Assalamualaikum. Aku Syaa, masih belajar dan tinggal bersama keluarga. Terima kasih kepada iium confession jika confession ini disiarkan. Aku percaya setiap ibu bapa mempunyai cara didikan yang berbeza dan mereka mahukan yang terbaik untuk anak mereka.
Anak-anak ditatang bagai minyak yang penuh dari kecil. Dihantar ke sekolah, pusat tuisyen, kelas tambahan, dan sebagainya namun ada ibu bapa menganggap semua itu mencukupi dan tanda kasih sayang mereka.
Aku menulis bukanlah sebagai nasihat atau tips kepada ibu bapa tetapi hanyalah sebagai luahan seorang anak.
1. Beri peluang untuk anak nyatakan pendapat.
Pilihan ibu bapa adalah yang terbaik tapi tolong dengar pendapat mereka. Dengar apa yang mereka rasa. Beri peluang kepada mereka luahkan perasaan. Selepas berbincang barulah anda menetapkan keputusan.
Jika keputusan anak ditolak bagitahu sebab ia ditolak. Pujuk mereka supaya mereka faham dan tidak memberontak. Jangan biar anak anda menerima keputusan dalam keadaan terpaksa.
2. Jangan perli anak.
Gunakan bahasa yang baik apabila bercakap dgn anak. Jaga perasaan mereka. Bukan bermaksud merajakan anak tetapi kata-kata ibu bapa itu doa yang tiada hijab. Jadi, gunakan perkataan yang baik terutama apabila bercakap dengan anak remaja.
Anak yang sedang membesar mempunyai jiwa yang sensitif dan mudah terasa. Jangan bandingkan anak dengan anak yang lain atau anak orang lain kerana perkara ini memberi kesan dalam diri mereka. Mereka akan kurang yakin dgn diri sendiri dan tidak bersemangat melakukan sesuatu.
3. Kenakan hukuman sesuai dengan kesalahan.
Jangan hukum anak lebih dari kesalahan yang dilakukan. Jangan pukul anak dengan rasa marah. Hal ini akan menyebabkan anda tidak dapat mengawal perasaan dan tingkah laku dan akan mencederakan anak anda walaupun menggunakan rotan.
Anda sepatutnya tahu apabila anak besar mereka akan ingat apa yang telah ibu bapa lakukan kepadanya. Baik didikannya, baiklah akhlak anak.
4. Luangkan masa ‘me time’ bersama anak.
Bagitahu anak bahawa anda sangat sayangkan mereka sebenarnya. Peluk mereka supaya mereka yakin yang anda sentiasa bersama mereka dalam apa jua keadaan. Buat mereka selesa untuk bercerita dgn anda sama ada cerita mengenai aktiviti harian mahupun peribadi mereka.
Jadi pendengar setia mereka supaya mereka berasa anda adalah orang yang amat penting dalam hidup mereka. Jangan memaksa anak anda bercerita tetapi biar mereka sendiri yang bercerita. Berikan respon yang membantu mereka dan bukannya menjatuhkan mereka.
5. Didik melalui lisan dan perbuatan.
Didik melalui lisan disini bermaksud ucapkan kata-kata sayang kepada anak. Berikan mereka ucapan yang membuatkan mereka berasa dihargai. Didik melalui perbuatan pula, peluk anak anda. Anda juga perlu lakukan sesuatu kerja dahulu supaya anak anda menjadikan anda sebagai contoh dan idola.
Jangan biarkan mereka berasa kesunyian. Anak yang kurang perhatian biasanya akan melakukan apa sahaja untuk menarik perhatian orang lain. Oleh itu, berikan perhatian sewajarnya kepada anak anda.
Boleh baca confession ini juga yee, (https://iiumc.com/jiwa-seorang-anak).
Semua ini hanyalah pendapat aku sebagai seorang anak. Aku tahu mesti ada yang tak setuju dengan pendapat aku ni. Aku minta maaf jika confession ini mengguris hati mana-mana pihak. Bukan niat aku untuk sakitkan hati kalian. Akhir kata, semoga kita sentiasa dilimpahi rahmat Allah.
– Syaa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit