yang saya nak luahkan ini untuk memberi gambaran yang sebenar sama ada isteri itu cerminan suami atau sebenarnya anak itu cerminan ibu bapa.

Jom kita baca,

Arwah ummi dan arwah abi saya berkongsi tanggungjawab terhadap diri anak – anak mereka.

Arwah ummi bertanggungjawab dalam menjaga kami dan mendidik sahsiah diri kami.

Manakala arwah abi pula bertanggungjawab dalam memberi makan,minum, tempat tinggal, pakaian dan didikan agama.

Walaupun mereka sudah lama meninggal dunia. Namun didikan mereka sentiasa hidup dalam diri anak mereka dan cucu mereka.

Arwah ummi saya didik sahsiah diri kami dulu bermula dengan didikan melalui tauladan. Arwah ummi suka hulurkan tangan untuk minta maaf dengan arwah abi. Lalu situasi itu berakhir dengan mereka bersalaman.

Manakala arwah abi akan membalas perbuatan arwah ummi itu tadi dengan beri ucapan terima kasih terhadap arwah ummi kerana jadi isterinya. Lalu situasi itu berakhir dengan mereka berpelukan.

Maka bila kami selalu tengok tindakan mereka itu. Kakak saya suka minta maaf dengan abang saya. Lalu abang saya akan beri ucapan terima kasih.

Saya suka minta maaf dengan adik perempuan saya. Lalu adik perempuan saya akan balas dengan ucapan terima kasih kerana jadi abang adik. Kemudian adik saya ini akan peluk saya.

Bila saya berkahwin saya suka guna didikan yang saya dapat itu untuk reverse psychology isteri saya.

Bila isteri saya marah dekat anak saya akibat mereka sepahkan mainan. Saya akan redakan kemarahan itu dengan tindakan ini. Saya hulurkan tangan untuk minta maaf.

Selepas kami bersalaman saya akan peluk pula isteri saya dengan ucapan terima kasih sayang kerana jadi isteri abang.

Bila anak saya asyik tengok saya bertindak sedemikian depan mereka. Mereka juga ikut contoh bila si abang dan si adik bergaduh tiba – tiba si adik menangis.

Si abang ini akan hulurkan tangan untuk minta maaf walaupun tidak buat salah. Kemudian selepas mereka bersalaman si adik ini akan peluk abangnya.

Arwah abi kami didik ilmu agama dalam diri anak – anaknya. Contohnya arwah ajar hakikat cinta.

Kata arwah hakikat kepada cinta adalah tanggungjawab manusia terhadap amanah dariNYA. Manakala asbab kepada cinta pula adalah usaha dan pengorbanan manusia terhadap amanah dari Allah.

Apa amanah dari Allah untuk kita iaitu hidup.

Dalam hidup kita perlu menjaga hubungan dengan Allah, sesama manusia, haiwan dan alam.

Bagaimana caranya,

Menjaga hubungan dengan Allah

– Berusaha menjalani hidup ini mengikut setiap apa yang disyariatkan dalam agamaNYA

– Berusaha menghiasi hidup ini dengan Sunnah Kekasih Allah

Menjaga hubungan sesama manusia

– Berbuat baik

– Mencegah kemungkaran

Menjaga hubungan dengan haiwan dan alam

– Berbuat baik

– Tidak merosakkannya

Arwah abi ajar hidup kita di dunia tidak ada apa – apa kerana semuanya Allah yang punya.

Namun tugas kita di dunia hanya mengusahakan sahaja. Lalu apa yang kita dapat semua Allah sudah sediakannya.

Bila sejak dari usia kanak – kanak lagi arwah abi saya ajar cara nak mentauhidkan Allah dalam hidup.

Maka telah banyak memberi kebaikan sepanjang hidup di dunia. Contoh dalam hidup berumahtangga saya tak pernah letak sifat cinta dan kepercayaan dekat isteri saya.

Sebab dirinya milik Allah, hatinya milik Allah, kebaikannya dari Allah, hidupnya milik Allah dan kebahagiaan yang saya kecapi dalam rumahtangga juga dari Allah.

Isteri saya adalah pinjaman dari Allah untuk saya dan dia adalah sebahagian amanah yang akan dipertanggungjawabkan ke atas diri saya di akhirat.

Jadi sepanjang usia perkahwinan saya dengan isteri hanya letak sifat cinta dan kepercayaan itu pada Allah.

Caranya selagi mana saya mencintai Allah. Selagi itulah saya akan mencintai amanah dariNYA. Selagi mana saya mempercayai Allah. Selagi itulah saya akan mempercayai amanah dariNYA.

Bila Allah berfirman dalam al Quran yang dunia ini Allah hamparkan dengan ujian dan Allah juga memberi khabar gembira buat hambaNYA yang bersabar.

Maka sepanjang saya hidup dengan isteri tak pernah sekalipun letak expectation dekat dirinya. Kerana sehari – hari apa yang baik daripada isteri, saya akan syukuri.

Manakala apa yang buruk daripada isteri, saya akan bertanggungjawab, berkorban dan dijadikan ladang pahala.

Arwah abi ajar, kita ini manusia dan bukan binatang. Binatang walaupun dikurniakan otak tapi tidak diberikan akal fikiran. Berbanding diri kita manusia dikurniakan otak dan dikurniakan akal fikiran.

Jadi diri kita boleh berfikir untuk memilih yang mana bangkai dengan yang mana sembelihan.

Arwah abi ajar juga hidup kita di dunia bukan untuk kita tapi untuk agama. Manakala hidup kita di akhirat pula barulah untuk kita.

Jadi sepanjang menjual masa dalam hidup. Pastikan pembelinya adalah pahala dan bukannya dosa. Supaya apabila malaikat maut masuk bertandang kita sudah bersedia.

Alhamdulillah..

– Ayah Ali (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *